'Rizman terlalu 'perfectionist', kerja sampai 8 malam saja' - Nurida Suraya seimbang status isteri, COO Rizman Ruzaini


  • Bizz
  • Khamis, 13 Feb 2025

Nurida Suraya menggalas peranan dalam melancarkan dan menjaga sistem operasi syarikat sudah bertapak selama dua dekad.

DILANTIK sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) sejak tiga tahun lalu, Nurida Suraya Mohd. Suhaimi menggalas peranan dalam melancarkan sistem operasi syarikat yang sudah bertapak selama dua dekad.

Kepada Majoriti, usahawan berusia 36 tahun itu berkongsi pengalaman memimpin operasi perusahaan jenama fesyen Rizman Ruzaini yang berkembang saban hari dengan memiliki lebih 100 kakitangan.

Berperanan sebagai COO, beliau menguruskan semua aspek dalam syarikat termasuk bahagian sumber manusia dan kewangan.

BACA LAGI: [VIDEO] Hantaran premium kreativiti Shajaratul Dur jadi pilihan istiadat perkahwinan diraja puteri Sultan Pahang, orang kenamaan

BACA LAGI: [VIDEO] Bisnes ikan tilapia tak bawa untung, pencinta alam kelahiran Sabah tawar inap desa dengan landskap hijau di Hulu Langat

"Cabaran membawa jenama hebat ini bukanlah perkara mudah. Saya perlu memastikan setiap jabatan terutama dalam operasi dan produksi berjalan dengan lancar," jelasnya.

Mengimbas latar belakang kerjayanya sebelum bergelar COO, Nurida Suraya memberitahu, beliau pernah berkhidmat sebagai pembantu peribadi.

Pengalaman itu memupuk kemahiran pengurusan yang membantu beliau menyesuaikan diri dengan tugas sebagai ketua syarikat.

Namun, setiap pekerjaan pasti ada cabaran terutamanya dalam menguruskan jenama diterajui dua sahabat baik, Rizman Nordin dan Wan Ruzaini Wan Jamil yang berjaya bertahan selama 20 tahun.

Nurida Suraya mengakui, memastikan jenama tersebut terus memenuhi jangkaan pelanggan adalah satu tanggungjawab yang besar.

“Dengan jenama yang sudah kuat, setiap tindakan dilakukan sentiasa diperhatikan.

"Oleh itu, saya perlu pastikan segala operasi berjalan dengan sempurna, selain mengurangkan kesalahan,” kata ibu kepada dua cahaya mata tersebut.

Snapinst.app_470037655_1163896555447312_5067612471947285076_n_1080

Nurida Suraya (kanan) dan Rizman berjaya mengimbangi antara kehidupan peribadi dan kerjaya berikutan mereka berdua bekerja dalam syarikat sama.

Bergelar COO di Rizman Ruzaini, Nurida Suraya mengakui ia bukanlah tugas mudah. Pernah dirinya mengalami breakdown apabila bebanan kerja terlalu tinggi.

"Menjalankan syarikat besar bukanlah mudah, terutama dengan staf yang ramai. Kadang-kadang, kita penat, tetapi saya tak pernah berputus asa," katanya.

Dalam tempoh tiga tahun mendatang, beliau menyuarakan hasrat untuk memastikan jenama tersebut memiliki prosedur operasi standard (SOP) dan matlamat lengkap serta menjadi contoh kepada pemilik bisnes di Malaysia yang ingin berkembang ke peringkat antarabangsa.

Walaupun melalui pelbagai liku sepanjang perjalanan, Rizman Ruzaini tetap kukuh berdiri, berkat sokongan pasukan yang setia bersama.

"Saya lihat pencapaian jenama ini sebagai sesuatu yang luar biasa. Dari butik kecil di rumah sehingga kini, segala usaha membuahkan hasil.

"Ini semua berkat sokongan kuat daripada staf yang sudah bersama sejak dari hari pertama," ungkapnya.

Snapinst.app_472939530_18484460410023956_3108404561648899893_n_1080

Nurida Suraya memimpin operasi syarikat yang berkembang saban hari dengan memiliki lebih 100 kakitangan.

Masa berkualiti

Meskipun bekerja bersama suaminya, Rizman yang terkenal dengan sikap perfectionist, jelas Nurida Suraya, mereka berjaya mengimbangi antara hal keluarga dan bisnes secara profesional.

Untuk tahun pertama akuinya, agak sukar apatah lagi perlu menyesuaikan peranan sebagai isteri dan COO di Rizman Ruzaini.

“Susah juga bekerja dengan suami, tetapi ia lebih mudah kerana Rizman sudah tahu apa yang dia mahukan.

"Jika ada yang marah, jangan ambil hati. Kami perlu berfikir dan berkomunikasi secara profesional apabila timbul ketidakfahaman.

"Sampai di rumah, kami hanya boleh bekerja hingga pukul 8 malam. Lepas itu, tidak boleh bercakap tentang kerja,” ujarnya yang elak menyambung urusan kerja di rumah bagi memberikan masa berkualiti bersama keluarga.

Sebagai isteri kepada pereka fesyen, anak kelahiran Kuala Lumpur tersebut mesra menjawab tekanan untuk sentiasa tampil cantik di hadapan khalayak.

Tutur beliau, walaupun dirinya bukanlah obses dengan penampilan cantik setiap masa, namun beliau memahami keperluan untuk menjaga imej demi tuntutan karier suaminya.

“Setiap hari, pakaian saya dari kepala hingga kaki akan ditentukan oleh Rizman. Dia sangat teliti dalam memilih baik kasut, baju, tudung mahupun tas tangan. Pernah juga bergaya mengikut cita rasa sendiri, namun 'gagal' pada pandangan matanya (ketawa),” bicaranya.

Snapinst.app_462426958_1048263473230293_2893258519963289448_n_1080

Nurida Suraya memahami keperluan untuk menjaga imej sebagai isteri kepada pereka terkenal.

Me-time

Selain menguruskan syarikat, beliau juga sentiasa memastikan mempunyai masa untuk diri sendiri.

"Saya akan bersenam tiga kali seminggu sebagai me-time. Rizman juga sangat menekankan kepentingan menjaga kesihatan dan penampilan.

"Acap kali dia mengingatkan supaya kekalkan berat badan ideal kerana kami terlibat dalam banyak acara dan perlu sentiasa kelihatan sempurna. Setakat ini saya masih muat baju Rizman Ruzaini saiz M," tambahnya.

Menurut Nurida Suraya, perbezaan besar antara kehidupan sebelum dan selepas menjadi usahawan adalah tanggungjawab lebih berat dalam membuat keputusan penting untuk syarikat.

Sebelum ini ujarnya, kehidupan lebih santai, namun sekarang, beliau perlu memastikan semuanya berjalan teratur, selain membuat keputusan tepat untuk syarikat terus beroperasi.

Walaupun sibuk menguruskan syarikat, kongsinya, beliau berusaha sebaik mungkin untuk menyeimbangkan kehidupan sebagai isteri, ibu dan juga masa untuk bersendirian.

"Setiap kali balik kerja atau pada hari cuti, saya memang akan habiskan sepenuh masa bersama anak-anak," katanya yang lembut dengan anak-anak berbanding Rizman lebih tegas dalam mendidik.

Nurida Suraya sempat berkongsi beberapa perkara menarik tentang Rizman yang mungkin tidak diketahui ramai.

Menurut beliau, selain pereka fesyen berbakat, Rizman juga hebat di dapur.

"Rizman sangat pandai memasak terutamanya ayam masak kicap. Saya sendiri masih tidak lepas masak ayam masak kicap walaupun paling senang," ujarnya menambah Rizman juga seorang yang pendiam (introvert). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram