[VIDEO] Selendang sulam emas, keringkam nilai RM10,000 jadi pilihan pengantin di Sarawak, anggun sarat tradisi


  • Relaks
  • Khamis, 24 Apr 2025

Selendang bersulam benang emas itu boleh dikatakan menjadi antara tumpuan dalam keseluruhan penampilan pengantin tersebut sebagai ratu sehari. — Instagram/zachrinjaafars.official

SEORANG pengantin wanita mencuri perhatian apabila tampil anggun mengenakan selendang keringkam istimewa sempena majlis perkahwinannya, sebagai simbol penghormatan kepada warisan Melayu Sarawak yang diwarisinya.

Keringkam digayakan wanita yang dikenali sebagai Ayuni itu bukan calang-calang, ia merupakan hasil buatan tangan halus oleh artisan tempatan @dkeringkam dan diterbangkan khas dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia.

Dengan nilai mencecah RM10,000, selendang bersulam benang emas itu boleh dikatakan menjadi antara tumpuan dalam keseluruhan penampilannya sebagai ratu sehari.

BACA LAGI: Gaya sedondon 'bridesmaid' penyeri majlis, siapa perlu tanggung kos baju, solekan?

BACA LAGI: Ada pengantin silap pakai samping duda, WAKALAM kongsi ilmu cara betul gayakan busana tradisional Melayu

 

 

Jenama busana perkahwinan Ayuni, Zachrin Jaafars yang terkenal dengan kepakaran dalam pakaian tradisional klasik, menyifatkan projek itu sebagai satu penghormatan.

“Kami sangat bangga dapat menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram rasmi jenama tersebut pada Selasa.

Lazimnya dihasilkan pada selendang, keringkam merujuk kepada benang kasar daripada logam berwarna emas atau perak yang digunakan bagi menekat pelbagai motif menarik, terutama corak bunga.

Ia biasanya dipakai oleh wanita dalam masyarakat Melayu Sarawak sebagai selendang kepala dalam majlis-majlis rasmi, keagamaan dan perkahwinan.

Suatu ketika dahulu, keringkam merupakan simbol status dan kemewahan, ia hanya dipakai oleh golongan bangsawan dan kerabat diraja.

Namun hari ini, ia kembali mendapat tempat dalam kalangan wanita moden yang ingin mengekalkan warisan sambil menambah elemen klasik ke dalam busana mereka.

Kemunculan semula keringkam dalam majlis perkahwinan membuktikan bahawa warisan tidak pernah lapuk ditelan zaman.

Sebaliknya, ia boleh disemarakkan semula dengan sentuhan moden yang penuh makna. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram