
WANITA Pertama Turkiye, Emine Erdogan mengadakan pertemuan rasmi dengan beberapa pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membincangkan isu perlindungan kanak-kanak di peringkat global dan situasi kemanusiaan di Gaza.
Pertemuan pada Khamis yang berlangsung di Kompleks Presiden di Ankara itu dihadiri Wakil Khas PBB mengenai Keganasan terhadap Kanak-Kanak, Dr Najat Maalla M'jid; Penyelaras Pemastautin PBB di Turkiye, Babatunde Ahonsi; wakil Tabung Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Turkiye, Paolo Marchi dan Menteri Perkhidmatan Keluarga dan Sosial Turkiye, Mahinur Ozdemir Goktas.
Dalam pertemuan itu, Projek Duta Sukarelawan yang dilancarkan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pada 2012 bagi menempatkan kanak-kanak dalam persekitaran keluarga telah diketengahkan sebagai satu model rujukan global.
Paolo Marchi memuji kepimpinan Emine dalam isu sosial, dengan menyatakan bahawa beliau memainkan peranan penting bukan sahaja di peringkat nasional, malah antarabangsa dalam usaha melindungi kanak-kanak.
BACA LAGI: Penterjemah Erdogan curi tumpuan, ibunya wanita pertama berhijab di Parlimen Turkiye
Pelbagai langkah konkrit dibincangkan bagi melindungi kanak-kanak yang menjadi mangsa konflik. — Agensi
Fokus masa depan kanak-kanak
Emine dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform X (Twitter) selepas pertemuan itu berkata, perbincangan tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam mencegah keganasan terhadap kanak-kanak dan mempertingkatkan keberkesanan sistem perlindungan sedia ada.
“Kami juga membincangkan ruang kerjasama untuk mengembangkan sistem penjagaan anak angkat di peringkat global melalui Projek Duta Sukarelawan,” tulisnya.
Menurut beliau, terdapat persetujuan bersama mengenai keperluan untuk mewujudkan satu sistem yang bukan sahaja memastikan keselamatan dan kesihatan kanak-kanak di bawah perlindungan negara, tetapi turut membolehkan mereka dibesarkan dalam persekitaran kekeluargaan harmoni.
Pertemuan tersebut turut menyentuh mengenai tragedi kemanusiaan yang sedang melanda Gaza.
Emine berkata, pelbagai langkah konkrit dibincangkan bagi melindungi kanak-kanak yang menjadi mangsa konflik.
“Menjadi suara kepada kanak-kanak dan memastikan mereka menuju masa depan yang aman dan penuh harapan adalah tanggungjawab bersama kita,” tegasnya.
Beliau juga menyuarakan harapan agar solidariti antarabangsa dalam perlindungan kanak-kanak terus diperkukuh dan setiap bentuk kerjasama yang terjalin dapat membawa impak positif kepada masa depan generasi muda di seluruh dunia. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram