
SEBUT sahaja lokasi pelancongan, Malaysia menjadi negara yang boleh dikatakan lengkap dengan pelbagai jenis tempat percutian.
Daripada pantai, gunung sehingga di tengah kota, hampir seluruh negara datang ke Malaysia untuk bercuti.
Malaysia dilihat menjadi tumpuan para pelancong pada tahun ini dengan beberapa tawaran pelancongan yang telah disenaraikan dalam 10 pilihan terbaik oleh undian yang dilakukan pengikut laman web Smart Travel Asia.
BACA LAGI: Irama muzik alternatif kawal tekanan darah tinggi, umpama terapi tanpa ubat
BACA LAGI: [VIDEO] Pernah pergi taman tema guna air mineral? Jitra, Kedah ada jawapannya
Ia menerusi tinjauan terkini majalah pelancongan dalam talian tersebut. Bagi kategori Best in Travel Poll 2025 yang dijalankan dari Jun hingga Ogos, Malaysia berjaya meraih tiga kedudukan dalam senarai 10 Destinasi Percutian Terbaik.
Pulau Pinang berada di tempat ketujuh, Kuala Lumpur kelapan dan Sabah di tempat ke-10.
Selepas tidak tersenarai langsung pada tahun lalu, kedudukan Malaysia kali ini membuktikan daya tarikan negara semakin meningkat sebagai destinasi percutian di Asia.
Masih menjadi pilihan utama pelancong adalah negara jiran, Thailand dengan menjadikan Bangkok sekali lagi menduduki tempat pertama dalam senarai.
Chiang Mai berada di tempat ketiga manakala Phuket berkongsi tempat kelima bersama Hong Kong dan Rajasthan, India.
Jepun turut kekal popular dengan ibu negaranya Tokyo dan sekali lagi mengekalkan kedudukan di tempat kedua. Kali ini, Kyoto juga tersenarai di tempat keenam bersama Taipei (Taiwan), serta Da Nang dan Hoi An (Vietnam).
Apa yang membanggakan buat pertama kalinya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya menembusi senarai 10 Lapangan Terbang Terbaik. Kedudukan tersebut berkongsi tempat ke-10 bersama Lapangan Terbang Antarabangsa Kempegowda, Bengaluru, India.
Komtar, Pulau Pinang.
Sudah tentu, Lapangan Terbang Changi, Singapura masih kekal nombor satu pilihan kebanyakan penumpang, manakala Lapangan Terbang Haneda, Tokyo naik satu tangga ke tempat kedua.
Diikuti Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong pula menduduki tempat ketiga, naik dua tangga berbanding tahun lalu.
Selain itu, Malaysia Airlines turut tersenarai tahun ini di tempat keenam, berkongsi kedudukan dengan Japan Airlines.
Hotel mewah yang dinanti-nantikan, Park Hyatt KL yang dibuka bulan lalu di Menara Merdeka 118 pula menduduki tempat keenam dalam senarai 10 Hotel Baharu Terbaik.
Ia berkongsi kedudukan dengan Como Metropolitan Singapore dan Mandarin Oriental Qianmen, Beijing, China.
Tidak terlepas, The Boathouse Tioman, Pahang pula menduduki tempat ke-10 dalam senarai yang sama.
Menariknya, Shangri-La Rasa Sayang Resort & Spa di Pulau Pinang merupakan satu-satunya hotel Malaysia yang disenaraikan dalam dua kategori berbeza.
Resort ini berada di tempat keenam dalam senarai 10 Hotel Spa Terbaik, dan pada masa sama meraih tempat keempat dalam senarai 10 Hotel Keluarga Terbaik.
Tinjauan tersebut mengukur minat pelancong terhadap hotel, syarikat penerbangan, lapangan terbang dan destinasi di Asia, memecahkan 10 pilihan terbaik ke dalam 16 senarai berasingan.
Anda boleh melihat senarai penuh di laman web Smart Travel Asia.— TheStar/FLOREY D. MIKIL
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram