
ISU sama ada kanak-kanak boleh minum teh sering menjadi persoalan dalam kalangan ibu bapa yang prihatin dengan kesihatan si kecil.
Menjawab kekeliruan itu, Dr Amalina Mohd Daud menerusi laman Instagram miliknya tampil memberikan pencerahan mengenai teh yang juga sebahagian daripada kumpulan tumbuhan herba.
Ramai sedia maklum yang teh memiliki banyak khasiatnya. Ada jenis teh herba yang selamat untuk kanak-kanak dan ada juga yang tidak sesuai untuk diminum.
Menurut beliau, teh yang diperbuat daripada daun teh tidak disarankan untuk diberikan kepada golongan berkenaan kerana kandungan tanin di dalamnya.
BACA LAGI: Selain kuning, ada juga hitam, ketahui 5 jenis teh dan khasiatnya.
Tanin merupakan sejenis bahan yang boleh menghalang penyerapan zat besi dalam badan.
"Ia sekali gus berisiko menyebabkan anemia, terutama dalam kalangan kanak-kanak yang sedang membesar dan memerlukan zat besi mencukupi,” jelasnya.
Namun begitu, beliau menjelaskan bahawa teh herba seperti chamomile, cinnamon (kulit kayu manis), peppermint dan thyme tidak mengandungi tanin serta boleh dijadikan sebagai alternatif yang lebih selamat terutamanya ketika mereka kurang sihat.
Dr Amalina berkata, teh chamomile berupaya membantu menenangkan anak dan menurunkan suhu badan ketika demam.
Sementara cinnamon adalah untuk memanaskan badan ketika anak demam sejuk atau menggigil.
"Peppermint pula memberi rasa lega apabila badan terasa panas, manakala thyme berkesan untuk masalah pernafasan selain membantu memecahkan kahak dan bersifat antimikrob.
“Saya sekarang obses dengan teh herba kerana ia sangat membantu ketika anak tidak sihat,” kata beliau, menyarankan ibu bapa untuk lebih mengenali jenis teh dan khasiatnya sebelum diberikan kepada anak.
Dr Amalina sering berkongsi ilmu mengenai tumbesaran kanak-kanak menerusi laman Instagram miliknya.
Tambah beliau, kebimbangan sesetengah ibu bapa bahawa kanak-kanak tidak boleh minum teh adalah berpunca daripada kekeliruan antara teh biasa dan teh herba.
“Ya, teh daripada daun teh tidak sesuai kerana mengandungi tanin, tetapi teh daripada bunga atau herba boleh sahaja diberi kepada anak-anak,” ujarnya.
Pencerahan tersebut diharapkan dapat membantu ibu bapa membuat pilihan lebih selamat dalam penjagaan kesihatan anak-anak melalui pendekatan semula jadi dan berasaskan sains. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram