Kirim invois tapi tak dapat bayaran, penulis kandungan terkejut terima 'cheesecake'


  • Relaks
  • Sabtu, 10 Mei 2025

Saluja mendakwa menerima sebiji kek keju sebagai bayaran daripada salah seorang kliennya. — Gambar hiasan

SEORANG penulis kandungan wanita menjadi perhatian ramai selepas mendakwa menerima sebiji kek keju sebagai bayaran daripada klien bagi menggantikan wang tunai yang sepatutnya diterima selepas menghantar invois.

Perkongsian dibuat Harnoor Saluja di laman LinkedIn itu menarik perhatian warga maya bukan sahaja kerana keanehannya, malah gaya penceritaannya yang bersahaja dan penuh jenaka.

“Ketika saya fikir invois tak boleh jadi lebih pelik, seorang klien menghantar kek keju.

“Ya, sebiji kek keju. Bukan nota ucapan terima kasih, bukan bayaran, cuma satu bentuk kekeliruan berasaskan tenusu,” tulisnya.

BACA LAGI: Bengkel kemahiran bakar kek di Ipoh sedia sinar buat wanita B40

BACA LAGI: Pempengaruh wanita kongsi detik dilamar sepupu sendiri, warga maya harap jangan normalisasi

Menurut Saluja, beliau memberikan alamatnya kepada klien dengan sangkaan akan menerima pembayaran secara pemindahan wang. 

Namun, tindak balas klien itu ternyata di luar jangkaan apabila beliau menerima kek keju sebagai ganti.

“Mereka nampak alamat tersebut dan (mungkin) fikir, oh pempengaruh ini perlukan pencuci mulut,” ujarnya berseloroh.

Tangkap layar memaparkan hantaran Saluja di LinkedIn miliknya.

Dalam catatan yang penuh sindiran dan jenaka itu, Saluja turut mempersoalkan sama ada sistem pembayaran kini sudah berubah kepada bentuk manisan.

Katanya, beliau menyukai kek namun tidak menjalankan perniagaan langganan pastri. 

"Adakah kini invois dibuat dalam bentuk tiramisu? Perlukah saya mula terima bayaran melalui PayPal dan panna cotta?” tulis penulis kandungan dalam bidang komunikasi itu.

Beliau turut berseloroh bahawa jika trend itu berterusan, dirinya akan mula menaikkan kadar bayaran untuk turut merangkumi kek eclair dan 'pampasan emosi'.

“Tuan, saya di sini untuk dibayar bukan buka kedai roti,” katanya sambil mencadangkan agar gulab jamun turut disenaraikan sebagai salah satu kaedah pembayaran.

Hantaran itu mendapat sambutan hangat dalam kalangan pengguna LinkedIn yang turut menyertai perbualan dengan komen bersahaja dan menghiburkan.

“Adakah ini cara baharu ‘kerjasama barter’ yang saya tak tahu?” 

“Boleh tak masukkan Ras Malai sebagai pilihan pembayaran? Saya sanggup bayar guna Ras Malai kalau ia diterima,” ujar salah seorang pengguna. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram