
MELAHIRKAN anak adalah antara detik paling penting dalam hidup seorang wanita, namun ramai ibu yang risau dengan risiko koyakan ketika bersalin.
Walaupun tidak semua boleh dielakkan sepenuhnya, terdapat beberapa langkah yang boleh membantu ibu bersalin secara normal tanpa mengalami koyakan atau episiotomi.
Berikut merupakan tip bersalin tanpa koyakan yang dikongsikan menerusi hantaran di laman Instagram leviera_confinement_care:
BACA LAGI: Suntikan epidural bukan 'cheat code', Imran Aqil kagum pengorbanan isteri
BACA LAGI: Alami perubahan fizikal lepas bersalin, 8 perkara ibu patut tahu, paling penting jangan panik
1. Tunggu sehingga bukaan penuh
Salah satu kesilapan yang sering berlaku ialah ibu mula meneran sebelum bukaan serviks mencapai 10 sentimeter.
Meneran terlalu awal boleh menyebabkan tekanan tidak seimbang dan meningkatkan risiko koyakan.
Tunggu arahan doktor atau jururawat untuk mula meneran hanya apabila bukaan serviks telah penuh.
2. Jangan angkat punggung ketika meneran
Mengangkat punggung ketika proses meneran bukan sahaja boleh menyebabkan koyakan, tetapi juga menyukarkan bayi untuk keluar dengan lancar.
Kekalkan posisi punggung rata di atas katil atau permukaan sokongan supaya tenaga terfokus ke saluran lahir.
3. Lakukan urutan perineum
Urutan pada kawasan antara faraj dan dubur (perineum massage) boleh dilakukan sejak minggu ke-34 kehamilan.
Teknik itu membantu meningkatkan keanjalan tisu dan mengurangkan risiko koyakan semasa bersalin.
Gunakan minyak seperti minyak kelapa atau minyak zaitun untuk melembutkan kawasan tersebut secara berkala.
Ibu berpeluang bersalin secara lancar dan selamat tanpa koyakan serius dengan ilmu serta persediaan fizikal dan mental. — Gambar hiasan
4. Pastikan posisi meneran yang betul
Posisi badan memainkan peranan penting ketika meneran.
Pegang kedua-dua buku lali untuk membuka ruang pelvik dengan lebih baik.
Dagu rapat ke dada, ia membantu menghasilkan tekanan yang lebih tepat.
Tarik nafas panjang, teran sekuat dan sepanjang yang boleh. Tenaga meneran perlu dikawal dan disalurkan ke perut, bukan ke wajah.
5. Dengar arahan dan fokus sepenuhnya
Ikuti setiap arahan yang diberikan oleh doktor dan jururawat. Elakkan menjerit ketika meneran kerana ia membazirkan tenaga.
Sebaliknya kawal pernafasan, bertenang dan fokus sepenuhnya pada proses meneran.
Teran sambil senyum, bukan sambil menjerit.
Kawal minda dan emosi untuk memastikan tubuh dalam keadaan bersedia.
Fokus teran di perut, bukan di muka, elakkan tekanan pada kepala yang boleh menyebabkan pembuluh darah pecah atau keletihan melampau.
Setiap kelahiran itu unik, namun dengan ilmu, persediaan fizikal dan mental yang baik serta bimbingan daripada pasukan perubatan, ibu-ibu berpeluang melalui pengalaman bersalin yang lebih lancar dan selamat tanpa koyakan serius.
Sentiasa dapatkan nasihat daripada doktor dan bidan bertauliah untuk latihan dan panduan lanjut sebelum melahirkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram