PERDANA Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah figura asing dalam politik Malaysia dengan kepimpinan dan peranan beliau telah lama berjasa kepada rakyat sejak dilantik sebagai Ketua Pemuda Umno pada 1982.
Bermula detik itu, perjuangannya dalam membela nasib rakyat dan mengubah landskap politik negara memuncak apabila beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Genap setahun beliau dilantik memegang jawatan sebagai ketua negara, tarikh 24 November pada Jumaat mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila Anwar mendapat kepercayaan rakyat dan Raja-Raja Melayu untuk terus memacu negara ke hadapan dengan konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan.
Anwar memulakan tugas selaku Perdana Menteri secara rasmi di Perdana Putra, Putrajaya pada 25 November 2022.
Beberapa detik indah dan bermakna masih segar dalam ingatan rakyat sejak pertama kali beliau memegang jawatan itu pada tahun lalu dengan sifat tegas dan kelantangan dalam membanteras isu rasuah antara yang paling diingati masyarakat ketika ini.
Berikut merupakan lima perkara paling menarik berlaku sepanjang setahun Anwar bergelar Perdana Menteri ke-10 yang pernah mencetuskan fenomena dalam kalangan rakyat.
1. PM pertama tolak gaji
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu kekal dengan pendiriannya untuk tidak mengambil sebarang wang berbentuk gaji sebagai Perdana Menteri demi memulihkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinannya.
Perkara itu sejajar dengan janjinya pada kempen PRU15 yang enggan menerima gaji sekiranya PH berjaya membentuk kerajaan.
Langkah itu juga didorong kuat oleh kesusahan yang dialami rakyat berikutan kerajaan sebelum ini didakwa tidak mengambil tindakan berkesan terhadap kenaikan harga barangan.
Keutamaan beliau ditumpukan kepada pemulihan ekonomi negara yang kini mencatatkan lebih RM1.5 trilion hutang dan beliau hanya akan menerima gaji sekiranya masalah itu berjaya diatasi.
2. Detik manis ulang tahun bersama isteri dan cucu tercinta
Dalam tempoh setahun beliau sebagai Perdana Menteri, Anwar sempat menyambut hari kelahirannya pada 10 Ogos tahun lalu.
Isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail antara yang terawal memberikan kata-kata manis buat suaminya pada hari tersebut menerusi perkongsian video di laman Instagram peribadinya.
Dalam rakaman itu, Wan Azizah kelihatan teruja dengan melambai suaminya yang baru sahaja tiba dan menghulurkan tangan untuk bersalam.
"Setahun meningkatnya umur. Semoga ALLAH izinkan dipenuhi mawaddah rahmah sakinah dalam iman dan taqwa," katanya.
Di penghujung video itu juga, Wan Azizah berkongsikan gambar dirinya bersama Anwar dan cucu-cucu mereka sambil memuat naik suara ucapan di latar belakang video.
"Selamat hari jadi Papa Tok, kami sayang anda sangat," ujar ucapan itu.
3. Gaya santai tanpa tali leher di Kabinet
Gaya ringkas Anwar ketika menghadiri Mesyuarat Kabinet Kerajaan Perpaduan sejak pertama kali dilantik sebagai Perdana Menteri mencuri perhatian ramai susulan tiada jemaah menteri yang mengenakan tali leher ketika itu.
Ia menerusi foto yang dikongsikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di laman Twitter yang menyaksikan kesemua menteri lelaki hanya memakai sut gelap yang dipadankan dengan kemeja rona cerah.
Anwar mengenakan gaya santai tanpa tali leher ketika bertugas.
Sejak dilantik menerajui negara, Anwar tidak pernah dilihat memakai tali leher pada majlis rasmi kerajaan kecuali ke Istana Negara dan pada hari pertama menjejakkan kaki ke Putrajaya sebagai Perdana Menteri.
Selain itu, beliau dilihat lebih selesa menggayakan baju Melayu lengkap bersama capal.
4. Aktif terima kunjungan selebriti antarabangsa
Selain disanjungi rakyat dan individu kenamaan di negara ini, Anwar turut disegani beberapa selebriti tersohor antarabangsa apabila beliau kerap menerima kunjungan daripada artis terkenal.
Pelakon terkemuka India, Rajinikanth antara yang terawal bersua muka dengan beliau apabila berkunjung ke Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada 11 September lalu.
Selain itu, komposer terkenal Indonesia, Ahmad Dhani turut tidak melepaskan peluang untuk bertemu dengan Anwar ketika mengadakan konsert di Kuala Lumpur.
Anwar (kiri) menerima kunjungan daripada Ahmad Dhani.
Berkongsi pertemuan itu, Perdana Menteri merakamkan ucapan tahniah kepada Ahmad Dhani dan kumpulan Dewa 19 di atas pementasan konsert mereka di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 30 September lalu.
Dalam hantaran di akaun media sosial beliau, Anwar turut menitipkan harapan semoga industri muzik Malaysia dan Indonesia akan terus subur.
5. Kisah perjuangan diangkat dalam filem Anwar: The Untold Story
Filem berlatarkan zaman 1990-an itu, menceritakan mengenai perjalanan hidup Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Naskhah itu digarap berdasarkan kisah sebenar yang berlaku dalam sebahagian hidup Anwar ketika mula menjawat jawatan dalam Kabinet dari 1991 hingga dipecat pada 1998.
Anwar (kiri) dan Wan Azizah ketika menghadiri tayangan perdana filem Anwar: The Untold Story.
Mencatat sejarah sebagai filem paling banyak menerima tempahan awal oleh pihak pawagam, kutipan sebanyak RM1 juta berjaya diperoleh pada hari pertama tayangannya.
Filem itu dibintangi Farid Kamil yang memegang watak sebagai Anwar, manakala aktres terkenal Indonesia, Acha Septriasa membawa watak Dr Wan Azizah selaku teraju utama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram