[VIDEO] 'Muda dulu sibuk kerja', bekas guru usia 82 tahun aktif sertai kelas tarian, pasukan sorak


Rosalind sedang bersolek sebelum membuat persembahan di World Ageing Festival. — Agensi

DI saat kebanyakan individu seusianya memilih untuk bersara dengan tenang, Rosalind Koh pula tampil dengan gaya hidup penuh warna-warni.

Jadual hariannya begitu padat dan penuh dengan aktiviti bertenaga, langsung tidak mencerminkan usianya yang mencecah 82 tahun.

Seawal pukul 6 pagi, dia sudah bangun memulakan hari dengan pelbagai aktiviti, daripada menghadiri kelas tarian, mengajar warga emas, bersosial dengan rakan, sehinggalah ke aktiviti karaoke dan permainan Rummy-O.

BACA LAGI: Warga emas perlu banyak aktiviti sosial — Ahli Parlimen PJ

BACA LAGI: Kehidupan tenang, ceria ketika meniti usia emas di Sunway Sanctuary

 

 

Apabila masuk tidur pada pukul 10 malam, persis golongan muda, dia masih menatap skrin telefon pintar sehingga tertidur lewat tengah malam.

“Ramai yang tanya saya, tak penat ke? Jadual penuh setiap hari tapi sebenarnya, saya tidak rasa penat pun,” katanya yang memulakan karier sebagai pendidik sejak umur 19 tahun.

Bekas guru bahasa Inggeris selama hampir 40 tahun itu kini menikmati tempoh persaraan dengan sepenuhnya.

Walaupun hanya tidur selama enam jam setiap hari, dia tetap bangun tepat pada waktunya untuk memulakan hari yang bertenaga, dimulakan dengan kelas tarian dan nyanyian.

Isnin diperuntukkan untuk tarian Cina diikuti fun dance (Selasa), vogue (Rabu), line dance (Khamis) dan Jumaat pula dia mengajar tarian serta nyanyian kepada warga emas.

Hujung minggu pun tidak kurang sibuknya, dia mengikuti kelas nyanyian di Persatuan Hainan pada Sabtu, manakala kelas tarian rakyat pada Ahad.

Pada sebelah petang pula, dia mungkin bermain Rummy-O (varian permainan Rummikub), berkaraoke atau bertemu rakan untuk makan dan berbual.

Rosalind (tengah) ketika membuat persembahan di World Ageing Festival pada 8 April lalu. — Agensi

Pasukan sorak

Rosalind juga adalah ahli tertua dalam pasukan sorak, satu inisiatif kesihatan sosial yang dianjurkan oleh kelab Aspire55.

Biarpun bergelar peserta tertua dalam keseluruhan 60 warga emas, namun semangat bekas guru dari Singapura itu tidak pernah kalah.

Tampil dengan gaya yang mencuri perhatian, dia aktif mengikut setiap langkah koreografi dengan penuh dedikasi, sambil tampil yakin mengenakan blaus berona biru terang, subang berkilau dan stoking bercorak renda bunga.

“Saya bukan minat tarian sangat pun, tetapi ia buat saya kekal aktif, berjumpa kawan baharu dan memberi alasan untuk saya berhias cantik,” tuturnya yang mengadakan persembahan di World Ageing Festival pada 8 April lalu.

Usai kelas sorakan sekitar pukul 4 petang, dia menyediakan makan malam ringkas berupa telur dan herba segar sebelum ke kelas tarian Cina pada sebelah malam.

Dinding rumahnya dipenuhi gambar-gambarnya tersenyum dalam perjalanan ketika ke Kashmir, Jepun dan China bersama keluarga dan sahabat dengan setiap satunya kenangan yang amat dihargai.

Rosalind adalah ahli tertua dalam pasukan soraknya. — Agensi

Keluarga miskin

Namun kehidupan Rosalind bukan sentiasa indah. Dilahirkan dalam keluarga miskin, dia menjadi yatim piatu, sekali gus perlu bertindak sebagai ketua keluarga pada usia 16 tahun dengan menjaga tiga adik perempuannya.

Momen sukar itu diharungi dengan bantuan komuniti dan seorang insan budiman, mendiang Rudy Mosbergen yang menjadi penyelamat sewaktu dia menuntut di kolej latihan perguruan.

Kini, selepas bersara sejak 2001, hidupnya semakin sibuk dan bermakna. Anak lelaki dan perempuannya yang berusia 50-an serta empat cucu lelaki berumur 13 hingga 23 tahun turut menyokong gaya hidup aktifnya.

“Saya nak kekal sihat supaya tidak menyusahkan anak-anak,” katanya sambil memberitahu anak lelakinya tinggal di blok yang sama.

Rosalind (kiri) menjadi yatim piatu sekali gus perlu bertindak sebagai ketua keluarga pada usia 16 tahun. — Agensi

Namun, di sebalik semangat tinggi dan wajah ceria, Rosalind mengakui masih menyimpan satu ketakutan iaitu perasaan sunyi.

“Saya menjadi takut ketika bersendirian. Saya dah biasa dikelilingi orang. Fikiran tentang sunyi sangat menakutkan saya,” luahnya.

Pun begitu, wanita yang kehilangan suami akibat kanser sejak 14 tahun lalu itu memilih untuk terus bergerak, bergembira dan hidup sepenuhnya.

“Saya tak rasa tua pun kerana umur hanyalah angka. Ada orang umur 50 tahun tetapi sudah macam 80 tahun, tidak mahu keluar (bersosial) pun. Sekarangnya masanya untuk saya nikmati hidup sepuas-puasnya,” katanya tertawa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram