
PENYANYI berbakat tanah air, Marsha Milan Londoh mencipta sejarah peribadi apabila wajahnya terpampang megah di papan iklan digital ikonik di Times Square, New York, Amerika Syarikat (AS) menerusi kempen #SpotifyEQUAL yang meraikan artis wanita dari seluruh dunia.
Berita gembira tersebut dikongsikan pelantun lagu Hening Rindu itu menerusi satu hantaran di laman Instagram miliknya pada Jumaat.
"Melihat diri saya terpampang di papan iklan di Times Square, New York adalah sesuatu yang melangkaui impian saya!
"Terima kasih #SpotifyEQUAL kerana memberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada kempen ini," tulisnya.
BACA LAGI: Adibusana ciptaan Faizul Surani serlah keanggunan Marsha di pentas AJL-39
BACA LAGI: Ernie, Marsha didakwa lebih layak bawa pulang trofi Vokal Terbaik
Wanita berasal dari Tamparuli, Sabah itu turut menyentuh cabaran yang dilaluinya sepanjang perjalanan dalam industri muzik tanah air.
Akuinya, sebagai penyanyi wanita dari Borneo, perjalanan ditempuhi tidak mudah, namun kejayaan seperti itu mengingatkan dirinya tentang permulaan langkahnya dalam industri muzik.
"Sebagai penyanyi wanita dari Borneo, perjalanan ini tidak selalu mudah, tetapi detik seperti inilah yang mengingatkan saya kepada sebab saya bermula.
"Terima kasih Spotify Asia kerana mengangkat suara kami ke persada dunia. Kepada semua wanita dalam industri muzik, suara anda sangat bermakna dan kami perlu mendengarnya lebih lagi!" luah pemenang Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL 39) itu.
Berkongsi kepada Majoriti, bekas peserta Akademi Fantasia musim ketiga itu berkata, kejayaan itu bukan sahaja satu pencapaian peribadi, tetapi juga simbol harapan buat anak-anak Borneo dan Malaysia secara keseluruhan.
Katanya, ia satu momen yang begitu emosional dan mengingatkan beliau betapa jauhnya perjalanan dilalui, dari kampung ke pentas dunia.
Kejayaan diraih kini mengingatkan Marsha tentang permulaan langkahnya dalam industri muzik. — Instagram/marshamilan
Ditanya sama ada beliau pernah menyasarkan untuk wajahnya muncul di papan iklan di Times Square, bintang drama Rindu Awak Separuh Nyawa itu mengakui bahawa ia bukan impian khusus, namun percaya pada rezeki dan hasil usaha berterusan.
"Saya selalu percaya pada kerja keras, konsistensi dan niat yang ikhlas dalam berkarya.
"Kadang-kadang rezeki datang dalam bentuk yang kita tak jangka dan ini salah satunya.
"Ini mungkin bukan sesuatu yang Marsha impikan secara spesifik, tapi ia adalah satu hadiah yang sangat besar daripada Tuhan hasil usaha selama ini," tuturnya.
Marsha dalam pada itu memberikan kata-kata semangat buat bakat muda negara yang menyimpan hasrat untuk melebarkan sayap ke persada antarabangsa.
Beliau menekankan pentingnya keyakinan diri dan kebanggaan terhadap asal-usul sebagai asas utama untuk menempah kejayaan di peringkat global.
“Jangan malu menjadi siapa kita. Dunia kini lebih terbuka untuk menerima kepelbagaian, jadi gunakan keunikan itu sebagai kekuatan.
"Yang penting teruskan belajar, bekerja keras dan jangan takut untuk bermimpi besar. Kita semua ada tempat di pentas dunia, asal kita berani melangkah,” titipnya ikhlas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram