BFBL cungkil bakat, serlah kecantikan ibu muda, wanita OKU


  • Bizz
  • Khamis, 02 Jan 2025

Beauty For A Better Life ialah program oleh L'Oreal Foundation untuk memperkasakan wanita dengan kemahiran profesional dalam pendandan rambut, solek dan kecantikan.

SELAMA lapan tahun, program Beauty for a Better Life (BFBL) memberi peluang kepada wanita dari komuniti kurang berkemampuan untuk mengasah kemahiran profesional dalam bidang kecantikan seperti pendandan rambut, solekan dan kecantikan.

Lebih daripada sekadar memberikan kemahiran teknikal, program itu juga membina keyakinan diri serta semangat komuniti dalam kalangan peserta.

BFBL merupakan kerjasama antara Yayasan L'Oréal dan WOMEN:girls yang menggabungkan kepakaran L’Oréal dalam bidang kecantikan.

BACA LAGI: [VIDEO] Chef Sakura rangkul pingat emas di pertandingan memasak Jepun, martabat hidangan tradisional Malaysia di mata dunia

BACA LAGI: Berkat dorongan ibu bapa, anak sindrom Down tonjol potensi luar biasa bercucuk tanam, kraf dan main piano

photo_6314246806325805344_y

Graduan BFBL 2022 dan pemilik salon Nursyasya Afina kembali sebagai pendidik

Program itu membantu wanita yang menghadapi cabaran ekonomi dan sosial dengan memberikan mereka kemahiran praktikal serta peluang untuk berkembang secara profesional.

Dengan kadar pekerjaan yang mengagumkan iaitu 90 peratus dalam tempoh tiga bulan selepas tamat pengajian, program itu terbukti berjaya merubah kehidupan ramai wanita.

Salah seorang contoh kejayaan program BFBL ialah Nursyasya Afina Suhaimi iaitu seorang graduan 2022.

Kini, Nursyasya merupakan pemilik dua salon dan sebuah akademi latihan di Melaka.

Kejayaan beliau semakin bersinar apabila beliau kembali ke BFBL sebagai pendidik untuk kohort 2024.

Nursyasya yang berusia 30 tahun terpaksa memandu dari Melaka ke Kuala Lumpur untuk menghadiri kelas dan latihan praktikal pada tahun 2022.

"Pada masa itu, anak saya baru berusia empat bulan dan saya tidak dapat berjauhan dengannya. Tetapi saya tahu ini adalah peluang yang tidak boleh dilepaskan.

"Program ini bukan sahaja memberi saya kemahiran teknikal tetapi juga memperluas rangkaian dan memberi saya banyak mentor dalam industri," katanya.

Walaupun berhadapan dengan cabaran besar dalam mengimbangi tanggungjawab sebagai ibu, pengusaha dan pelajar, Nursyasya tidak berputus asa.

Kini, ibu kepada dua anak kecil itu menjadi sumber inspirasi kepada pelajar-pelajar BFBL yang baru memulakan perjalanan mereka.

Nursyasya turut menasihatkan agar orang diluar sana sentiasa memberikan sesuatu yang terbaik untuk memperoleh kecemerlangan.

"Saya nasihatkan kepada semua pelajar agar jangan pernah buat sesuatu separuh hati. Berikan yang terbaik dan pastikan anda berjaya dengan cemerlang.

"Datanglah dengan sikap ingin belajar, tidak kira latar belakang atau pengalaman anda," ujar Nursyasya.

photo_6314246806325805347_y

Pendidik rambut Konstantinos menekankan kepentingan menghadapi ketakutan seseorang.

Pendidik dalam bidang pendandan rambut, Konstantinos Moustakas menegaskan bahawa penting bagi peserta untuk mengatasi ketakutan mereka apabila mempelajari teknik baru.

"Menguasai teknik baharu seperti mewarnakan rambut mungkin menakutkan tetapi ia penting untuk berani mencuba.

"Melihat pelajar-pelajar yang semakin yakin dalam menggunakan warna-warna rambut yang mereka belum cuba sebelum ini dan memperoleh hasil yang baik adalah sesuatu yang amat menggalakkan," katanya.

Konstantinos turut menggalakkan pelajar untuk belajar daripada contoh nyata yang ditunjukkan oleh pendidik mereka.

"Beberapa pendidik kami adalah bekas pelajar yang kini sudah berkembang menjadi pendidik. Ini adalah sesuatu yang sangat inspiratif," tambahnya.

Sementara itu, pengajar kecantikan, Safira Khasaruddin mengingatkan para peserta untuk terus fokus dan tidak berputus asa.

"Mengimbangi masa memang cabaran besar bagi ramai orang tetapi kita semua berada di sini kerana tujuan yang sama.

"Jangan berhenti. Apabila anda berhenti, ia akan lebih sukar untuk bermula semula.

"Mendapatkan sijil adalah langkah pertama, tetapi ia hanyalah permulaan untuk mencapai impian yang lebih besar," katanya.

Pengarah Eksekutif WOMEN:girls, Izza Izelan turut berkongsi bahawa selain kemahiran teknikal, para peserta juga menunjukkan perkembangan ketara dalam keyakinan diri dan keupayaan mereka.

"Tahun ini, seorang graduan kami kembali sebagai pendidik yang membuktikan kecemerlangan yang diperoleh daripada program ini," kata Izza.

photo_6314246806325805339_y

Umalkhayr Ali Hassan baru sahaja menamatkan pengajian dari program BFBL dalam bidang kecantikan dan solek.

Seorang lagi graduan menginspirasi ialah Umalkhayr Ali Hassan iaitu graduan pertama BFBL yang pekak dari Somalia.

"Ia bukan mudah sebagai seorang pekak, tetapi pengalaman ini meningkatkan keyakinan saya dan memberi saya kemahiran praktikal untuk memulakan kerjaya saya sebagai jurusolek," katanya melalui jurubahasa bahasa isyarat.

Seorang lagi graduan Cheong Yi Wen, 31, mengakui bahawa BFBL membantunya menemui semula semangat dalam kerjaya solek selepas mengalami burnout dalam kerjanya sebelum ini.

"BFBL membantu saya meneroka teknik solekan kreatif dan mendapatkan semula keyakinan.

"Saya merancang untuk mengembangkan kemahiran saya kepada solek kesan khas sambil membantu orang lain kelihatan cantik dan berasa yakin," katanya. — The Star/MING TEOH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram