'Beliau mahu saya ingati ALLAH SWT', gelang tasbih jadi ‘ikatan’ Acha Septriasa dan Wan Azizah


  • Hiburan
  • Sabtu, 04 Mac 2023

Acha membawakan watak sebagai Wan Azizah dalam filem Anwar The Untold story yang akan menemui penonton di pawagam pada Mei depan.

KHABAR kemunculan filem Anwar, The Untold Story menjadi karya tersebut antara naskhah paling dinantikan penonton terutama apabila berpeluang untuk mengetahui isi sebenar kejadian melibatkan reformasi pada 1998.

Memperlihatkan gandingan dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia, aktres jelita, Acha Septriasa membawakan watak sebagai Datin Seri Wan Aziziah Wan Ismail.

Kemunculannya di layar perak dengan membawakan watak sebagai tokoh politik negara, tentu sahaja memberikan cabaran buatnya.

Pelakon berusia 34 tahun itu tidak menafikan bahawa dia sangat mengagumi keperibadian Wan Azizah yang digambarkan olehnya sebagai wanita lemah lembut, penyabar, setia kepada keluarga, semangat pejuang dan percaya takdir.

majoriti2023 (29)

Acha (tengah) bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Wan Azizah.

Baginya, bukan mudah untuk membawakan watak figura hebat itu sementelah dirinya sendiri masih belum cukup setara jika dibandingkan dan ibu kepada enam anak itu.

“Saya sangat bersyukur dan berbangga apabila diberi peluang untuk terlibat dalam filem ini. Semoga kita semua dapat mengambil iktibar dan pengajaran atas apa yang berlaku, iaitu perjuangan seorang anak bangsa yang memperjuangkan kejujuran dan berakhir dengan kejujuran.

“Sejujurnya saya sangat mengagumi sikap dan perwatakan beliau yang sentiasa berusaha untuk memelihara keluarga, pemimpin parti politik dan ketua untuk masyarakat. Beliau bukan sahaja dikenali di negara ini (Malaysia), tetapi turut terkenal di Indonesia,” katanya ketika majlis Pelancaran Filem Anwar, The Untold Story di Hotel W, Kuala Lumpur baru-baru ini.

majoriti2023 (31)

Sesi temubual bersama Acha dilakukan menerusi aplikasi zoom memandangkan pelakon berada di luar negara.

Masakan air tangan

Melanjutkan cerita, Acha sempat berkongsikan detik manis dia berpeluang bertentang empat mata dengan Wan Azizah.

Katanya, penggambaran dijalankan, dia bersama Farid Kamil berkunjung ke sebuah hotel, Wan Azizah menitip hidangan hasil air tangannya sendiri.

“Sewaktu kunjungan itu, beliau memberikan kami bekal makanan yang dimasak sendiri untuk hidangan kami. Dalam pertemuan itu juga beliau sempat menghadiahkan gelang tasbih agar saya dapat mengenang beliau dan mengingati ALLAH SWT.

majoriti2023 (30)

Acha dan Farid menghidupkan watak Anwar Ibrahim dan Wan Azizah dalam Anwar The Untold Story.

“Sifatnya yang rendah diri dan penuh dengan keibuan merupakan cabaran terbesar buat saya ketika menzahirkan wataknya di layar perak. Bukan mudah untuk menjadi seorang yang sebegitu hebat seperti beliau dan itulah menjadi tentangan (cabaran) buat saya,” ujarnya.

Selain watak, perbezaan bahasa Malaysia dan Indonesia antara memberi pengalaman baharu buat Acha meskipun sekitar 2007 dia pernah melanjutkan pengajian di University Lim Kok Wing, Kuala Lumpur dalam jurusan Produksi Filem.

Meskipun sebahagian sebutan dan fahaman antara kedua-dua bahasa itu kedengaran serupa, namun Acha mengakui ‘Anwar’ banyak membantunya agar dapat bertutur dengan baik dan lancar.

majoriti2023 (27)

Pelancaran filem Anwar The Untold Story di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Farid banyak membantu saya. Dia seorang pelakon dan sahabat yang baik. Dia mengajar saya untuk menyebut beberapa perkataan dalam bahasa Malaysia.

“Di masa hadapan saya mengharapkan agar semakin banyak gandingan antara dua negara ini dalam menghasilkan filem sebegini lagi,” jelasnya.

Untuk rekod filem Anwar The Untold Story diarahkan oleh Viva Westi manakala diterbitkan Bianglala Entertainment dan menelan belanja sebanyak RM10 juta.

Selain Acha dan Farid, filem ini turut dibintangi oleh Hasnul Rahmat dan dibantu oleh Piet Pagau dan Dewi Irawan serta dijadualkan menemui penonton pada Mei depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram