[VIDEO] Qodrat 2 ubah Acha Septriasa, peranan ibu dan isteri paralel watak Azizah


  • Hiburan
  • Khamis, 01 Mei 2025

Bagi Acha, karakter sebagai Azizah bukan sahaja mencabar dari segi lakonan, malah menjadi titik tolak kepada perubahan spiritual dalam dirinya.

MEMEGANG peranan sebagai Azizah dalam filem Qodrat 2 nyata membawa kelainan dan meninggalkan impak mendalam buat pelakon Indonesia, Acha Septriasa.

Bagi Acha, karakter itu bukan sahaja mencabar dari segi lakonan, malah menjadi titik tolak kepada perubahan spiritual dalam dirinya, khususnya dalam amalan agama Islam termasuk ajaran solat.

Menerusi satu program audio siar yang ditayangkan di aplikasi TikTok, Daniel Mananta Network baru-baru ini, bintang Heart itu mengakui, beliau benar-benar terkesan dengan watak yang perlu dibawa.

BACA LAGI: Meremang bulu roma, 5 filem seram Indonesia bikin penonton tak senang duduk

BACA LAGI: Meremang bulu roma, 5 filem seram dengan 'plot twist' tak terjangka

 

 

“Dari kecil hingga sekarang, saya tidak pernah merasakan kesulitan yang amat sangat. Namun pada saat ini, ketika menjalankan karakter sebagai Azizah, saya jatuh.

"Saya kenal karakter ini, saya jatuh sampai saat saya pecah (terduduk),” kata Acha penuh emosi.

Akuinya, watak Azizah, seorang ibu dan isteri yang tabah menghadapi ujian ghaib, secara tidak langsung mencerminkan realiti kehidupan Acha sendiri sebagai seorang wanita yang memikul pelbagai tanggungjawab.

“Saya harus bertindak sebagai ibu, sebagai isteri dan juga aktor, tetapi dalam filem ini, saya berasakan jalan kehidupan menyamai karakter Azizah,” tambahnya.

Lebih menyentuh hati, cerita ibu kepada seorang cahaya mata itu lagi, ketika menjalani penggambaran, beliau mula mendalami tentang solat taubat, sesuatu yang sebelumnya tidak diamalkan dalam kehidupan peribadi.

Namun kini akuinya, solat tersebut menjadi rutin yang memberi ketenangan dan kekuatan dalam dirinya.

“Ketika belajar solat taubat di filem, saya belum menerapkannya dalam kehidupan sebenar.

"Namun percaya atau tidak, bermula dari Disember tahun lalu, saya tidak putus solat taubat dan tahajud.

"Sekarang saya benar-benar rasa jika tidak berlakon dalam filem ini atau tidak diajarkan solat taubat, mungkin saya tidak kuat dalam menjalani hidup,” ujarnya.

Untuk rekod, Qodrat 2 merupakan sekuel kepada kejayaan filem Qodrat, yang meraih perhatian seramai 1.7 penonton pada 2022.

Diarahkan Charles Gozali, filem itu meneruskan kisah Ustaz Qodrat diterajui Vino G. Bastian, seorang pengamal ruqyah yang dihantui masa silam dan dilema keimanan.

Sekuel seram diselit unsur kerohanian itu memaparkan usaha Ustaz Qodrat mencari isterinya, Azizah (Acha Septriasa) yang mengalami kemurungan selepas hilang akidah.

Dengan sinematografi lebih matang dan jalan cerita yang penuh emosi, Qodrat 2 dijangka mencetus fenomena baharu dalam genre filem seram keagamaan di Indonesia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram