
SEBUT saja aktiviti mendaki, Malaysia merupakan antara negara yang menjadi lokasi pilihan ramai pendaki tidak kira dalam mahupun luar negara.
Menerusi kajian terbaharu oleh operator pelancongan online iaitu Exoticca.com, analisis data menerusi platform mendaki popular All Trails, terdapat sembilan daripada 10 trek mendaki terbaik terletak di Malaysia.
Senarai teratas laluan terbaik ialah Hutan Pendidikan Bukit Gasing, Petaling Jaya, Selangor. Ia menjadi satu laluan berbentuk gelung yang pendek tetapi sangat digemari di pinggir Kuala Lumpur.
BACA LAGI:‘Doodling’ teknik pembelajaran unik, bentuk visualisasi pemikiran
BACA LAGI:Art of Speed 2025 kekal 'garang', simbol kekuatan dunia modifikasi permotoran
Bagaimana laluan ini dinilai? Penyelidik daripada Exoticca.com membandingkan trek mendaki dari 11 negara di Asia Tenggara dan memberikan markah 100 berdasarkan tiga faktor iaitu penilaian pendaki, bilangan ulasan, dan tahap populariti keseluruhan.
Kaedah itu menunjukkan laluan mana yang paling banyak dikunjungi dan secara konsisten memberi pengalaman dan kepuasan kepada pendaki.
"Keputusan ini menyerlahkan peluang mendaki yang hebat di seluruh Asia Tenggara dan Malaysia terbukti sangat popular.
“Apa yang paling menonjol ialah kualiti laluan di rantau ini, walaupun laluannya berada di kedudukan lebih rendah dalam kajian ini, ia masih mengekalkan penilaian cemerlang melebihi 4.2 bintang,” kata jurucakap Exoticca.com.
Bahkan kebanyakan laluan di sana pendek dan sederhana dari segi kesukaran, menjadikannya sesuai untuk pejalan kaki biasa dan pelancong beriadah dengan tahap kecergasan masing-masing.
Dengan memperoleh 98.39 mata daripada 100, laluan gelung Bukit Gasing menjadi trek hutan hutan bandar sepanjang 3.8 kilometer (km) dengan penilaian 4.6 bintang daripada lebih 2,200 pendaki.
Skor popularitinya pula mencecah 99.58 peratus membuktikan segalanya. Lokasinya yang berada di luar kota Kuala Lumpur itu menggabungkan akses yang mudah dengan suasana seakan-akan berada jauh di dalam hutan. Penuh kehijauan, laluan bernaung, dan sesekali menampakkan pemandangan badar dari dalam hutan tersebut.
Senarai tersebut kemudian diikuti Bukit Kiara melalui Changkat Abang Haji Openg berada di tempat kedua, manakala laluan Twin Peaks, Quill Killer, Rock Garden, dan Lower Carnival masing-masing mengisi tempat ketiga.
Gunung Datuk menduduki tempat kesembilan trek terbaik menerusi All Trails.
Dominasi Hijau Malaysia
Walaupun laluan pendek, impaknya tetap besar. Bukit Ketumbar, Kuala Lumpur, hanya sepanjang 2.2 km, berada di tempat keempat dengan purata penilaian 4.6 bintang dan skor populariti 98.98 peratus.
Laluan Fence Trail Loop di sekitar kawasan Bukit Gasing juga, menduduki tempat ketujuh, menunjukkan betapa kawasan hutan ini sangat diminati oleh pejalan kaki.
Bagi yang mahukan cabaran lebih, anda boleh cuba mendaki di Puncak Tiga Puteri melalui Merbuk (tempat keenam) atau Gunung Datuk (tempat kesembilan).
Gunung Datuk menerima penarafan kesukaran tertinggi dalam carta 10 teratas.
Melengkapkan dominasi Malaysia, rangkaian laluan Taman Tugu, Kuala Lumpur menawarkan 3.7 km laluan hijau, kuning, dan putih yang mudah diikuti di tengah-tengah Kuala Lumpur.
Wat Pha Lat Hike (Monk’s Trail) ke Doi Suthep di Chiang Mai, Thailand.
Kelainan Budaya dari Thailand
Hanya satu laluan mendaki dari luar Malaysia berjaya menempatkan diri dalam 10 teratas iaitu Wat Pha Lat Hike (Monk’s Trail) ke Doi Suthep di Chiang Mai, Thailand.
Sepanjang 7.2 km, laluan tahap sederhana mencabar itu merentasi hutan tropika menuju ke sebuah kuil Buddha tersembunyi. Trek berkenaan menggabungkan warisan budaya dan keindahan alam semula jadi.
Pemandanagn dari puncak Bukit Padang, Brunei.
Bahagian Bawah Senarai
Walaupun berada di kedudukan terendah, Robina Eco Park, Pulau Pinang masih mendapat penilaian yang baik. Berada di kedudukan terakhir dengan 56.27 mata, ia masih mengekalkan purata penilaian 4.4 bintang.
Laluan-laluan seperti Puncak Bukit Padang, Salah Jalan dan Sg Liang di Brunei, turut berada di senarai bawah namun tetap menawarkan pengalaman berjalan kaki yang menyeronokkan. Terutamanya bagi mereka yang suka meneroka laluan yang kurang dikenali.
"Data ini menunjukkan bahawa pendaki di Asia Tenggara menghargai laluan yang menggabungkan kemudahan akses dengan keindahan semula jadi.
Ramai pendaki cenderung memilih laluan yang sederhana dari segi kesukaran dan kurang daripada 5 km kerana, menjadikannya sesuai untuk pelancong dengan tahap kecergasan yang pelbagai.
"Bagi pelancong yang merancang pengembaraan di Asia Tenggara, penarafan ini menyediakan titik permulaan yang bernilai untuk merasai keindahan landskap semula jadi rantau ini. Daripada hutan bandar di Malaysia hinggalah ke laluan gunung berunsur budaya di Thailand,” kata jurucakap itu lagi.—Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram