
PELAKON drama Korea, Go Youn Jung memukau penonton dengan kemahiran seninya ketika membuat penampilan istimewa dalam rancangan You Quiz on the Block terbitan rangkaian televisyen Korea Selatan, tvN yang disiarkan pada Rabu lalu.
Sebelum menceburkan diri dalam dunia lakonan, Youn Jung sebenarnya merupakan seorang pelajar seni yang sangat berdedikasi.
Beliau menamatkan pengajian di Seoul Arts High School sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang seni moden di Seoul Women’s University pada 2015.
BACA LAGI: 'Semoga dia miliki galeri seni sendiri', ibu Zarra tak lokek 'melabur' demi minat mendalam anaknya
BACA LAGI: Habiskan masa 200 jam siapkan satu lukisan
Ketika ditanya bagaimana beliau akhirnya beralih ke bidang lakonan, ujarnya, ia berlaku apabila seorang rakan daripada jurusan fotografi mencadangkannya untuk memohon menyertai majalah UNIV20.
“Saya tanya sama ada sesiapa sahaja boleh memohon dan agak mengejutkan apabila saya diterima,” katanya.
Selepas itu, pertanyaan berkenaan uji bakat mula diterima melalui pejabat jabatan tempatnya belajar.
Pada mulanya, bintang drama bersiri Resident Playbook itu tidak berminat dan malah meminta agar maklumat peribadinya tidak dikongsikan.
Namun, salah seorang individu yang berjaya menghubungi Youn Jung rupa-rupanya ialah ketua pegawai eksekutif agensinya sekarang.
“Beliau beritahu saya, jangan cakap tidak boleh sebelum cuba. Jadi saya fikir, kenapa tidak? Saya ambil cuti dari universiti dan mula menghadiri kelas lakonan,” ujarnya.
Youn Jung mempamerkan kemahiran lukisannya dalam dalam rancangan You Quiz on the Block.
Dalam rancangan tersebut, Youn Jung turut berkongsi beberapa hasil lukisannya yang serta-merta menarik perhatian para hos.
Sebuah lukisan memaparkan sepasang kaki yang dihasilkannya kelihatan begitu realistik sehingga pengacara, Yoo Jae Suk menyangka ia adalah gambar sebenar.
Youn Jung menjelaskan bahawa ia dilukis berdasarkan rujukan gambar.
Beliau turut mempersembahkan potret Timothée Chalamet yang sangat terperinci, sekali gus mengejutkan hos dan penonton.
Suasana menjadi lebih santai apabila Youn Jung melukis lakaran pantas Yoo Jae Suk dan pengacara, Jo Se Ho secara spontan.
Walaupun dilakukan dalam tempoh singkat, lakaran tersebut tetap mencuit perhatian para hos.
Jae Suk memberi komen bahawa gaya lukisannya terasa hangat dan ceria, sambil menambah mungkin ia kelihatan begitu kerana mereka terlebih dahulu melihat potret Chalamet.
Penampilan Youn Jung dalam rancangan itu mengingatkan ramai tentang latar belakangnya sebagai seorang seniman, sekali gus menambah daya tarik pada personalitinya yang sedia dikagumi ramai. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram