Tiga koleksi kapsul mewah, eksklusif simbolik 2 dekad Rizman Ruzaini


  • Relaks
  • Rabu, 12 Feb 2025

Rizman (empat dari kanan) dan Ruzaini (empat dari kiri) kembali dengan koleksi eksklusif yang memukau sempena musim Raya kali ini. — Rizman Ruzaini

TAHUN 2025 menandakan ulang tahun ke-20 Rizman Ruzaini dalam dunia fesyen Malaysia.

Dalam meraikan pencapaian bermakna tersebut, apatah lagi menghasilkan rekaan yang menjadi pilihan pelbagai lapisan masyarakat di tanah air selama dua dekad Rizman Ruzaini kembali dengan tiga koleksi kapsul eksklusif sempena Hari Raya Aidilfitri.

Koleksi kapsul itu antaranya Rizman Ruzaini Raya 2025 Couture dan Rizman Ruzaini Red.

BACA LAGI: [VIDEO] Hantaran premium kreativiti Shajaratul Dur jadi pilihan istiadat perkahwinan diraja puteri Sultan Pahang, orang kenamaan

BACA LAGI: [VIDEO] Bisnes ikan tilapia tak bawa untung, pencinta alam kelahiran Sabah tawar inap desa dengan landskap hijau di Hulu Langat

Raya Couture 09

Koleksi raya kali ini menggabungkan elemen tradisional dengan inovasi moden. — Rizman Ruzaini

Setelah sambutan hangat diterima di Dubai Fashion Week pada September lalu, koleksi Rizman Ruzaini Spring Summer 2025 bertemakan Mustika kini diadaptasi semula dalam bentuk siluet kurung untuk koleksi Couture Raya 2025.

Koleksi itu menggabungkan elemen tradisional dengan inovasi moden dalam usaha memberi penghormatan terhadap warisan budaya Malaysia.

Kebaya, lipatan dan sulaman dengan teknik moden menjadi simbol sejarah fesyen yang terus berkembang.

Rizman Ruzaini diterajui duo Rizman Nordin dan Wan Mohd. Ruzaini Wan Jamil itu memilih Tengku Shaheera Tengku Abdullah sebagai muse bagi koleksi berkenaan. Ia melambangkan aristokrasi Melayu moden yang mencerminkan keanggunan wanita masa kini.

Diilhamkan oleh filem Perempuan Melayu Terakhir, koleksi tersebut menampilkan pemeliharaan warisan dalam dunia moden.

Istilah ‘mustika’ menggambarkan permata berharga, merujuk kepada pakaian tradisional Melayu sarat dengan nilai dan keindahan.

Sebagai penghormatan kepada arwah nenek Ruzaini juga, koleksi itu turut mengimbau nostalgia filem-filem klasik Melayu seperti Penarek Becha (1955) dan Rachun Dunia (1950).

Kebaya menjadi tumpuan utama koleksi kali ini, memperlihatkan gabungan elemen tradisional dan moden yang disulam dengan motif budaya Melayu dan Peranakan.

Penggunaan fabrik pleated menambah daya tarikan koleksi itu, selain kemasan mewah yang menjadi signatur jenama Rizman Ruzaini.

Fabrik utama dalam koleksi tersebut termasuk velvet, crepe premium, tulle dan sifon.

Raya Couture 03.1

Penggunaan fabrik pleated menambah daya tarikan koleksi tersebut. — Rizman Ruzaini

Terdapat 23 rekaan luar biasa dalam koleksi yang datang dalam pelbagai rona permata dan pastel, pada harga antara RM4,200 hingga RM14,800.

Rekaan ikonik

Sementara itu, Pengarah Kreatif, Ruzaini turut memperkenalkan koleksi kapsul ready-to-wear diinspirasikan oleh reka bentuk paling disukai pelanggan setia jenama tersebut.

Koleksi terdiri daripada lapan rekaan unik dan memikat itu dihasilkan dengan fabrik sifon berkualiti tinggi dan dihiasi butiran mewah.

Harga ditawarkan antara RM2,100 hingga RM3,500 dengan mengekalkan kualiti fabrik dan kemahiran pembuatan terperinci.

Menawarkan keseimbangan antara tradisi dan kemodenan menjadikan barisan koleksi jenama itu pilihan ideal untuk musim perayaan.

Ia juga dihasilkan dalam kuantiti terhad, menambah elemen eksklusiviti jenama itu.

IMG_7318

Tujuh daripada lapan rekaan hadir bersama selendang percuma bagi melengkapkan gaya. — Rizman Ruzaini

Dalam pada itu, koleksi Rizman Ruzaini Red 2025 menawarkan lapan pilihan mewah yang dijangka menjadi pilihan popular untuk hari raya ini.

Koleksi RTW berkenaan menyemarakkan kembali elemen daripada koleksi Couture Mustika, namun pada harga berpatutan bermula dari RM1,100 hingga RM2,000.

Hadir dengan pelbagai warna dan gaya yang pasti mencuri perhatian sambil menawarkan kualiti tinggi bagi mengekalkan cita rasa mewah jenama tersebut.

Ia termasuk baju kurung Kedah, baju kurung Pahang, baju kurung moden, kebaya dan kebaya labuh, diperbuat daripada fabrik crepe dan lace yang selesa.

Menariknya, tujuh daripada lapan rekaan disertakan selendang percuma melengkapkan gaya wanita.

Koleksi tersebut tersedia dalam saiz IT34 hingga IT42 bagi memastikan kesesuaian untuk pelbagai bentuk badan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram