'Pengurusan Harimau Malaya lemah'


  • Podium
  • Isnin, 24 Jan 2022

WUJUD dakwaan ketidakharmonian dalam kalangan pemain kebangsaan ketika Piala Suzuki AFF 2020. — Facebook FAM

KELEMAHAN pengurusan skuad kebangsaan menjadi punca berlakunya ketidakharmonian dalam kalangan pemain sehingga menjadi salah satu faktor kegagalan Harimau Malaya di pentas Piala Suzuki AFF 2020 pada Disember lalu.

Menurut pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Jamal Nasir Ismail, pihak pengurusan skuad kebangsaan sepatutnya menghidu kewujudan beberapa 'puak' dalam kalangan pemain bagi mengelakkan impak lebih buruk.

“Sekiranya laporan bedah siasat itu mengatakan ada kumpulan-kumpulan pemain dalam skuad kebangsaan, ia jelas menggambarkan kelemahan pihak pengurusan sedia ada.

“Tetapi ia sepatutnya tidak terlalu memberi kesan besar jika ditangani segera. Ini kerana mungkin seorang pemain itu selesa untuk berkawan dengan seorang lagi pemain.

“Jadi bila berlakunya masalah yang lebih besar sehingga memberi kesan kepada prestasi pasukan, itu tandanya kelemahan daripada pengurusan pasukan kebangsaan.

“Sepatutnya masalah seumpama itu tidak berlaku jika pengurusan pasukan kebangsaan pantas mengambil sebarang tindakan,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya mendapati kekurangan keharmonian dengan wujudnya kelompok pemain dalam skuad kebangsaan menjadi antara faktor prestasi hambar di Singapura.

Malah, pengerusi badan siasatan itu, Datuk Dell Akbar Khan mendedahkan Harimau Malaya mempunyai tiga ‘puak’ yang berpecah mengikut kumpulan iaitu pemain tempatan, naturalisasi dan warisan.

Beliau menegaskan kewujudan kelompok pemain berkenaan sebagai antara 10 dapatan badan siasatan bebas itu selepas menemuduga beberapa pihak pengurusan pasukan kebangsaan.

Pada masa sama, Dell Akbar yang juga bekas Setiausaha Agung FAM menggariskan 10 cadangan penambaikan untuk pertimbangan FAM supaya kegagalan sama tidak berulang pada masa hadapan.

Mengulas lanjut, Jamal Nasir berkata, setiap pemain yang dipilih menyarung jersi kebangsaan harus meletakkan nama Malaysia sebagai keutamaan mereka.

“Dalam hal ini, pemain-pemain harus bertindak sebagai satu keluarga... tak kiralah dari mana latar belakangnya sama ada pemain tempatan, kacukan atau naturalisasi.

“Masing-masing ada tanggungjawab untuk membawa nama Malaysia. Jangan ingat bila status pemain naturalisasi atau kacukan, mereka sudah ‘besar kepala’,” tegasnya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram