Filem Anwar The Untold Story kongsi 70 peratus kisah benar Perdana Menteri ke-10


  • Hiburan
  • Khamis, 02 Mac 2023

Farid Kamil membawakan watak sebagai Anwar manakala Hasnul Rahmat sebagai Mahathir dalam filem Anwar The Untold Story.

MENJADI sebuah naskhah yang paling dinantikan pada 2023, filem Anwar The Untold Story yang menjalani penggambaran di Indonesia bakal menemui penonton pada Mei depan.

Dengan membariskan pelakon popular tempatan dan seberang, filem tersebut menceritakan tentang perkara yang berlaku terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekitar 1993 hingga 1998.

Pengarahnya, Viva Westi berkata, hampir 70 peratus kisah dalam filem tersebut menggambarkan keadaan sebenar sementara selebihnya diolah agar menjadi lebih dramatik dan sesuai untuk tontonan umum.

“Filem ini mula menjalani sesi penggambaran pada Ogos 2021 dengan kajian terperinci mengenai tokoh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tidak dinafikan rakyat Indonesia sendiri mengenali dengan beliau kerana memiliki hubungan baik dengan negara Indonesia.

“Kami cuba sedaya mungkin untuk mengetengahkan kisah benar kepada penonton dengan situasi dan keadaan ketika waktu reformasi. Syukur filem ini akhirnya siap dan menunggu masa tayangan,” katanya ketika ditemui pada majlis Sidang Media Filem Anwar The Untold Story di Hotel W, Kuala Lumpur pada Rabu.

1830936

Babak konflik antara Anwar dan Mahathir dalam filem Anwar The Untold Story.

Mengulas lanjut, Viva Westi turut tidak menafikan pergolakan politik pada waktu itu membuatkan ramai pelakon tempatan dan Indonesia terpaksa menolak bagi membawakan watak sebagai Anwar.

Jelasnya, masing-masing memberi pelbagai alasan menolak tawaran tersebut secara halus.

“Apabila diberikan skrip, mereka mengatakan akan ingin membaca dahulu, ingin melihat dahulu, boleh difikirkan dahulu dan bermacam-macam alasan lagi sehinggalah bertemu dengan Farid Kamil.

“Dua bulan sebelum penggambaran saya masih tidak memiliki pelakon dan akhirnya bertemu dengan Farid setelah diperkenalkan oleh Zunar (Penerbit Eksekutif, Zulkiflee Anwar Haq). Dia sahaja yang apabila diberikan skrip terus bersetuju dan mengatakan ya,” ujarnya.

Lucky no.5

Bercakap soal watak, Farid mengakui tidak mengambil masa lama untuk membuat pertimbangan membawakan watak terbabit. Meskipun begitu, dia tidak menolak bahawa wujud kebimbangan watak terbabit akan memberi kesan terhadap kerjayanya.

download

Gandingan dua negara Malaysia dan Indonesia antara Farid Kamil dan Acha Septriasa.

Kata Farid dia juga berasa bimbang sekiranya gagal menterjemahkan karakter figura hebat itu di layar perak.

“Apabila mendapat tawaran ini, saya berfikir panjang juga kerana bimbang, adakah saya mampu untuk membawakan watak ikonik ini. Apabila melakonkan watak Anwar Ibrahim, pihak produksi ada menyediakan saya dengan tenaga pengajar, Pak Aswandi yang banyak membantu supaya watak Anwar itu benar-benar wujud di layar perak,” jelasnya.

Dalam pada itu, Farid turut memberikan reaksi apabila ditanya tentang pemilihannya sebagai aktor kelima untuk membawakan watak Anwar.

“Saya merupakan pilihan pelakon terakhir kerana pelakon-pelakon lain tidak berani untuk mengambil risiko kerana ada juga dari negara lain dan ada juga dari negara ini.

“Mereka takut diboikot dan sebagainya. Sejujurnya saya sendiri sedar dengan situasi itu namun, saya berserah sahaja dan tawakal,” katanya.

Perangi rasuah

Bagi Zulkiflee Anwar Haq yang bertindak selaku Penerbit Eksekutif, dia menjadikan aktiviti perangi rasuah sebagai ramuan utama filem terbabit.

farid1 - 1

Sidang media pelancaran filem Anwar The Untold Story pada Rabu.

Setelah melakukan perbincangan dengan produksi, semuanya mengambil kata sepakat untuk menjadikan elemen tersebut sebagai plot penceritaan filem berkenaan.

“Kajian terhadap filem ini sudah diadakan sejak 2011 dan ketika itu saya fikir kita perlukan filem sebegini. Namun, disebabkan banyak halangan jadi kita tidak dapat melakukannya.

“Akhirnya setelah beberapa bersabar, filem ini sudah siap. Filem ini adalah satu-satunya filem yang tidak mengikuti naratif pemerintah ketika itu. Jadi agak sukar untuk mengambil pengarah tempatan dan disebabkan itu lebih mudah bekerja dengan pengarah dari Indonesia,” ujarnya.

Selain akan ditayangkan di pawagam di Malaysia Mei depan, filem tersebut cuba mengintai pasaran luar negara antaranya Indonesia, Singapura dan Brunei.

Filem terbitan Bianglala Entertainment itu turut dibintangi oleh Acha Septriasa sebagai Datin Seri Wan Azizah, Hasnul Rahmat (Tun Mahathir) dan dibantu oleh Piet Pagau dan Dewi Irawan selain menelan belanjar sekitar RM10 juta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram