
RAMADAN begitu sinonim sebagai bulan keampunan, bulan yang dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup pintu neraka.
Dengan erti kata lain, Ramadan adalah panggilan untuk semua umat Islam berlumba-lumba mengejar peluang untuk diangkat darjat, pembersihan fizikal dan jiwa yang akhirnya melayakkan kita semua menghuni syurga.
Ketika tawaran dan peluang mengumpul pahala ini datang melimpah ruah dengan gandaan yang berlipat kali ganda, namun ada segolongan memandang sepi tawaran lumayan yang datang hanya sekali dalam setahun ini.
Benar, dalam tempoh sebulan Ramadan ini adalah waktu yang sangat singkat, tetapi perlu dimanfaat.
Semoga kita tergolong dalam kelompok yang istiqamah dalam memperbaiki diri, memperbanyakkan amal dan tidak mensia-siakan kebaikan dilimpahkan pada bulan Ramadan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,
"Berapa ramai yang berpuasa, akan tetapi ia tidak mendapat apa-apa daripada puasanya itu kecuali rasa lapar dan dahaga sahaja. Dan berapa ramai orang yang solat malam, akan tetapi dia tidak mendapat apa-apa daripada solat malamnya itu kecuali hanya terbatas kepada berjaga malam sahaja." (Hadis Riwayat Ibnu Majah).
Antara perkara paling mudah, tetapi sukar dilakukan adalah bersahur. — Gambar Hiasan
Antara kerugian tersebut termasuk:
1. Meninggalkan sahur
Antara perkara yang paling mudah, tetapi sukar dilakukan adalah bersahur.
Bahkan Rasullulah SAW memerintahkan supaya kita tidak meninggalkan sunah ini. Ada dua sebab mengapa Rasulullah SAW sangat menyarankan kita bersahur seperti sabda Baginda yang membawa maksud: “Sesungguhnya bersahur untuk mengandungi keberkatan maka janganlah kamu meninggalkan bersahur.
Sekalipun kamu sekadar meminum seteguk air kerana sesungguhnya ALLAH dan malaikat berselawat (mendoakan) orang yang bersahur." Ternyata, dua kerugian mereka yang meninggalkan sahur ada tidak memperoleh keberkatan wakgu sahur dan tidak mendapat doa daripada Allah dan malaikat.
2. Bangun sahur tanpa mendirikan sekurang-kurangnya solat sunat dua rakaat
Waktu yang paling mustajab untuk seseorang itu berdoa adalah pada penghujung sepertiga malam. Pada waktu itu, ALLAH diumpamakan turun ke langit dunia untuk mendengar permintaan-permintaan hamba-NYA.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesunggunya ALLAH turun ke langit dunia setiap malam pada satu pertiga bahagian malam yang terakhir.
Lalu ALLAH bertanya: 'Siapa yang berdoa kepada-Ku nescaya Aku kabulkan, siapa yang meminta kepada-Ku nescaya Aku perkenankan, siapa yang meminta ampun kepada-Ku sudah tentu Aku ampunkan. Demikianlah keadaannya sehingga terbit fajar.'"
3. Melewati hari pada bulan Ramadan tanpa sedekah
Dalam hadis-hadis sahih banyak dinyatakan kelebihan bersedekah. Antaranya menghapuskan dosa, mendapat jaminan syurga, memperoleh naungan akhirat, dekat kepada ALLAH dan kelapangan hati. Bahkan, ALLAH sangat memuliakan hamba-Nya yang suka bersedekah.
Begitu juga dengan ganjaran berlipat gandakan seperti dijanjikan. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi, Rasulullah SAW bersabda yang membawa maksud “Sesungguhnya ALLAH SWT itu maha memberi, Ia mencintai kedermawanan dan akhlak yang mulia. Dia membenci akhlak yang buruk.” Akhlak buruk yang dimaksudkan adalah sifat bakhil dan kedekut.
Dalam hadis-hadis sahih banyak dinyatakan kelebihan bersedekah. — Gambar Hiasan
4. Menunggu waktu berbuka puasa tanpa berdoa
Menjadi kelaziman dalam kalangan kita sementara menunggu waktu berbuka, kita hanya berbual-bual kosong. Sementara sebahagian yang lain menghabiskan masa menonton televisyen. Bermula Ramadan 1446H ini adalah masa terbaik untuk kita menukar budaya tersebut. Mengapa?
Pada waktu itu, ia merupakan antara waktu mustajab untuk berdoa. Daripada Abu Hurairah RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda yang membawa maksud: "Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak, imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi". Riwayat Ibn Majah (1752)
Dalam satu hadis yang lain, daripada Abdullah bin ‘Amr RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda yang membawa maksud “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka doa yang tidak akan ditolak”. Riwayat Ibn Majah (1753)
Berdasarkan kepada hadis-hadis tersebut, jelaslah bahawa doa orang yang berpuasa adalah mustajab di sisi ALLAH SWT. Ini disebabkan orang berpuasa mempunyai kedudukan yang tinggi dan istimewa kerana mereka berpuasa kerana-NYA.
Wajarlah bagi umat Islam meraikan al-Quran yang diturunkan pada bulan Ramadan. — Gambar hiasan/ Agensi
5. Bermalas-malasan
Tidak dinafikan perut yang lapar menyebabkan tubuh keletihan. Lazimnya, terdapat segelintir yang menghabiskan masa dengan berbaring atau tidur sepanjang hari dengan alasan letih berpuasa pada hari cuti dengan tujuan untuk memendekkan masa.
Mereka hanya bangun menghampiri pada waktu berbuka. Tidurlah sekadar yang perlu untuk menghilangkan rasa lelah. Isilah masa dengan pelbagai manfaat.
6. Menyepikan diri daripada al-Quran
Ramadan adalah bulan al-Quran. Justeru, wajarlah bagi umat Islam untuk meraikan al-Quran yang diturunkan pada bulan Ramadan. Mereka yang tidak mempedulikan al-Quran sama ada tidak membaca, mendengar, bertadarus atau mentaddabur adalah kelompok yang sangat rugi.
Surah al-Faatir ayat 29 ALLAH menegaskan, "Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca al-Quran dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian."
7. Tidak istiqamah
Mereka yang hanya bersungguh-sungguh dalam beribadah pada awal Ramadan serta berazam untuk bertaubat dan beristiqamah dalam beribadah, tetapi kemudiannya menjalani kehidupan yang sia-sia dan melalaikan.
8. Abaikan ibadah wajib
Mereka yang berpuasa tetapi merosakkan puasanya dengan mensia-siakan solat lima waktu.
Terdapat dua pandangan tentang isu ini. Pendapat pertama daripada Mazhab Hanbali dan sebahagian ulama masa kini menyatakan, mereka yang berpuasa tetapi tidak menunaikan solat dianggap sebagai keluar daripada Islam dan tidak sah puasanya. Dia perlu bertaubat kepada ALLAH dan kembali menunaikan solat.
Pendapat kedua pula kebanyakan ulama Azhar seperti ‘Atiyyah Saqar, Dr. Ahmad Syarbashi, Dr. Muhammed al-Bakri Ismail dan lain-lain menyatakan seseorang yang tidak solat tetapi berpuasa, puasanya tetap dianggap sah tetapi tidak diberi pahala. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram