
KISAH seorang wanita lumpuh dari wilayah Hunan, China menjadi tular di media sosial apabila menggunakan perut untuk mengendalikan mesin jahit demi mencari rezeki.
Kegigihannya itu pantas meraih perhatian ribuan pengguna internet.
Tang Manxia, 42, yang menetap di bandar Changsha, telah digelar sebagai 'belly sewing sister' oleh warga maya selepas kaedah uniknya itu dimuat naik oleh platform Dami Video.
Manxia menjadi lumpuh selepas terlibat dalam satu kemalangan pada 2018 dan sejak itu bergantung sepenuhnya pada kerusi roda untuk bergerak.
BACA LAGI: Model 'reject' bersolek, dijeling MUA lain tak patahkan semangat wanita Lumut derita tulang rapuh
BACA LAGI: Lumpuh bukan halangan, perjuangan remaja di Syria tuntut ilmu jadi pembakar semangat komuniti OKU
Akibat keadaan tersebut, dia terlantar selama dua tahun dan mengalami tekanan emosi yang mendalam.
Namun, semangat wanita itu kembali pulih selepas seorang sahabat baik yang membantunya setiap hari memberi dorongan untuk bangkit dan menjalani kehidupan seperti biasa.
“Rakan kata saya tidak boleh terus terperangkap dalam dunia sendiri. Walaupun kaki tidak dapat bergerak, otak saya masih boleh berfungsi,” katanya dalam satu wawancara.
Manxia menjadi lumpuh selepas terlibat dalam satu kemalangan pada 2018. — Agensi
Dengan semangat baharu, Manxia bersama rakannya membuka sebuah kilang penghasilan selimut, dengan dia bertanggungjawab sepenuhnya dalam aspek rekaan dan penjahitan.
Namun cabaran muncul apabila dia mendapati tiada mesin jahit di pasaran yang sesuai untuk individu kurang upaya seperti dirinya.
Tidak patah semangat, dia mencipta sistem sendiri dengan membalut sebatang gelang besi di sekeliling perut yang disambung kepada pedal mesin jahit, membolehkannya menggerakkan mesin menggunakan kekuatan badan bahagian atas.
“Saya bergerak ke depan dan ke belakang seperti boneka 'tumbler'.
“Selepas berlatih selama tiga bulan, saya kini menjahit dengan lancar seperti orang lain yang menggunakan kaki,” jelasnya.
Selain kejayaan dalam perniagaan, Manxia juga aktif menjalankan kerja-kerja kebajikan.
Dalam tempoh empat tahun, dia memulihkan 4,000 selimut secara percuma untuk warga emas dan menyumbangkan 700 selimut kepada golongan memerlukan.
“Saya harap kisah ini dapat memberi semangat kepada mereka yang kurang upaya atau hilang arah akibat kemalangan.
"Tuhan mungkin menutup satu pintu, tapi Dia sentiasa membuka ruang lain untuk kita,” bicaranya.
Kisahnya mendapat sambutan hangat di media sosial tanah besar China dengan ramai memuji kekuatan dan keazaman wanita tersebut yang tidak mengenal erti putus asa.
“Tabik hormat buat Manxia, seorang wanita yang kuat dan pandai berdikari. Anda sangat memberi inspirasi.
“Dia memang hebat. Masalah hidup saya langsung tidak setanding dengan apa yang telah dilaluinya,” tulis seorang pengguna internet. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram