‘Doodling’ teknik pembelajaran unik, bentuk visualisasi pemikiran


  • Hobi
  • Ahad, 17 Ogos 2025

Kejayaan Liu bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan akademik, malah membuktikan bahawa kreativiti bukan eksklusif kepada kelas seni semata-mata

 

 

SENI atau teknik melukis secara spontan dikenali sebagai doodling bukan sekadar aktiviti mengisi masa lapang. Ia merupakan bentuk ekspresi kreatif unik dan kini diiktiraf sebagai kaedah pembelajaran berkesan terutamanya membantu pelajar memahami serta mengingati maklumat secara visual.

Meskipun tidak semua orang menggemari atau memiliki bakat melukis, hakikatnya aktiviti doodling berpotensi besar dalam menyokong proses pembelajaran, khususnya bagi pelajar cenderung kepada gaya pembelajaran visual.

Hal ini terbukti melalui kejayaan seorang pelajar dari Sarawak, Liu Huan Xuan, yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berjaya meraih pengiktirafan di peringkat kebangsaan menerusi pertandingan Grand Finale Faber-Castell Score A Creative Learning Student Olympiad 2024.

BACA LAGI:Revolusioner dunia muzik elektronik, aksi MotoGP bakal gegar Sepang

BACA LAGI:Art of Speed 2025 kekal 'garang', simbol kekuatan dunia modifikasi permotoran

 

 

Antara karya coretan Liu yang menjadi hobinya sejak dari kecil.

Pelajar dari SMK Chung Hua, Miri itu menunjukkan bahawa gabungan kreativiti dan teknik visual mampu memberi impak besar dalam dunia pendidikan. Menurut Liu, minat terhadap doodling bermula sejak kecil di mana beliau gemar mencoret ikon kecil dan mewarnakan nota rujukannya. Namun, semuanya berubah apabila beliau menyertai bengkel Score A anjuran Faber-Castell.

“Selepas menyertai bengkel itu, saya sedar bahawa tabiat melukis ini sebenarnya membantu saya belajar dengan lebih berkesan,” katanya.

Sebelum ini, Liu sering tertekan apabila perlu menghafal fakta daripada nota panjang yang membosankan.

 

 

Peta minta dan rujuk pembelajaran menggunakan teknik doodling.

Namun, selepas diperkenalkan kepada teknik seperti ‘river flow notes’, peta minda, serta penggunaan emoji dan simbol, beliau mendapati bahawa melukis membantu memperincikan topik sukar menjadi lebih mudah difahami.

Lebih menarik, Liu turut mengamalkan teknik ‘memory palace’, iaitu satu kaedah mengaitkan fakta dengan objek atau lokasi yang biasa dilihat.

“Kaedah ini sangat membantu saya menyusun pemikiran secara visual dan menjelaskan idea dengan lebih jelas,” ujarnya.

Kejayaan Liu bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan akademik, malah membuktikan bahawa kreativiti bukan eksklusif kepada kelas seni semata-mata. Sebaliknya, ia boleh digabungkan dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk dalam pembelajaran harian.

“Dulu saya tak sangka tabiat suka mencoret boleh memberi impak besar. Tapi sekarang saya teruja untuk terus meneroka bagaimana kreativiti boleh dijadikan sebahagian daripada teknik pembelajaran saya,” katanya lagi.

 

 

Liu bersama ibunya menunjukkan hasil kerja coretan yang menjadi kaedah pembelajaran baharu buat dirinya.

Pengalaman Liu menjadi contoh bagaimana pendekatan alternatif seperti doodling mampu membuka jalan baharu dalam pendidikan. Ia bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga membantu meningkatkan kefahaman, ingatan dan kreativiti serta aspek penting dalam proses pembelajaran abad ke-21.—Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram

 

 

Doodling, lukisan, pendidikan, Sarawak