
ARCHIKA Dogra, seorang aktivis muda dari Amerika Syarikat (AS) menubuhkan pertubuhan bukan keuntungan, Innoverge pada 2017 dengan misi memperluas akses pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi tujuan kebaikan sosial serta mengatasi ketidaksamarataan pendidikan di peringkat global.
Ketika masih di sekolah menengah, Dogra lebih cenderung kepada bidang kemanusiaan.
Namun titik perubahan berlaku apabila beliau diterima masuk ke Stanford Artificial Intelligence Laboratory Outreach Summer Program pada musim panas 2017, selepas tahun pertamanya di Sekolah Tinggi Interlake.
BACA LAGI: Terpaksa berhenti kerja jaga anak, saintis lebar sayap terokai bidang kosmetik
Di situlah beliau mula menyedari bahawa teknologi mampu menjadi pemangkin kepada perubahan sosial.
“Musim panas ketika itu benar-benar mengubah cara saya melihat teknologi.
“Program tersebut menunjukkan bagaimana kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin boleh memberi kesan besar terhadap masyarakat,” katanya.
Dogra (kiri) ketika di Kem Sains Komputer x Keusahawanan Innoverge 2019. — Agensi
Dalam program tersebut, Dogra mengusahakan pembangunan model computer vision bagi memetakan kadar kemiskinan di Uganda sebagai sebahagian daripada usaha pengagihan sumber yang lebih efektif.
Beliau turut dibimbing tokoh terkenal, Profesor Fei Fei Li, yang kini merupakan salah seorang mentornya yang paling berpengaruh.
Sejak itu, perjalanan Dogra dalam dunia teknologi tidak lagi terhenti.
Pada 2018, beliau terpilih menyertai program latihan NASA SEES di Austin, Texas, AS, yang mana beliau membangunkan aplikasi web untuk menyokong usaha tindak balas banjir di negeri tersebut.
Beliau juga pernah terlibat dalam penyelidikan di Universiti Washington yang menggabungkan neurosains dan pembelajaran mesin.
Kepimpinan
Tahun berikutnya, beliau menjalani latihan industri di Sensoria Health, syarikat pemula di Redmond yang membangunkan teknologi boleh pakai.
Dogra turut meraih pelbagai pengiktirafan, termasuk pemenang Congressional App Challenge 2018, penerima Mars Generation Global 24 under 24 STEM Leader 2019, dan Google Computer Science Summer Institute Scholar 2020.
Kepimpinan beliau turut terserlah apabila mengetuai TEDxYouth@Redmond sebagai presiden pada 2019, mengasaskan Persatuan Pelajar Teknologi di sekolahnya dan mengetuai pasukan debat.
Antara pencapaian terbesar Dogra ialah penubuhan Innoverge, sebuah organisasi yang diketuainya sebagai pengarah eksekutif.
Dogra tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 bagi 2024. — Agensi
Innoverge memfokuskan kepada pendidikan STEM untuk komuniti yang kurang mendapat akses dan sehingga kini pertubuhan itu berkembang pesat dan kini mempunyai 75 cawangan yang dikendalikan oleh belia di 14 negara.
Melalui kerjasama strategik dengan pusat komuniti, sekolah dan perpustakaan, organisasi itu berjaya menyediakan pelbagai program dalam bidang STEM dan kemanusiaan kepada lebih 10,800 pelajar daripada golongan yang kurang mendapat pendedahan pendidikan.
“Innoverge wujud kerana saya sedar, bukan sahaja siapa yang belajar STEM itu penting, tetapi juga bagaimana kita mengajarkannya,” jelas Dogra.
Beliau turut berkongsi pengalamannya sewaktu menyertai kem sains komputer yang majoritinya lelaki, menjadikan dirinya berasa terpinggir.
“Saya fikir jika tiada pelajar perempuan lain, maknanya tempat ini bukan untuk saya,” tegas beliau.
Namun segala keraguan itu diubah oleh Profesor Li yang mengajarnya bahawa teknologi hanya akan benar-benar berjaya apabila semua suara didengari dan setiap individu diberi tempat.
Forbes 30
Perjalanan luar biasa Dogra dalam memperjuangkan pendidikan STEM dan keadilan sosial membuahkan pengiktirafan antarabangsa apabila tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 bagi 2024.
Pengiktirafan berprestij itu meletakkan Dogra sebaris dengan tokoh muda paling berpengaruh di dunia dalam pelbagai bidang, termasuk inovasi, keusahawanan dan perubahan sosial.
Kini, dengan visi yang jelas dan semangat yang membara, Dogra bukan sahaja membuktikan dirinya mampu mencorak masa depan dalam dunia teknologi, tetapi juga memberi inspirasi kepada ramai lagi belia untuk mempercayai bahawa tempat mereka juga wujud dalam bidang itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram