
SEBUT sahaja Sungkai, pasti anda hanya terfikir kolam air panas popular seperti Kolam Air Panas Sungai Klah. Namun tahukah anda di Sungkai terdapat banyak lokasi wajib lawat terutama kepada kumpulan konvoi bermotosikal.
Sungkai terletak di daerah Batang Padang di Tapah berdekatan dengan Kelah, Trolak, Bikam, Slim, Slim River dan Bidor.
Anak jati Sungkai, Meor Muhamd Khuzaimi, 36, berkata walaupun sudah menetap di Kuala Lumpur tetapi Sungkai tetap menjadi pilihan setiap kali bercuti bersama keluarga dan rakan-rakan konvoi.
BACA LAGI: [VIDEO] Dari ladang tebu ke ladang kenaf, Perlis anugerah terindah buat sang pengembara
BACA LAGI: Nak lihat penanaman gaharu? Gopeng lokasi paling tepat
Nasi Bamboo Sungai Klah.
“Perkara pertama yang kami akan cari mestilah tempat makan dan lokasi yang yang pasti menjadi pilihan ialah Nasi Bamboo Sungai Klah. Tempat ini popular sebab nasi dimasak dalam buluh, aromanya wangi ditambah dengan lauk-pauk kampung,” katanya.
Kolam Air Panas Sungai Klah.
Meor Muhamad menambah, selain syurga makanan, Sungkai amat terkenal dengan kolam air panas Sungai Klah yang menjadi tumpuan orang luar mahupun penduduk tempatan.
"Kolam Air Panas Sungai Klah ni ‘original’ jakuzi, ada yang cakap kalau mandi di kolam ini boleh menyembuhkan penyakit seperti sakit kulit tapi aktiviti wajib dilakukan selepas mandi air panas ialah merebus telur.
“Ini adalah sebahagian aktiviti yang tidak menyalahi peraturan di kawasan tersebut sebab ada ruang khas untuk pengunjung rebus telur dengan menggunakan air mata air panas, kalau telur separuh masa hanya ambil masa dua minit,” ujarnya.
Dia menambah, satu lagi tempat yang menjadi lambang ikonik ialah Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungkai atau Sungkai Deer Farm.
“Sungkai Deer Farm ini menjadi tempat pemeliharaan dan perlindungan rusa dan seladang sebab Sungkai ni banyak rusa dan seladang dan tak hairan logo pasukan bola Perak pun ada seladang.
“Di sini kita boleh lihat tempat pengumpulan rusa dan seladang liar dari hutan sekitar Perak. Hidupan ini adalah bawah tanggungjawab Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN)," katanya.
Menurutnya lagi, Sungkai Deer Farm ini juga menjadi pusat pendidikan untuk kanak-kanak dan orang awam untuk mengenali kitaran rusa dan seladang dengan lebih dekat.
"Ini memang tarikan utama, kalau tengok seladang tu depan mata, memang penuh biji mata," jelasnya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram