Rekaan 'shawl' di Malaysia jadi inspirasi, pereka fesyen Jepun perkenal kimono hijab di Tokyo


  • Relaks
  • Jumaat, 09 Mei 2025

Kobayashi ingin menawarkan fesyen sopan yang unik, menggabungkan keindahan Jepun dengan keselesaan dan praktikaliti. — Agensi

XIAXIA Hijab muncul sebagai jenama selendang dari Jepun yang unik, menampilkan gabungan elegan antara kimono tradisional Jepun dan fesyen sopan Islamik.

Diasaskan oleh pereka fesyen, Kaori Kobayashi, jenama hijab pertama dari Jepun yang kini diiktiraf secara rasmi itu telah menjadi simbol pemahaman budaya, inovasi dan fesyen lestari yang menginspirasikan banyak pihak.

Kobayashi berkata, ilham awal tercetus sewaktu lawatannya ke Malaysia pada 2017, apabila beliau pertama kali melihat wanita beragama Islam mengenakan hijab berwarna-warni dengan variasi corak.

BACA LAGI: Padanan eksklusif G2000 dan Tudung Fazura serlah profesionalisme wanita berkerjaya

BACA LAGI: [VIDEO] Pelancongan Korea Selatan semakin 'Muslim-friendly', sedia hijab rona sedondon buat pelanggan gayakan 'hanbok'

 

 

“Sebelum itu, imej Muslimah yang saya kenal hanyalah pakaian serba hitam seperti selalu digambarkan media.

"Namun apabila melihat keindahan dan keceriaan rekaan hijab di Malaysia, pandangan saya terhadap Islam berubah sepenuhnya.

“Sejak itu, saya ingin mencipta sesuatu yang boleh menyatukan kimono yang saya cintai dengan keanggunan pakaian Islam,” katanya dalam temu bual bersama Arab News Japan.

Konsep utama Xiaxia Hijab adalah menyatukan dua simbol keindahan budaya, iaitu kimono dan hijab dalam satu rekaan penuh elegan.

Namun, perjalanan membina jenama tersebut tidak semudah disangka, apatah lagi segalanya dimulakan sendiri oleh pengasas itu.

“Saya belajar menjahit dari awal tanpa sebarang pengalaman, sambil menjaga anak yang mempunyai kelainan upaya intelektual.

"Yang memberi saya kekuatan untuk teruskan bisnes ini adalah para pelanggan yang sentiasa menghargai usaha dan kisah di sebalik setiap hijab ini,” jelas Kobayashi.

Iham memperkenalkan jenama itu tercetus sewaktu lawatan Kobayashi ke Malaysia. — Agensi

Beliau turut menyedari kemungkinan sensitiviti budaya yang timbul sebagai individu bukan Islam yang menghasilkan hijab.

“Saya bimbang jika dianggap tidak sensitif atau tidak menghormati masyarakat Islam.

"Namun saya sangat tersentuh apabila ramai umat Islam memberikan galakan dan kata-kata sokongan yang sangat positif. Ia memberi keyakinan besar,” bicaranya.

Kini, Xiaxia Hijab mendapat sambutan baik bukan sahaja di Jepun, malah di luar negara susulan pendekatannya yang menghormati budaya serta kualiti produk dihasilkan.

Setiap helaian hijab dihasilkan secara eksklusif menggunakan fabrik kimono tulen dan kain sifon buatan Jepun.

“Proses pembuatan melibatkan kira-kira lima tukang jahit. Daripada memilih, membuka, mencuci dan menjahit semula kain kimono semuanya dilakukan secara teliti dan manual. Setiap hijab membawa kisahnya sendiri,” kata Kobayashi lagi.

Jenama itu turut menekankan prinsip kelestarian dan menghargai nilai lama, selaras konsep 'mottainai' dalam budaya Jepun yang bermaksud tidak membazirkan sesuatu yang masih bernilai.

Jelasnya, mereka menggunakan kimono antik berusia lebih 50 tahun yang tidak lagi dipakai.

"Fabrik sutera ini sangat tahan lama. Kami beri nafas baharu kepada kain lama ini dalam bentuk hijab yang anggun,” ujarnya.

Antara rekaan kimono abaya yang dikeluarkan jenama Xiaxia Hijab. — Agensi

Walaupun belum pernah menjejakkan kaki ke Timur Tengah, Kobayashi menerima banyak sokongan daripada pelanggan di rantau tersebut.

“Mereka sangat mesra dan positif. Saya berharap dapat melawat negara tersebut dan bertemu pelanggan secara bersemuka suatu hari nanti,” katanya.

Berbicara mengenai masa depan, Kobayashi memberitahu, Xiaxia Hijab kini dalam perancangan menghasilkan lebih banyak produk baharu, termasuk kimono abaya dan anak tudung diperbuat daripada fabrik Jepun.

"Matlamat kami adalah untuk terus menawarkan fesyen sopan yang unik, menggabungkan keindahan Jepun dengan keselesaan dan praktikaliti.

“Saya harap jenama ini dapat menyumbang sedikit kepada persefahaman budaya dan membawa kegembiraan kepada lebih ramai orang,” ungkap beliau. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram