BERTUBUH kecil tidak menghalang Dr Ruziah Ghazali meneruskan usaha memperjuangkan nasib dan keperluan golongan orang kelainan upaya (OKU) dengan menyumbangkan perkhidmatan dalam kerja-kerja sosial.
Ruziah yang merupakan Penasihat Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia itu mencipta pelbagai kejayaan menerusi penerbitan kertas penyelidikan dan dua buah buku berjudul Mempercepatkan Penyelidikan Kuantitatif Anda dan Indahkah Bercinta Lagi sehingga dinobatkan sebagai Tokoh Generasi Felda 2022 serta menerima anugerah Tokoh Orang Kurang Upaya 2021 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan.
Wanita berusia 60 itu berkata, melihat dirinya sebagai 'pejuang' bagi mereka yang mungkin menghadapi diskriminasi atau tidak berani bersuara.
BACA LAGI: Uniknya trend beli barang 'bundle', bukan setakat kawal nafsu, elak membazir
Ruziah tidak pernah berputus asa memberi semangat kepada golongan OKU lain di Malaysia. — The Star
Menurutnya, semangat itu datang daripada pengalamannya sendiri dan keinginan untuk mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif serta adil.
"Advokasi dan memperjuangkan perkara penting menjadi aspek penting dalam hidup kerana saya bahawa setiap orang berhak mendapat hak dan peluang yang sama.
"Saya berminat untuk memperjuangkan hak dan kesejahteraan OKU, menggalakkan Pendidikan inklusif dan berusaha ke arah kesaksamaan jantina," katanya.
Kata Ruziah yang juga graduan Doktor Falasafah (PhD) jurusan Pengurusan Latihan menambah bahawa ramai individu kerdil atau dalam Bahasa saintifiknya dwarfisme berdepan dengan cabaran terutamanya pergerakan fizikal yang terhad.
Tambahnya, usahanya juga didedikasikan secara aktif dalam pembangunan komuniti, keperluan ibu tunggal, asnaf (penerima zakat) dan latihan sumber manusia untuk mana-mana organisasi.
Bersungguh dalam setiap perkara dilakukan, Ruziah komited membentangkan kertas kerja dan cadangan bernas di pelbagai peringkat yang memfokuskan isu-isu berkaitan dengan hak OKU sejak tiga dekad lalu lagi.
Beliau pada masa sama tidak pernah berhenti menyumbangkan kepakarannya tentang kesaksamaan hak itu secara meluas melalui siaran televisyen dan penerbitan akhbar.
Ruziah yang berdikari dalam menjalani hidupnya sejak ayahnya meninggal dunia ketika usianya 12 tahun. — The Star
Keluarga penguat semangat
Wanita berasal dari Kajang, Selangor itu turut menyifatkan bahawa kesungguhannya untuk mengharungi cabaran dan memiliki kejayaan kini adalah hasil didikan arwah bapanya, Ghazali Pie yang merupakan seorang peneroka Felda Rokan Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan.
Berkongsi serba sedikit tentang kisah hidupnya, Ruziah berkata, bapanya sering menghargai keunikan dirinya sebagai seorang anak istimewa dan sentiasa menyokong minatnya.
Bapanya juga kerap menyuntik kata-kata semangat untuk terus fokus kepada pelajaran dan menghiraukan sebarang persepsi negatif terhadap keadaan fizikalnya terutamanya Ketika di bangku sekolah.
"Sedihnya, ayah meninggal dunia ketika saya baru berusia 12 tahun. Maka, sejak itu, saya menyaksikan pengorbanan ibu membesarkan kami tujuh beradik.
"Ibu terpaksa memulakan harinya seawal pukul 4 pagi untuk menyediakan kelengkapan makanan sebelum pergi kerja di ladang getah sebagai peneroka Felda.
"Dia juga ada bercerita tentang penglibatan aktif arwah ayah dalam pelbagai pertubuhan kemasyarakatan di felda tersebut.
"Beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Jawatankuasa Masjid, Pengerusi Jawatankuasa Pelan Kemajuan dan Keselamatan Felda serta Setiausaha Parti Politik di felda itu," jelasnya.
Katanya lagi, dedikasi arwah ayahnya itu sekali gus mendorongnya untuk melakukan perkara sama dan mencontohi etika kerjanya.
Ruziah menasihatkan kepada para ibu bapa lain untuk sentiasa menghargai potensi anak-anak istimewa. — The Star
Ruziah percaya bahawa ibu bapanya memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran inklusif untuk kanak-kanak lain sepertinya.
"Sokongan ibu bapa banyak membantu membina keyakinan diri dengan kemahiran menyelesaikan masalah dan sentiasa menerapkan minda positif.
"Mereka juga menyumbang kepada kualiti hidup pada jangka masa panjang, meningkatkan peluang pekerjaan dan kemahiran social," katanya.
Ruziah justeru menggalakkan ibu bapa lain yang dianugerahkan anak-anak istimewa untuk tidak mengabaikan kemampuan atau potensi diri mereka.
"Ketika di sekolah, saya selalui beritahu rakan sekelas bahawa kita semua dicipta oleh Tuhan.
"Saya juga selalu gunakan kelemahan saya sebagai motivasi untuk memperbaiki diri," ujarnya.
Sentiasa hargai diri sendiri
Ruziah turut menasihatkan para OKU untuk sentiasa memberi tumpuan kepada pembangunan peribadi, menetapkan matlamat, menerima sokongan komuniti agar dapat menjalani kehidupan dengan yakin dan mencapai matlamat mereka.
"Dengan mengembangkan kebolehan mereka, individu OKU boleh menonjolkan bakat, memupuk rasa harga diri dan pencapaian.
"Aspek penting dalam visi saya adalah untuk mencipta dan memudahkan peluang pekerjaan untuk OKU.
"Malah, dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan, termasuk perniagaan dan institusi pendidikan, matlamat saya adalah untuk mewujudkan amalan pekerjaan inklusif yang memperkasakan OKU serta menyumbang secara aktif kepada tenaga kerja dan mencapai kemerdekaan ekonomi.
"Saya juga ingin berusaha ke arah melaksanakan program dan inisiatif yang memenuhi keperluan unik mereka, memastikan kesejahteraan fizikal, mental dan emosi mereka diutamakan," katanya.
Beliau mengharapkan akan ada pelaksanaan model pembangunan sosial yang komprehensif bagi menggalakkan keterangkuman dan penyertaan sama khusus buat OKU.
Cadangnya, model itu akan merangkumi program pendidikan, rekreasi dan penglibatan komuniti, memupuk semangat kekitaan dan menggalakkan penglibatan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram