Enggan tinggal kerjaya PTD, Nurul Hidayati semakin adaptasi hidup sebagai isteri pereka fesyen


  • Relaks
  • Sabtu, 26 Apr 2025

Akui Nurul Hidayati, selepas berkahwin dengan pereka fesyen, soal penampilan jadi perkara penting. —Instagram/ida_deqda

NAMA Nurul Hidayati Yahaya mungkin tidak 'sepopular' suaminya, fesyen duo terkemuka tanah air, Wan Mohd Ruzaini Wan Jamil.

Berkongsi kisah rumah tangga yang kini memasuki tahun kesembilan, wanita yang mesra disapa Ida itu mengakui, tahun pertama perkahwinan mereka merupakan fasa paling mencabar.

Bukan kerana konflik rumah tangga, tetapi dek perbezaan pemilihan busana yang begitu ketara.

BACA LAGI: 'Rizman terlalu 'perfectionist', kerja sampai 8 malam saja' - Nurida Suraya seimbang status isteri, COO Rizman Ruzaini

BACA LAGI: Tiga koleksi kapsul mewah, eksklusif simbolik 2 dekad Rizman Ruzaini"Saya memang tak pandai bergaya langsung, pergi kerja pun asal boleh.

"Namun selepas berkahwin, soal penampilan jadi perkara penting. Disebabkan suami pereka fesyen, beliau sendiri ambil tanggungjawab untuk memilih pakaian yang sesuai digayakan saya semasa bekerja," katanya memulakan cerita kepada Majoriti.

Nurul Hidayati (kiri) lebih selesa menyerahkan soal gaya dan penampilan kepada Ruzaini (dua dari kiri). — Instagram/ida_deqda​​​​​​

Wanita berkelulusan Ijazah Sarjana Ekonomi daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor itu mengakui, persepsi individu sekeliling terhadap penampilannya turut menjadi satu cabaran, terutama apabila diketahui beliau adalah isteri kepada pereka fesyen.

Selesa dengan penampilan boyish sebelum ini, Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Ekonomi itu berkata, pada mulanya beliau agak tegas dengan gayanya sendiri.

Namun selepas beberapa tahun, Nurul Hidayati mengambil pendekatan 'mengalah' selepas melihat kesungguhan dan kepakaran suaminya dalam membentuk imej yang lebih profesional, sesuai dengan statusnya sebagai penjawat awam.

“Masa mula-mula dulu, degil juga. Rasa nak pakai apa yang saya nak dan pernah cuba bergaya ikut selera sendiri, tapi apabila suami tengok saja baju, terus beliau kata tukar, tukar, tukar!

"Lama-kelamaan saya terima juga sebab beliau lebih arif.

"Selepas tiga hingga empat tahun baru saya betul-betul selesa ikut pilihan suami,” ujarnya tertawa kecil.

Menariknya, Wan Mohd Ruzaini atau lebih dikenali sebagai Ruzaini tidak hanya menata gaya isteri tercinta, malah turut menghasilkan rekaan khas dalam bentuk koleksi ready-to-wear Rizman Ruzaini yang disesuaikan untuk kegunaan pejabat.

Koleksi itu termasuk blaus dan seluar yang padan serta menepati etika pemakaian sektor awam.

Sudah hampir sedekad pasangan ini melayari bahtera perkahwinan. — Instagram/ida_deqda

“Sekarang ini lebih mudah kerana Rizman Ruzaini mempunyai koleksi untuk pejabat. Selain blaus yang cantik, ia juga boleh dipadankan dengan seluar bersesuaian.

"Sangat membantu, jadi saya tak perlu pening-pening nak fikir,” jelasnya menambah Ruzaini tetap menghormati etika pemakaian sebagai kakitangan kerajaan.

Karier

Walaupun sudah hampir sedekad melayari bahtera perkahwinan, Nurul Hidayati mengakui dirinya tidak pernah campur tangan dalam sebarang keputusan berkaitan fesyen, apatah lagi memberi input rekaan.

Sebaliknya, beliau lebih selesa menyerahkan sepenuhnya soal gaya dan penampilan kepada pasangan hidupnya itu.

“Saya cenderung kepada nombor, bukan orang fesyen. Memang 100 peratus gaya saya bergantung kepada suami. Elok di matanya, eloklah di mata saya,” katanya.

Walaupun kehidupan diselangi dunia glamor, Nurul Hidayati kekal selesa dengan karier di sektor kerajaan, malah menyifatkan bidang itu sebagai minat dan keutamaannya.

Bagi wanita berasal dari Batu Kurau, Perak itu, menjadi isteri kepada selebriti fesyen bukan alasan untuk meninggalkan kerjaya yang dicintai.

“Ramai yang tanya kenapa tak berhenti kerja dan bantu suami sepenuh masa. Saya memang suka kerja sekarang.

"Minat saya memang pada bidang dasar dan ekonomi,” katanya yang sudah hampir 16 tahun berkhidmat dalam sektor kerajaan.

Nurul Hidayati melihat kesungguhan suaminya dalam membentuk imej yang lebih profesional. — Instagram/ida_deqda

Cahaya mata

Dengan kehidupan yang kini lebih seimbang sebagai isteri, ibu dan penjawat awam, beliau berkata, kehadiran cahaya mata sulungnya telah mengubah rentak kehidupannya secara menyeluruh.

Jika dahulu sering pulang lewat malam atas tuntutan kerja, kini rutin harian ibu kepada Wan Rahil Wan Mohd Ruzaini, 5, itu lebih seimbang dan tersusun.

“Sebelum sambung belajar, saya bekerja di jabatan yang menuntut saya pulang lewat adakalanya sehingga pukul 2 hingga 3 pagi baru balik, sesungguhnya memang cantik aturan ALLAH SWT jadi boleh fokus kepada Rahil," ceritanya.

Namun, perubahan besar berlaku selepas beliau menamatkan pengajian peringkat sarjana dan ditempatkan di jabatan lebih fleksibel dari segi masa bekerja.

Kini, sebaik tamat waktu pejabat, Ida akan terus pulang ke rumah untuk meluangkan masa bersama anaknya.

“Alhamdulillah selepas habis belajar ditempatkan di jabatan yang tidak memerlukan saya bekerja lewat malam,” luahnya penuh syukur.

Ketika ditanya mengenai perancangan masa depan, beliau mengakui keinginan untuk menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) masih ada, namun menunggu masa yang sesuai.

Kehadiran Wan Rahil mengubah rentak kehidupan Nurul Hidayati secara menyeluruh. — Instagram/ida_deqda

Pertemuan pertama

Bertemu kali pertama di Program Khidmat Sosial Negara (PKSN) iaitu program perintis sebelum wujudnya Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Perak pada 2002, pasangan itu disatukan pada 5 Februari 2016.

Walaupun masing-masing membawa haluan selepas tamat program, takdir menemukan mereka kembali bertahun kemudian melalui media sosial.

"Kami masuk PKSN selama dua minggu di Kem Segari, Perak. Saya kenal suami di situ, tapi masa itu beliau yang perasan saya dulu.

“Seleepas program tersebut beliau pernah datang beraya rumah saya. Kemudian apabila dah ada Facebook, kami sama-sama dalam grup PKSN. Dari situ kami mula berkawan semula,” tuturnya mengimbau kembali momen percintaan.

Perhubungan yang terjalin kembali pada 2010 akhirnya membawa kepada pertunangan pada 2013 dan seterusnya berkahwin tiga tahun kemudian.

“Ketika itu saya baru masuk kerja kerajaan, beliau pun tengah naikkan nama Rizman Ruzaini. Alhamdulillah kini sudah mencecah sembilan tahun usia perkahwinan kami,” ujarnya mengakhiri bicara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram