
JENAMA penjagaan kulit tempatan yang kian menempa nama, Dr Anne Skincare terus mengorak langkah ke hadapan apabila secara rasmi melancarkan ibu pejabat baharu yang terletak di Kajang, Selangor, baru-baru ini.
Majlis pelancaran itu turut menyaksikan satu lagi kejayaan membanggakan buat syarikat apabila produk terkemuka mereka, Advanced Metabiotic Micro Essence, diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai Produk Penjagaan Kulit Tempatan Pertama Yang Menggunakan Metabiotik.
Lebih istimewa, majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, yang hadir bagi memberikan sokongan penuh terhadap kemajuan usahawan tempatan, terutamanya wanita dalam industri kecantikan.
BACA LAGI: Terpaksa berhenti kerja jaga anak, saintis lebar sayap terokai bidang kosmetik
Ibu pejabat baharu Dr Anne Skincare yang terletak di Kajang, Selangor.
Bagi pengasas Dr Anne Skincare, Dr Nurhidayah Roslan, pembukaan ibu pejabat baharu itu menjadi lambang perjuangan beliau yang pernah mengorbankan kerjaya demi keluarga sebelum membina empayar kecantikan dari bawah.
Mesra disapa Dr Anne, beliau merupakan bekas pensyarah dalam bidang kejuruteraan genetik di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Namun, demi memberi tumpuan kepada tumbesaran anak keduanya, Luqman Al-Hakim Mohd Shafiruz yang menghadapi masalah lambat pertuturan (speech delay) dan trauma dengan pengasuhan, beliau nekad melepaskan jawatan yang dicintainya.
Sambil mengurus anak di rumah, beliau mula mencari solusi untuk masalah ekzema kulitnya sendiri, lalu menghasilkan produk penjagaan kulit berdasarkan kajian dan formulasi sendiri.
Bermula dengan eksperimen untuk kegunaan peribadi, produk-produk itu kemudiannya mendapat sambutan hangat di media sosial, dari situ lahirlah jenama Dr Anne Skincare.
Kini selepas sembilan tahun beroperasi, jenama tersebut berkembang daripada sebuah makmal kecil kepada perniagaan berimpak tinggi yang kini memiliki kilang sendiri serta ibu pejabat tiga tingkat yang mampu menempatkan sehingga 100 staf.
Dr Anne Skincare turut mendapat pengiktirafan di beberapa misi eksport dan kini bersedia untuk mengorak langkah menembusi pasaran antarabangsa bermula dengan Singapura, Brunei dan Turki.
“Kami bukan sekadar jual produk nak cantik atau putih, sebaliknya fokus kepada pemulihan kulit.
"Saya tahu derita orang yang alami masalah kulit sebab saya sendiri pernah laluinya,” luahnya.
Dr Anne mengundur diri sebagai saintis di UPM bagi memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tumbesaran anak-anak.
Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu lagi, bangunan ibu pejabat baharu tersebut bukan hanya menempatkan pejabat, tetapi juga retail shop dan spa dengan konsep rawatan holistik.
Beroperasi secara dalam talian sebelum ini, akuinya, ada keperluan yang tidak boleh dilihat melalui gambar atau perbualan telefon sahaja.
Beliau menambah, antara tarikan utama ibu pejabat tersebut adalah penggunaan teknologi moden seperti mesin analisis kulit yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI).
Mesin tersebut digunakan untuk mendapatkan bacaan terperinci keadaan kulit pelanggan, bagi memastikan rawatan dan produk yang disarankan benar-benar sesuai dengan keperluan kulit individu.
Dr Anne menegaskan bahawa pendekatan mereka bukan sekadar menjual produk, tetapi menawarkan penyelesaian menyeluruh terhadap masalah kulit pelanggan.
“Penjagaan kulit sahaja kadangkala tidak mencukupi. Kadang-kadang kulit perlu dianalisis secara fizikal.
"Mungkin ada kerosakan yang lebih mendalam, sebab itu kami juga sediakan rawatan spa khusus sebagai pelengkap kepada penyelesaian luaran,” jelas beliau.
Tengku Amir Shah (kanan) ketika mengadakan lawatan di ibu pejabat baharu Dr Anne Skincare.
'Telur emas'
Berbicara tentang Advanced Metabiotic Micro Essence pula, pemenang tempat pertama Program Aspire Edisi Kelima, anjuran Tengku Amir Shah melalui Selangor Youth Community (SAY) itu berkata, hanya kurang daripada 10 jenama di seluruh dunia yang menggunakan bahan istimewa itu dalam formulasi produk mereka.
Jelasnya, metabiotik adalah satu bentuk lanjutan daripada postbiotic, hasil fermentasi bakteria baik yang membekalkan nutrien penting untuk kesihatan kulit.
“Jika postbiotic diibaratkan sebagai telur angsa, metabiotik ini umpama telur emas, yakni jauh lebih berharga dan berkuasa dalam memperbaiki struktur serta fungsi kulit," tuturnya.
Beliau menambah, bahan metabiotik yang digunakan dalam produk tersebut bukan sahaja membantu mengembalikan kelembapan kulit secara semula jadi, malah merangsang penghasilan faktor pelembap semula jadi (NMF) oleh kulit itu sendiri.
Ungkap usahawan berasal dari Kuantan, Pahang itu lagi, ia berbeza daripada kebanyakan produk pelembap di pasaran yang hanya bertindak menggantikan kelembapan sementara.
“Ramai yang mengalami masalah kulit kering atau menggelupas hanya bergantung kepada krim pelembap atau ceramide.
"Namun dengan metabiotik kulit didorong untuk menyembuhkan dirinya sendiri. Ini satu pendekatan yang lebih holistik dan berkesan,” katanya.
Menurut Dr. Anne lagi, idea untuk menghasilkan Metabiotic Micro Essence memakan masa agak lama, termasuk proses pemilihan bahan, kajian formulasi dan pengujian keserasian.
Tuturnya, walaupun bahan metabiotik dipatenkan di luar negara, beliau mengambil inisiatif membawa teknologi tersebut ke Malaysia agar rakyat tempatan dapat merasai manfaat produk bertaraf antarabangsa.
“Penggunaan teknologi seperti metabiotik bukan sahaja memberi kelebihan dari sudut keberkesanan, malah meletakkan produk tempatan setaraf jenama antarabangsa seperti SK-II dan Estee Lauder yang turut menggunakan konsep mikro-essence, tetapi dengan komponen berbeza,” tambah beliau.
Dr Anne Skincare giat membantu memulihkan kulit mangsa produk berbahaya melalui pendekatan berasaskan sains dan teknologi.
Merkuri
Bercerita lanjut, Dr Anne sempat berkongsi tentang seorang pengguna dikenali sebagai Kak Mah, penduduk Felcra di Terengganu, yang mengalami kerosakan kulit teruk akibat penggunaan produk mengandungi merkuri.
Akui beliau, ramai pengguna di kawasan pedalaman seperti Felcra tidak mempunyai akses kepada farmasi atau kedai rantaian penjagaan kesihatan dan kecantikan.
Sebaliknya, mereka cenderung membeli produk penjagaan kulit dari kedai runcit yang tidak disahkan, dengan kebanyakannya mengandungi merkuri.
Kak Mah, yang disapa Dr Anne ketika menjalankan program bimbingan usahawan anjuran kerajaan, memaklumkan beliau malu untuk keluar rumah akibat kesan parah pada wajahnya.
Sejak itu, Dr Anne mengambil inisiatif melancarkan program khas untuk membantu mangsa produk beracun, khususnya produk yang mengandungi merkuri.
“Produk kami tak beri kesan drastik dalam masa tiga hari seperti produk berbahaya. Sebaliknya, kami fokus untuk memperbaiki dan merangsang pembaharuan sel kulit secara sihat dan semula jadi. Alhamdulillah, banyak transformasi yang telah kami bantu capai,” ujarnya.
Tidak dinafikan, sebahagian besar pelanggan mereka terdiri daripada individu yang pernah menggunakan produk kecantikan mengandungi bahan terlarang seperti merkuri.
Jelas Dr Anne, hanya sekitar 20 peratus daripada pelanggan yang tampil mengakui secara terbuka bahawa mereka adalah mangsa produk mengandungi merkuri.
Namun, berdasarkan analisis dan pemerhatian terhadap keadaan kulit pelanggan, pihaknya menjangkakan angka sebenar adalah jauh lebih tinggi.
"Biasanya kami akan tanya punca kulit rosak dan daripada situ kita boleh jangka sama ada individu berkenaan adalah mangsa merkuri.
"Namun tak semua berani mengaku. Yang betul-betul mengaku dan kita sahkan produk yang mereka guna tersenarai dalam senarai produk terlarang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hanyalah sekitar 20 peratus,” ujarnya.
Sebagai jenama yang mengutamakan keselamatan dan keberkesanan, Dr Anne Skincare kini giat membantu memulihkan kulit mangsa produk berbahaya melalui pendekatan berasaskan sains dan teknologi, termasuk rawatan menggunakan bahan aktif selamat serta analisis kulit menggunakan teknologi berkuasa AI.
Jenama itu turut menyasarkan untuk memperluas model rawatan ke seluruh negara melalui konsep francais agar lebih ramai pengguna khususnya wanita, memperoleh rawatan serta produk yang benar-benar selamat dan berkesan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram