Terpaksa berhenti kerja jaga anak, saintis lebar sayap terokai bidang kosmetik


  • Bizz
  • Khamis, 15 Ogos 2024

Dr Anne mengundur diri sebagai saintis di UPM bagi memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tumbesaran anak-anak.

MENGORBANKAN kerjaya yang dicintai pastinya bukan satu keputusan yang mudah untuk diambil.

Pun begitu, Dr Nurhidayah Roslan nekad mengundur diri daripada kerjaya sebagai saintis di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tumbesaran anak-anak, terutama anak keduanya, Luqman Al-Hakim Mohd Shafiruz, 13.

Berkongsi kepada Majoriti, Ketua Pegawai Eksekutif DASC International Sdn Bhd yang mesra disapa Dr Anne itu memberitahu, doktor mendapati perkembangan saiz otak Luqman Al-Hakim tidak normal, ketika dalam kandungan.

BACA LAGI: [VIDEO] Pernah terima 'bungkusan' tongkeng ayam dan rambut, Wan Azmir anggap hanya mainan psikologi takutkan peguam

BACA LAGI: Dari mekanik jadi tauke kopi terkemuka, Muhamad Zamry mahu Richiamo Coffee tembusi pasaran antarabangsa

Ujar ibu kepada tiga cahaya mata itu, doktor mengesyaki anaknya berkemungkinan mengalami sindrom Down dan memintanya merujuk kepada pakar untuk kepastian.

"Mungkin pada waktu itu saya sangat sedih jadi saya putuskan untuk tidak ke pakar. Saya hanya berdoa setiap hari semoga ALLAH SWT mengurniakan anak yang sihat dan cerdas.

"Alhamdulillah anak saya lahir sebagai bayi yang normal dan tiada simptom sindrom Down. Cuma perkembangan berbeza dengan anak sulung, dia tidak boleh bercakap sehinggalah usia hampir lima tahun.

"Dia juga sukar bergaul dengan kanak-kanak yang lain sewaktu kecil, kerap meragam dan menangis," katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman tiga pemenang Program Aspire Edisi Kelima, anjuran Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui Selangor Youth Community (SAY).

Beliau merupakan pemenang tempat pertama dalam program yang turut dihadiri oleh Tengku Amir Shah, selaku juri pertandingan.

WhatsApp Image 2024-08-14 at 23.23.32

Tengku Amir Shah melawat reruai Dr Anne Skincare ketika majlis pengumuman tiga pemenang Program Aspire Edisi Kelima.

Mengulas lanjut, ungkap usahawan berasal dari Kuantan, Pahang itu lagi, kemuncak kepada keputusannya untuk berhenti kerja pada tahun 2016 adalah apabila menyedari bahawa tidak semua pengasuh mampu menjaga Luqman Al-Hakim dengan sebaiknya.

Lebih pilu, dia diberitahu anaknya itu pernah diheret ke tangga oleh pengasuh sewaktu di kediaman mereka, ketika berumur tiga tahun.

"Saya syak dia juga pernah dipukul, mungkin sebab orang tidak faham perangainya yang sering meragam.

"Mungkin masa itu dia tak tahan dengan perangai anak, jadi dia pegang dan heret anak, itulah momen yang buatkan saya sedar, cukuplah, takkan saya nak anak jadi mangsa hanya kerana saya kejar kerjaya," ujarnya lagi.

WhatsApp Image 2024-08-14 at 23.23.33 (1)

Dr Anne merupakan pemenang tempat pertama dalam program SAY Aspire.

Cinta penyelidikan

"Kalau nak tahu saya memang sangat suka buat penyelidikan. Saya nampak hidup saya bermula dan berakhir dengan membuat penyelidikan.

"Namun saya diuji apabila terpaksa melepaskan kerjaya supaya boleh fokus pada perkembangan anak, jadi pada mulanya saya anggap itu adalah pengakhiran untuk perjalanan penyelidikan saya," tutur anak kelima dari lapan beradik.

Beliau mengakui, kehidupannya menjadi lebih sukar dan mencabar selepas berhenti kerja.

Namun bagi Dr Anne, sokongan daripada keluarga, ditambah kehadiran suami tercinta sebagai penyokong terbesar membuatkan dirinya bangkit untuk mengatasi dugaan tersebut.

Menjadikan bisnes kecantikan sebagai platform, beliau menggunakan kepakarannya dalam bidang cell signaling untuk membuat kajian dalam industri kosmetik.

Bercerita lanjut mengenai pembabitannya dalam bidang perniagaan, Dr Anne berkata, beliau mula menjalankan penyelidikan terhadap kulit wajahnya terlebih dahulu pada tahun 2018.

"Dua tahun kemudian baru saya yakin untuk jadikannya sebagai bisnes kerana sudah cuba pada muka sendiri dan Alhamdulillah tertubuhnya produk Dr Anne Skincare pada 2020.

"ALLAH takdirkan apabila saya buat bisnes ini, lebih banyak peluang untuk menjalankan penyelidikan datang kepada saya," jelasnya yang sudah 18 tahun berkecimpung dalam dunia penyelidikan sel, yang membentuk respons kulit terhadap persekitaran dan dalaman.

WhatsApp Image 2024-08-14 at 23.24.18

Kosmetik halal

Beliau yang menyambung pengajian doktor falsafah (PhD) dalam jurusan Genetic Engineering and Biomolecular Sciences di UPM pada usia 22 tahun berkata, Dr Anne Skincare mengetengahkan persijilan halal produk penjagaan anti-penuaan kulit.

Produk berkenaan menggabungkan kekuatan ekstrak botani dengan teknologi terkini berasaskan kajian saintifik.

"Gabungan ini menjadikan produk penjagaan kami berkesan dan sesuai digunakan semua peringkat masyarakat termasuk mereka yang mengalami masalah ekzema dan kulit sensitif.

"Produk Dr Anne Skincare juga halal dibawa solat, mesra wuduk dan selamat digunakan oleh ibu mengandung serta ibu yang menyusui bayi," tuturnya sambil memberitahu dua gudang dan pejabatnya kini beroperasi di Kajang, Selangor.

SAY Aspire

Untuk rekod, Program SAY Aspire edisi tahun ini yang bermula dari Januari hingga Ogos 2024 memberi impak kepada 30 usahawan PMKS di Selangor yang bersedia untuk menerokai pasaran global.

Antara kriteria yang diambil kira ialah syarikat hendaklah beroperasi di Selangor, pengarah syarikat berumur 18 hingga 40 tahun, tidak diisytiharkan muflis dan/atau disenarai hitam.

SAY Aspire Final Pitch Edisi Kelima menawarkan ganjaran berimpak tinggi kepada tiga pemenang utama iaitu tajaan penerbangan ke negara yang dipilih (RM10,000) untuk tujuan promosi dan rundingan perniagaan, bimbingan khas secara individu, reruai dan sesi membina jaringan.

Ia bertujuan membantu usahawan merealisasikan impian eksport mereka, peluang imbuhan dan pelaburan perniagaan, rangkaian kolaborasi bersama agensi berkaitan, trofi dan sijil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram