
HIAS kuku kini menjadi trend buat wanita apatah lagi jika hendak berlangsung perkahwinan atau majlis pertunangan. Menghias kuku memerlukan kemahiran yang tinggi dan tidak semua orang mampu melakukannya.
Bagi Puteri Dahnea Afielda, 22, kemahiran dirinya yang mewarnai dan mencantikkan kuku kawan-kawan dan pelanggan bermula dari hobi sejak dari kecil.
Kemahirannya itu diasah dan diinspirasikan oleh ibunya, Rosnita Asni,50, yang merupakan pengasas terapi wanita atau lebih dikenali sebagai spa urutan dan kecantikan wanita.
BACA LAGI: Pengalih suara percaya kartun Tarzan diadaptasi dari karya Ibnu Thufail Al Andalusi
Dahnea bersama peralatannya yang memiliki pelbagai jenis warna dan hiasan di kuku.
“Saya boleh katakan segala-gala yang saya pandai tentang kuku ini disebabkan ibu. Memang dialah satu-satunya individu yang ajar saya tentang kecantikan kuku. Ibu selalu kata yang saya ini sejak dari kecil memang suka warna-warnakan kuku.
“Sampailah dia jadi hobi sehingga membuatkan saya berani untuk buka spa sendiri bernama Nia Afielda Beauty & Spa.
“Allhamdulilah, sekarang dah ada sebuah lagi spa yang saya buka namanya Teratak Kasih Bonda by Nia Afielda Beauty, kedua-duanya terletak di Kedah,” katanya yang mesra dipanggil Dahnea dan merupakan anak jati negeri tersebut.
Bentuk hati antara corak pilihan yang paling gemar dalam kalangan remaja.
Baginya menghias kuku sendiri dan orang lain sama sahaja cuma kekok sikit bila mula membuat kuku pada tangan kedua. Melalui hobi membuat kuku di jari, Dahnea terus menerus menerokai peluang lain untuk memperkembangkan ciri-ciri hiasan di kuku menerusi permintaan pelanggannya.
“Kita timbulkan kelainan dan servis kuku ini. Daripada potong kuku, ikut bentuk, warnakan sampailah meletakkan seni atau corak seperti bintang atau bulan di atas kuku.
“Kita cuba dekat kuku sendiri dulu atau kawan-kawan, lepas itu tengok cun tak cun. Kalau cantik barulah kita tawarkan dekat pelanggan.
“Itulah seronoknya kalau ada perniagaan kuku ini. Saya sendiri belajar daripada pelanggan apa yang mereka mahukan. Bentuk, jenis kuku sampai corak yang ingin diletakkan ikut citarasa rasa mereka,” jelasnya.
Bercakap mengenai menghias kuku dengan menggunakan inai, Dahnea berpendapat kaedah tersebut sudah lama digunakan oleh orang dulu.
Akan tetapi masih juga relevan digunakan kerana adakalanya dia menggabungkan kedua-dua elemen kecantikan itu dengan menggunakan warna yang tidak menenggelamkan warna inai.
“Permintaan nail art semakin tinggi kerana ada beberapa faktor pekerjaan yang tidak mengizinkan kakitangannya berinai.
“Begitu juga ketika bersanding, sekiranya konsep sanding itu kena dengan reka hias pada kuku contohnya konsep moden english, inai dan nail art boleh digabungkan.
"Tapi kalau tema klasik, lebih sesuai dengan inai saja sebab itu saya cakap inai masih relevan,” jelasnya.
Kuku palsu yang dibuat daripada serbuk acrylic dan cairan yang bersifat sementara.
Bercakap tentang hukum menghias kuku, Dahnea tetap mengatakan ia adalah haram kerana tidak telus air akan tetapi jika ia bersifat sementara tiada masalah.
“Bergantung kepada pelanggan, macam saya ada juga pelanggan yang berbangsa Cina dan India. Memang kebanyakannya nak buat kuku dan nak biar lama.
"Ada juga yang berbangsa Melayu yang nak buat sebab nak kahwin atau ada sesi bergambar saja, jadi terpulang kepada masing-masing.
"Nail art saya menggunakan kuku palsu yang dibuat daripada serbuk acrylic dan cairan yang bersifat sementara dan diterapkan menggunakan gam khusus di atas bentuk kuku.
“Cat acrylic juga adalah bahan dasar untuk menghias kuku untuk nampak lebih menarik. Bila-bila masa boleh cabut dan pasang semula,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram