Rampas takhta Taylor Swift, Lucy Guo capai status bilionair wanita termuda hasil titik peluh sendiri


Luvy menjadi wanita termuda bergelar bilionair hasil usaha sendiri. — Agensi

LUCY Guo, usahawan teknologi yang terkenal sebagai pengasas bersama Scale AI, kini secara rasmi merampas gelaran Taylor Swift sebagai wanita termuda bergelar bilionair hasil usaha sendiri, hanya pada usia 30 tahun.

Lucy menubuhkan syarikat pemula AI generatif itu pada 2016 bersama Alexandr Wang, namun meninggalkan syarikat tersebut pada 2018. 

Kini, syarikat berpusat di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) itu dinilai sebanyak AS$14 bilion (RM62 bilion) dan dalam proses menyelesaikan tawaran tender yang boleh meningkatkan nilainya kepada AS$25 bilion (RM110 bilion). 

BACA LAGI: Saintis kecantikan, Nur Furyna eksperimen formula baharu lebarkan empayar AuraWhite

BACA LAGI: Jana pendapatan jutaan ringgit, Sailajah bantu lebih 10,000 wanita berbisnes, ada dah mampu beli rumah, kereta

Lucy merampas gelaran Taylor (gambar) sebagai wanita termuda bergelar bilionair hasil usaha sendiri. — Agensi

Lucy masih memiliki kira-kira lima peratus pegangan, dengan anggaran nilai sebanyak AS$1.2 bilion (RM5.3 bilion).

Selepas meninggalkan Scale AI, Lucy menubuhkan firma modal teroka Backend Capital, yang memberi tumpuan kepada pelaburan dalam jurutera berpotensi tinggi. 

Namun, beliau tidak lama berehat daripada dunia syarikat pemula.

Kini, beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Passes, sebuah syarikat yang dibangunkannya pada 2022, iaitu sebuah platform langganan sama seperti Patreon atau OnlyFans.

Passes memasarkan dirinya sebagai alternatif arus perdana kepada OnlyFans dan telah menandatangani kerjasama dengan bintang bola keranjang, Shaquille O’Neal serta atlet gimnastik, Olivia Dunne.

Syarikat itu disokong oleh dana permulaan sebanyak AS$40 juta (RM176 juta). Bagaimanapun, Lucy dan Passes kini berdepan saman yang mendakwa syarikat itu meraih keuntungan daripada kandungan eksplisit yang melibatkan remaja bawah umur. 

Pihak Passes menafikan tuduhan tersebut dengan menyifatkannya sebagai palsu.

Passes membenarkan pencipta kandungan mengekalkan 90 peratus daripada pendapatan mereka dan menjana wang melalui langganan, siaran langsung dan mesej interaktif bersama peminat.

Lucy memiliki akses kepada gaya hidup yang menjadi impian ramai. — Instagram/guoforit

Pengaruh gerakan FIRE

Lucy sebelum ini memberitahu majalah Fortune bahawa gerakan Financially Independent, Retire Early (FIRE) banyak mempengaruhi keputusan awal dalam kerjayanya. 

“Saya akan melayari Reddit dan membaca forum Lean FIRE dan Fat FIRE kerana ia banyak mengajar tentang pengurusan kewangan dan kekayaan. 

"Bila masih muda, anda boleh terima gaji yang lebih rendah. 

"Saya tertarik dengan idea bahawa anda boleh bersara dengan jumlah wang yang tidak begitu besar tetapi masih boleh hidup dengan selesa," jelasnya.

Kini sebagai ahli baharu kelab bilionair, Lucy memiliki akses kepada gaya hidup yang menjadi impian ramai.

Menurut Forbes, Lucy merupakan salah seorang daripada enam bilionair wanita di dunia, berusia bawah 40 tahun, yang berjaya hasil usaha sendiri.

Beliau juga satu-satunya yang membina sebahagian besar kekayaannya daripada syarikat yang tidak lagi diusahakan secara langsung.

Selain daripada mengikuti prinsip gerakan FIRE, kejayaan wanita itu turut dipacu oleh hubungan profesional yang dibinanya.

“Rangkaian kenalan ialah nilai bersih anda. 

"Jika anda mempunyai hubungan baik dengan banyak dana pelaburan dan juga pekerja atau pengasas syarikat pemula peringkat awal, anda boleh menjana pendapatan lumayan melalui urus niaga saham sekunder dalam syarikat pemula yang sedang ‘panas’,” ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram