
BIARPUN berstatus orang kurang upaya (OKU), pakar pediatrik dari Arab Saudi, Dr Bashair Ibrahim membuktikan kekurangan fizikal bukanlah penghalang untuk berjaya dalam bidang perubatan.
Dalam temu bual bersama Arab News, Dr Bashair berkongsi liku-liku kehidupannya sebagai individu berkerusi roda yang memilih laluan kerjaya mencabar, berbekalkan tekad dan semangat mendalam untuk membantu orang lain, terutamanya kanak-kanak.
Peluang merawat anak-anak kecil yang masih belum mengenal erti diskriminasi terhadap ketidakupayaan, menjadi antara aspek paling bermakna bagi pakar pediatrik itu.
BACA LAGI: BFBL cungkil bakat, serlah kecantikan ibu muda, wanita OKU
BACA LAGI: Saksi pengorbanan ibu hilang suami, wanita kerdil berjiwa besar bangkit perkasa hak OKU
“Hubungan dengan kanak-kanak ini ikhlas, mereka melihat saya sebagai manusia dan tidak menilai kekurangan saya. Kami bina kepercayaan dan kasih sayang secara semula jadi,” katanya.
Bercerita mengenai perjalanan kariernya, kongsi Dr Bashair, minatnya terhadap bidang perubatan bermula sejak kecil apabila sering terdedah dengan peralatan hospital dek masalah pergerakan dialaminya.
“Disebabkan perlu berada di atas kerusi roda atau kenderaan, saya sering lihat banyak mesin, peralatan, imbasan x-ray, jarum dan pelbagai alat lain," tuturnya.
Keadaan itu mencetuskan rasa ingin tahu dan menguatkan semangatnya untuk memahami tubuh manusia serta menyembuhkan penyakit.
Namun akui beliau, jalan untuk memasuki sekolah perubatan bukan mudah disebabkan kebanyakan institusi tidak mesra OKU dan kurang kemudahan akses.
Kongsinya, beliau pernah dihalang daripada diterima masuk di sebuah universiti hanya kerana bangunan utama cuma boleh diakses melalui tangga.
"Pihak pentadbiran pula enggan mempertimbangkan laluan alternatif.
"Lebih mengecewakan, pengarah sebuah universiti swasta lain pernah mengeluarkan kenyataan sinis mempersoalkan bagaimana pesakit boleh merawat pesakit.
“Dulu tak masuk akal, sekarang pun masih tak masuk akal,” tegasnya, mengkritik sikap prejudis tersebut.
Semangat Dr Bashair bagaimanapun tidak pernah luntur. Beliau akhirnya diterima dan berjaya menjadi pakar pediatrik.
Akuinya, bidang perubatan itu sangat dekat di hatinya kerana kesannya yang besar terhadap kehidupan kanak-kanak dan keluarga mereka.
“Yang membuatkan kerja ini lebih bermakna ialah penghormatan daripada ibu bapa.
"Mereka kagum dengan keputusan saya memilih bidang ini walaupun berdepan pelbagai halangan,” katanya.
Bagi wanita itu, penghargaan terebut bukan sekadar pengiktirafan terhadap kerja kerasnya, tetapi juga membuktikan bahawa beliau memberi contoh hidup tentang ketabahan dan keazaman.
Dr Bashair juga menolak tanggapan umum bahawa doktor OKU tidak mampu memberikan rawatan berkualiti.
Katanya, beliau telah menyesuaikan teknik pemeriksaan agar disesuaikan dengan keadaannya, tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan.
“Saya lakukan pemeriksaan sepenuhnya dalam keadaan duduk dan pastikan tiada kompromi terhadap kualiti rawatan.
"Lama-kelamaan, keluarga pesakit memahami kekurangan ini tidak akan menjejaskan keupayaan saya,” jelas beliau.
Dr Bashair turut menekankan kepentingan bimbingan (mentorship) untuk individu OKU yang ingin menceburi bidang perubatan.
Beliau percaya tokoh contoh yang memahami cabaran klinikal dan peribadi mampu menjadi sumber kekuatan.
Pesanannya jelas, masyarakat perlu menyediakan akses sama rata, membuat penyesuaian yang wajar dan mewujudkan persekitaran inklusif agar semua individu tanpa mengira keadaan fizikal, berpeluang merealisasikan potensi sepenuhnya.
“Saya di sini bukan untuk meraih simpati. Saya ingin merawat, membuktikan bahawa semangat manusia mampu mengatasi apa jua halangan,” tegasnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram