Legakan emosi jangka pendek, pakar 'approved' kaedah jerit, benam muka ke bantal ketika marah


  • Sihat
  • Khamis, 24 Apr 2025

​​​​​​Menjerit mungkin tidak membantu jika ia diikuti dengan rasa bersalah, malu atau mati rasa emosi.

PERNAHKAH anda berada dalam keadaan marah dan kecewa begitu membuak-buak serta hanya mahu menjerit sekuat hati?

Bagaimanapun bimbang terhadap pandangan serong individu sekeliling membuatkan anda menahan segalanya dalam hati.

Namun kini, semakin ramai memilih untuk menyalurkan tekanan itu ke atas sesuatu yang tidak disangka, iaitu bantal.

BACA LAGI: Wanita perlu seimbang tangani tekanan hidup, elak minuman kafein berlebihan antara tips kekal sihat - Dr. Sharifah Shawati

BACA LAGI: Sesi luah perasaan berkumpulan di tempat kerja mampu atasi tekanan mental — Pakar Psikologi

 

 

Trend menjerit dengan membenamkan wajah ke dalam bantal kini dianggap sebagai satu bentuk pelepasan emosi yang dianggap selamat, senyap dan tidak menyinggung sesiapa. 

Malah, pakar kesihatan mental turut mengiktiraf amalan itu sebagai kaedah penyesuaian jangka pendek yang boleh memberi kelegaan segera.

Perunding Psikiatri dan Psikologi di Hospital Sparsh, Bengaluru, Dr. Sapare Rohit berkata, emosi yang kuat seperti marah, kecewa dan cemas sering kali datang dalam gelombang tinggi. 

Menurutnya, dalam keadaan seperti itu, menjerit ke arah bantal dapat membantu melepaskan perasaan yang selama ini terpendam.

"Fenomena ini juga mencetuskan inovasi dalam pasaran, dengan kemunculan 'bantal jeritan' khas seperti The Shoutlet yang menggunakan buih memori berketumpatan tinggi untuk menyerap bunyi jeritan.

"Ini menjadikan terapi emosi lebih mudah alih dan peribadi," katanya.

Namun, pakar memberi peringatan bahawa kaedah tersebut tidak harus dijadikan satu-satunya mekanisme penyesuaian.

Ujar pengasas dan Pengarah Gateway of Healing, Dr Chandni Tugnait, alternatif itu memberi kelegaan seketika, namun jika digunakan secara berlebihan, ia boleh menjadi satu pergantungan yang tidak sihat.

 

Fenomena itu juga mencetuskan inovasi dalam pasaran dengan kemunculan bantal khusus untuk menjerit.

Beliau menjelaskan, tindakan menjerit sebenarnya melibatkan otot diafragma dan teras badan yang dapat membantu melepaskan ketegangan fizikal. 

Namun katanya, kelegaan itu bersifat sementara dan tidak menyelesaikan punca sebenar tekanan emosi.

Luah tekanan

Seorang lelaki dari Delhi, Tripti Sharma, 30, mengakui bahawa menjerit ke arah bantal membantunya meluahkan tekanan yang tidak dapat dikongsi dengan orang lain.

“Ia tidak menyelesaikan masalah tetapi beri saya ruang untuk menarik nafas dan teruskan hidup,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Chandni turut menyenaraikan beberapa manfaat menjerit ke arah bantal.

1) Privasi untuk luahan jujur

Tidak seperti bercakap dengan orang lain, menjerit dengan membenam wajah ke bantal membolehkan anda meluahkan emosi tanpa takut dinilai atau perlu menjelaskan kepada sesiapa.

2) Lepas ketegangan fizikal

Ia melibatkan otot diafragma, muka dan teras, menghasilkan pelepasan fizikal yang membantu menguraikan ketegangan dalaman.

3) Cipta momen 'butang tetapan semula' 

Berhenti sebentar untuk menjerit boleh mengganggu putaran pemikiran negatif dan memberi peluang kepada otak untuk kembali dengan perspektif baharu.

4) Mengiktiraf emosi

Memberi ruang untuk emosi seperti kemarahan atau rasa putus asa tanpa rasa malu, berbanding berpura-pura untuk tidak mengalaminya.

5) Melindungi hubungan

Mengalihkan emosi ke bantal daripada melepaskannya kepada orang tersayang selain mengelakkan pertuturan menyakitkan yang mungkin disesali kemudian.

Bantal jeritan hanya membantu setakat tertentu, ia tidak dapat membantu anda memahami punca sebenar tekanan.

Apabila bantal jeritan tidak membantu

Bantal jeritan hanya membantu setakat tertentu. Ia tidak dapat membantu anda memahami punca sebenar tekanan.

Jelas Dr. Sapare, ia juga tidak boleh dijadikan penyelesaian harian atau satu-satunya cara menangani kesihatan mental.

“Sekiranya seseorang perlu menjerit dengan kerap atau jika tindakan itu tidak lagi memberi kelegaan sebaliknya menjadi satu keperluan kompulsif, ini mungkin tanda punca sebenar tekanan sama ada berterusan, trauma yang belum sembuh atau konflik dalaman tidak ditangani dengan baik. 

"Ini boleh mencipta kitaran berulang yang mana seseorang bergantung pada tindakan tersebut tanpa menyelesaikan puncanya,” jelasnya.

Selain itu, menjerit mungkin tidak membantu jika ia diikuti dengan rasa bersalah, malu atau mati rasa emosi.

Alternatif lain

Sebagai alternatif, Dr. Chandni mencadangkan pendekatan lain kepada bantal jeritan yang boleh dicuba:

1) Pernafasan berirama dengan visualisasi

Tarik nafas dalam kiraan empat, bayangkan anda menyerap tenaga tenang, tahan nafas dan tukarkan emosi secara mental, kemudian hembus dalam kiraan enam sambil bayangkan emosi dilepaskan.

2) Rakaman suara luahan

Rakam luahan emosi anda menggunakan aplikasi rakaman suara, kemudian padamkannya, rasa lega sambil mengekalkan privasi penuh.

3) Saluran kreatif

Menulis, melukis, menyanyi atau bermain muzik boleh membantu melepaskan emosi.

4) Kesedaran diri (mindfulness)

Amalan seperti imbasan tubuh atau teknik grounding (senaman melibatkan deria melalui teknik sentuhan, pendengaran, penglihatan, rasa dan bau) yang akan membantu mengurangkan tekanan.

5) Aktiviti fizikal

Berlari, menari, menggoyang badan atau tinju dapat membakar tenaga emosi dan menaikkan mood.

6) Terapi seni

Melukis, mewarna atau mengukir boleh memberikan ekspresi simbolik kepada emosi yang kuat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram