JANGAN sesekali kita memandang rendah tentang kemahiran Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam dunia muzik.
Ini kerana di sebalik kekurangan mereka yang nyata, ada antaranya memiliki bakat yang cukup hebat dalam bermain alat muzik dalam sebuah persembahan berbentuk orkestra.
Bukan sekadar nyanyian, persembahan hebat itu dapat dilihat menerusi sebuah orkestra inklusif, The Purple Symphony dan Orkestra Filharmonik Malaysia yang digabungkan dalam satu pentas.
BACA LAGI: Genting Highland syurga flora, taman botani terbesar Eufloria tarik pengunjung menjelang TMM 2026
BACA LAGI: Rakyat Malaysia wajar contohi wanita ini amal '10R', jadikan kemampanan satu gaya hidup

Setiap alunan bunyi dan muzik yang dimainkan cukup teliti dan jelas dengan gabungan pelbagai jenis alat muzik.
Acara berkenaan adalah hasil kerjasama Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) dan Temasek Foundation yang telah membawa The Purple Symphony ke Kuala Lumpur sebagai persembahan sulung mereka ke Malaysia.
Orkestra inklusif terbesar di Singapura itu merangkumi pelbagai kategori pemuzik. Antaranya individu yang mengalami gangguan perkembangan seperti ADHD dan autisme.
Ini termasuk kurang keupayaan fizikal dan beberapa lagi, telah menghangatkan suasana di Dewan Filharmonik PETRONAS, KLCC.
Kerjasama ini bermula muncul pada Julai tahun lalu apabila Pengerusi Temasek Trust, Ho Ching, menyambut ketibaan Permaisuri Agong, Duli Yang Maha Mulia, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah di Temasek Shophouse.
Baginda permaisuri berkesempatan melihat bakat dua pemuzik dari The Purple Symphony membuat persembahan semasa lawatan tersebut membuatkan yang berjaya menyentuh hati Baginda.
Susulan detik bermakna itu, Baginda telah menjemput orkestra berkenaan untuk membuat persembahan buat kali pertama di Permaisuri Zarith Sofiah Opera House pada 2023.
Bertemakan “The Symphony of Friendship”, konsert telah disusun khas melalui kemahiran profesional di bawah arahan Pengarah Artistik, Quek Ling Kiong dan Ahmad Muriz Che Rose.

Aksi Pengarah Artistik, Quek Ling Kiong ketika dia atas pentas bersama The Purple Symphony.
Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ, Hishamuddin Abd Rahim, berkata kerjasama ini menjadi lambang keakraban kedua negara.
Beliau turut mengimbas kembali jalinan kerjasama bersama Temasek Foundation yang telah dijalankan sejak Covid-19 lagi.
“Misi kami di YRZSNJ adalah untuk membina jambatan antara komuniti melalui pendidikan dan seni. Kami percaya setiap individu, tanpa mengira latar belakang atau keadaan, mempunyai potensi untuk.
“Kami komited untuk terus belajar daripada model ini dalam usaha membina komuniti yang lebih inklusif dan berdaya di Johor dan seterusnya,” katanya
Hishamuddin turut menambah, acara tersebut belum mempunyai apa-apa lagi perancangan untuk dijadikan sebagai sebuah elemen persediaan Visit Malaysia 2026 (VM2026). Namun perkara tersebut akan dipikirkan pada masa akan datang.
“Memandang persediaan untuk VM2026 sedang dilaksanakan, setakat ini tiada lagi apa-apa perancangan untuk acara seperti ini diadakan pada tahun hadapan.
“Akan tetapi saya melihat dari beberapa sudut, ada perkara yang boleh dirancang melibatkan kerjasama dua negara dalam sektor pelancongan pada masa akan datang,” jawabnya ketika ditanya semasa sesi sidang media yang diadakan sehari sebelum acara berlangsung.

Kehebatan konduktor Ahmad Muriz bersama Orkestra Filharmonik Malaysia kita mengalunan muzik di atas pentas.
Ketua Pegawai Eksekutif Temasek Foundation, Ng Boon Heong ,melihat kerjasama seperti ini bersama rakan-rakan di seluruh Asia termasuk Singapura berpotensi mewujudkan peluang dalam meningkatkan kehidupan dan mengukuhkan daya tahan sosial.
“The Purple Symphony adalah contoh nyata kepercayaan terhadap sebuah orkestra inklusif. Pemuzik tanpa keupayaan khas membuat muzik itu terhasil dengan gabungan bersama orkestra dari Malaysia.
“Malah ia memperkukuhkan gerakan inklusi OKU ke arah membina masyarakat yang lebih inklusif untuk semua,” ujar.

Acara meriahkan dengan kehadiran Permaisuri Agong, Duli Yang Maha Mulia, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.
Berbicara mengenai latihan yang dijalankan oleh pemuzik-pemuzik, Pengarah Artistik, Quek Ling Kiong meluah rasa terharu apabila susunan muzik orkestra tersebut berjaya dilaksanakan dengan baik.
Memakan masa lebih kurang tiga bulan, Quek mengetengah kaedah tersendiri supaya pemuzik OKU faham dan boleh mengikuti rentak dan irama muzik yang dimahukan.
“Setiap sesi latihan dijalankan selama kira-kira dua hingga tiga jam, dengan keseluruhannya tiga sesi untuk satu hari.
“Kami pecahkan kepada beberapa kumpulan kecil supaya tumpuan latihan dapat diberikan kepada pemain instrumental yang istimewa ini," katanya.
Pelbagai teknik dan kaedah diketengahkan oleh Quek, memandangkan setiap daripada mereka memiliki kelainan upaya yang berbeza.
“Ada yang saya gunakan kaedah pergerakan nafas saya untuk mereka yang mempunyai masalah pendengaran atau kategori autistik untuk fahamkan rentak permainan sama ada laju atau perlahan.
“Ada juga menerusi penulisan secara berkala tentang nod yang mereka perlu ingat dan faham sedikit demi sedikit. Jadi sebab itu saya katakan setiap latihan kita akan pecahkan kepada beberapa kumpulan,” jelasnya ketika ditanya semasa sesi sidang media.
Quek turut berkongsi bahawa cabaran semasa latihan sudah semestinya hebat. Akan tetapi baginya ia adalah sebuah cerita yang penuh dengan keseronokan dan keindahan buat dirinya sebagai konduktor orkestra.
“Bagi saya manusia normal berhadapan dengan emosi dan tekanan dan pelbagai cara boleh kita lepaskan perasaan tersebut. Mereka yang istimewa ini lain, saya lihat mereka dapat meluahkan rasa tersebut melalui permainan muzik.
“Banyak di antara mereka boleh bermain secara solo tapi, untuk bermain secara berkumpulan dengan lagu yang ada, ini sesuatu yang berbeza.
“Ia adalah sebuah ruang inklusif mereka yang bukan saja orang kena terima diri mereka, tetapi mereka juga kena terima kehendak orang lain. Jadi saya rasa bertuah dipilih untuk terlibat dalam acara ini,” terangnya.

Malam yang penuh hebat melibatkan pemuzik dan orkestra termasuk Permaisuri Agong dan isteri Perdana Menteri.
Persembahan pada malam tersebut yang melibatkan 200 pemuzik itu, cukup memukau mata penonton. Penulis secara peribadi terpesona dengan permainan yang dipersembahkan pada malam tersebut.
Cukup jelas dan terperinci bunyi serta muzik yang dimainkan oleh setiap pemain yang ada di atas pentas.
Daripada permainan violin, piano, Saxophone dan beberapa lagi hingga alunan suara penyanyi seperti Nadeera, Suki Low dan Jaclyn Victor cukup memberikan gema dan gabungan bunyi yang sangat besar besar impaknya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
