[VIDEO] Nikmati minum petang di celahan bukit batu kapur, momen ini ada di Ipoh


  • Relaks
  • Selasa, 29 Jul 2025

Salah sebuah kedai kopi yang membawa nilai sentimental yang mendalam.

IPOH, Perak sememangnya terkenal sebagai antara destinasi pelancongan utama di Malaysia, bukan sahaja bagi pelancong tempatan, malah turut menarik perhatian pengunjung dari luar negara. 

Tarikan semula jadi yang semakin mendapat perhatian ramai ialah Tasik Cermin, sebuah lokasi tersembunyi yang menawarkan pemandangan menakjubkan dikelilingi bukit batu kapur.

Berada bersebelahan tasik tersebut, tersembunyi lokasi istimewa menjadi pelengkap sempurna kepada pengalaman anda iaitu Kin Loong Valley Chang Jiang White Coffee. 

BACA LAGI: Lukisan pertama dijual RM5, penghargaan seni lukis Malaysia masih rendah berbanding negara jiran

BACA LAGI: Serik ditipu pomen, wanita asal Gerik buka sendiri bengkel Aida Misspomen

 

Hidangan kopi menggunakan kole besi.

Tempat ini bukan sekadar sebuah kedai kopi, malah merupakan destinasi gaya hidup yang menggabungkan elemen nostalgia dan keindahan alam semula jadi.

Penjawat swasta, Amira Afza Mohamad, 28, berkata pengalaman menikmati kopi di sini amat berbeza dan memberi kenangan yang sukar dilupakan.

"Tempat ini bukan seperti kedai kopi hipster di bandar atau warung di kampung. Ia memiliki identiti tersendiri. 

“Di celahan bukit batu kapur yang asli, aroma kopi putih yang unik menyambut kedatangan anda. Suasana yang ditawarkan betul-betul magikal,” katanya ketika dihubungi Majoriti.

Jenama Chang Jiang White Coffee ini bertapak sejak tahun 1970, menjadikannya antara lambang warisan rasa asli kopi putih Ipoh yang terkenal. 

 

Reka bentuk klasik diterapkan di meja makan.

Bagi warga Perak, terutamanya penduduk sekitar Ipoh dan Manjung, tempat ini membawa nilai sentimental yang mendalam.

Amira, yang membesar di Manjung, menyifatkan tempat ini sebagai sebahagian daripada gaya hidup masyarakat setempat.

“Saya sering ke sana untuk bersarapan, makan tengah hari, dan paling kerap untuk minum petang. Bukan setakat hujung minggu, malah selepas waktu kerja pun saya singgah. Ruang makannya luas, dan berlatarbelakangkan bukit batu kapur sebenar, bukan hiasan atau tiruan,” tambahnya.

Keunikan lokasi ini juga terletak pada reka bentuk dan suasananya yang mengekalkan elemen tradisional. 

Meja dan bangku kayu seperti zaman dahulu, serta penggunaan kole besi sebagai bekas minuman, membawa pelanggan mengimbau zaman silam.

Buat anda yang merancang untuk ke Tasik Cermin, jangan lepaskan peluang untuk singgah di Kin Loong Valley Chang Jiang White Coffee sebagai penutup perjalanan yang penuh makna.

Nikmati keenakan kopi putih legenda sambil menghayati ketenangan semula jadi yang sukar dicari ganti.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram