Kos rawatan anak hampir RM60,000 tapi syarikat takaful enggan tanggung, ramai desak reformasi industri perlindungan perubatan


  • Relaks
  • Jumaat, 09 Mei 2025

Seorang ibu tampil memperjuangkan hak anaknya selepas tuntutan perlindungan perubatan melalui pelan takaful ditolak oleh syarikat insurans. — Gambar janaan AI

SEORANG ibu tampil bersuara memperjuangkan hak anaknya selepas tuntutan perlindungan perubatan melalui pelan takaful ditolak sepenuhnya oleh syarikat insurans, meskipun rawatan dilakukan mengikut prosedur.

Kes yang dikongsikan menerusi laman Thread pengguna akaun bernama Fatimah Shasni itu kini mendapat perhatian meluas, bukan sahaja daripada pengguna media sosial, malah ejen dan pelanggan takaful yang bimbang perkara sama boleh berlaku kepada mereka.

Menceritakan kronologi kes tersebut, wanita itu berkata, anaknya dimasukkan ke hospital swasta selama 20 hari bermula 22 Oktober hingga 11 November 2024 akibat serangan sawan berulang lebih 10 kali sehari.

BACA LAGI: [VIDEO] Ambil insurans dan takaful, jangan sampai membebankan — Pakar kewangan

BACA LAGI: Ketahui maksud produk insurans, takaful dengan pembayaran bersama dan deduktibel

Ia hanya berjaya dihentikan selepas rawatan intensif pada hari ke-17, sebelum kanak-kanak itu dibenarkan pulang bersama preskripsi ubat rawatan susulan.

Meskipun memiliki pelan takaful perubatan yang diambil seawal usia 42 hari dengan perlindungan melebihi RM1 juta setahun, tuntutan penuh kos rawatan berjumlah RM59,250.20 ditolak pihak syarikat dengan alasan penyakit diklasifikasikan sebagai congenital atau semula jadi sejak lahir.

Namun, ibu berkenaan menafikan sekerasnya alasan tersebut, menyatakan tiada sebarang bukti mahupun laporan perubatan yang memaklumkan keadaan itu congenital.

Malah menurutnya, doktor pakar secara lisan turut mengesahkan bahawa punca penyakit tidak dikenal pasti dan boleh disebabkan oleh jangkitan.

Lebih mengecewakan katanya, tiada panggilan atau komunikasi proaktif daripada pihak syarikat sepanjang lebih 200 hari sejak tuntutan dikemukakan.

Beliau mendakwa perlu menghubungi pihak syarikat berkali-kali, namun tidak pernah berjaya berhubung secara terus dengan pegawai tuntutan.

“E-mel yang saya terima pula sangat ringkas. Tiada penjelasan, tiada permohonan maaf. Hanya ayat ringkas ‘tuntutan ditolak’,” katanya.

Pendedahan itu mengundang pelbagai reaksi, termasuk daripada individu yang pernah mengalami kes serupa.

Susulan tekanan awam, pihak syarikat akhirnya menghubungi ibu tersebut dan menetapkan satu sesi pertemuan rasmi.

Namun, hasil perbincangan didakwa mengecewakan apabila mereka hanya memaklumkan kes akan disiasat semula.

Lebih memeranjatkan, syarikat itu baru menyedari laporan perubatan penting masih belum diterima, meskipun dokumen dihantar sejak awal proses tuntutan.

“Tiada siapa yang maklumkan maklumat tidak lengkap. Tiada senarai dokumen dinyatakan. Saya hanya disuruh tunggu,” jelas ibu itu yang turut mengalami tekanan emosi kerana perlu menyusun semula kronologi rawatan dan trauma yang dilalui anaknya.

Kes itu mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan orang awam tentang keperluan reformasi industri perlindungan perubatan, khususnya dari aspek ketelusan, komunikasi dan akauntabiliti penyedia perkhidmatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram