
DOA umpama talian hayat. Sebagai antara ‘alat penghubung’ seorang hamba dengan Sang Pencipta, doa dianggap senjata yang ampuh bagi setiap hamba ALLAH dalam mendepani realiti kehidupan.
Sebagai salah satu bentuk zikir dan ibadah, perkataan doa yang berasal daripada bahasa Arab da’aa membawa maksud seruan, panggilan, ajakan atau permintaan.
Dari sudut syarak, doa adalah satu bentuk permohonan kepada Allah SWT dengan meminta kebaikan di sisi-Nya dengan penuh tulus dan harapan.
BACA LAGI: Ramadan ‘raja’ segala bulan, usah biar bulan baik dipenuhi kesibukan duniawi
BACA LAGI: 20 'checklist' amalan sepanjang Ramadan, jaga lisan, pandangan dan pendengaran
Para ulama sering mengingatkan kita untuk merasai kemanisan beribadah dengan memperbanyakkan solat sunat, bersedekah, membaca al-Quran, melazimi selawat ke atas Rasulullah SAW, berdoa dan banyak lagi.
Ulama salaf sering mempamerkan teladan berhubung pentingnya berdoa. Misalnya, mereka bersungguh-sungguh berdoa untuk bertemu Ramadan enam bulan lebih awal dan enam selepas Ramadan agar segala amalan mereka diterima Allah SWT.
Kesemua kisah ini ditulis oleh Imam Ibn Rejab al-Hanbali dalam kitabnya, Lataif al-Ma’arif.
Bahkan, ada dalam kalangan golongan salaf yang melantunkan syair kerana kegembiraan dengan ketibaan tetamu yang membawa berkat iaitu bulan Ramadan. Kata mereka:
جاء شهرُ الصِيامِ بِالبركاتِ * فأكرم بِهِ من زائِرٍ هُو آتِ
Maka bulan puasa yang penuh berkat telahpun datang
Alangkah mulianya tetamu ini yang bertandang.
Pendakwah bebas, Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa menjelaskan dalam sekalian banyak doa yang kita mohon, doa yang paling afdal adalah memohon keampunan.
“Tiada yang menghalang seseorang untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti membaca al-Quran, khatam al-Quran, qiam, bersedekah dan kebaikan-kebaikan lain adalah tidak lain tidak bukan adalah dosa-dosa kita,” ujarnya.
Justeru kata beliau, adalah penting bagi umat Islam untuk memohon keampunan kepada Allah dan dikurniakan nikmat istiqamah, bukannya menuntut karamah.
Istiqamah katanya adalah konsistensi untuk melakukan sesuatu kebaikan itu secara berterusan, sementara karamah iaitu kemuliaan hanya menjerumuskan manusia ke lembah kehinaan.
Ustazah NorHafizah menjelaskan, dalam sekalian banyak doa yang kita mohon, doa yang paling afdal adalah memohon keampunan.
Antara keistimewaan Ramadan kepada umat Nabi Muhammad SAW adalah doa orang yang puasa adalah mustajab.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang membawa maksud: “Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi”. (Riwayat Ibn Majah 1752)
Bahkan, dalam surah al-Ghafir ayat 60 Allah berfirman yang membawa maksud: “Berdoalah kepadaku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk ke neraka jahanam dalam keadaan hina.”
Antara doa sangat digalakkan menjadi amalan sepanjang Ramadan adalah:
- Doa kedatangan Ramadan
- اللهُم سلِمنا لِرمضان, وسلِم رمضان لنا, وتسلمهُ مِنا مُتقبل
“Ya ALLAH, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadhan, sejahterakanlah Ramadan bagiku dan terimalah daripadaku (ibadat pada bulan itu).”
2. Doa ketika berbuka puasa
اللهُم لك صُمتُ وعلى رِزقِك أفطرتُ
“Ya ALLAH aku telah berpuasa demi-Mu dan berbuka puasa atas rezeki-MU.”
ذهب الظمأُ, وابتلتِ العُرُوقُ, وثبت الأجرُ إِن شاء اللهُ تعالى
“Dahaga hilang, urat dibasahi dan pahala telah diperoleh, jika Allah menghendaki.” (Hadis Abu Daud)
3. Doa selepas solat witir
Selepas selesai melakukan solat witir sebanyak tiga kali, Nabi SAW akan membaca doa berikut:
سُبحان الملِكِ القُدُوسِ
“Maha Suci Tuhan Yang Maha Menguasai dan Maha Suci.”
4. Doa sepanjang Ramadan & lailatulqadar
اللهُم إِنك عفُو كرِيم تُحِبُ العفو فاعفُ عنِي
“Ya ALLAH, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Pemurah dan suka mengampuni, maka ampunilah aku.”
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi, Nabi SAW mendorong isterinya Aisyah RA untuk membaca doa ini jika bertemu dengan lailatulqadar.
Meskipun ulama berselisih pendapat mengenai tarikh lailatulqadar, waktu yang tepat adalah kekal menjadi rahsia ALLAH SWT. Justeru, kita digalakkan membaca doa ini berulang kali pada setiap malam pada malam-malam Ramadan. Bahkan, ia wajar dibaca dari awal Ramadan.
Antara keistimewaan Ramadan kepada umat Nabi Muhammad SAW adalah doa orang yang puasa adalah mustajab.
5. Doa usai solat Jumaat
Tiga surah iaitu surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Naas. Bacaan ini dibaca baik pada Ramadan atau luar Ramadan berdasarakan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barangsiapa setelah solat Jumaat membaca Qulhuwallahu ahad, Qul a’udzubirabbil falaq, dan Qul a’udzubirabbinnaas masing-masing sebanyak tujuh kali, nescaya Allah SWT memeliharanya daripada kejahatan hingga Jumaat berikutnya.” (HR Ibnu Sinni)
6. Istiqamah dengan tiga doa sejak awal Ramadan
a. أللـهُم أعتِق رِقابنا ورِقاب آبائِنا وأُمهاتِنا مِن النارِ
“Ya ALLAH hapuskan nama kami, nama ayah dan ibu kami daripada api neraka.”
b. اللهُم بارِك لنا فِي شهرِ رمضان و بلِغنا ليلة القدرِ وعِبدة فِيها
‘’Ya ALLAH berkatilah kami sepanjang bulan Ramadan ini dan temukanlah kami dengan lailatulqadar dan beribadah malamnya.“
c.
ربنا تقبل مِنا إِنك أنت السمِيعُ العلِيمُ وتُب علينآ إِنك أنت التوابُ الرحِيمُ
“Ya Tuhan kami terimalah amalan kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.”
Selain itu, empat zikir sewajarnya menjadi amalan sepanjang Ramadan adalah:
- Istigfar
- Memohon keampunan kepada Allah atas segala dosa serta kesilapan dengan menundukkan hati, jiwa dan fikiran.
- أستغفِرُ الله العظِيم الذِي لا إِله إِلا هُو الحي القيُوم وأتُوبُ إِليه
“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah.”
- Memperbanyakkan syahadah.
- Ia bertujuan untuk memperbaharui syahadah untuk kondisi iman.
أشهدُ أن لا إِله إِلا اللهُ وأشهدُ أن مُحمدا رسُولُ اللهِ
“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah.”
- Memohon syurga dan reda ALLAH
اللهم إني أسألك رضاك والجنة
“Ya ALLAH, sesungguhnya aku memohon keredaan-Mu dan syurga.”
- Perlindungan daripada neraka
- وأعوذبك من سختك والنار
“Dan aku berlindung kepada-Mu daripada kemurkaan-Mu dan neraka.”
Tujuh waktu doa mustajab sepanjang Ramadan iaitu:
- Sepanjang berpuasa
- Ketika azan berkumandang
- Antara azan dan iqamah
- Waktu bersahur
- Waktu berbuka
- Hari Jumaat selepas solat Asar
- Lailatulqadar — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram