Anak demam berpanjangan, ibu bapa jangan ambil mudah jika bayi ada 'strawberry tongue'


  • Sihat
  • Selasa, 22 Apr 2025

Ibu bapa dinasihatkan tidak mengambil ringan anak yang mengalami simptom seperti strawberry tongue.

KANAK-KANAK, khususnya bayi sememangnya tergolong dalam kumpulan yang paling mudah terdedah kepada pelbagai jangkitan penyakit berikutan sistem imun mereka yang masih lemah dan belum matang sepenuhnya.

Tahap ketahanan badan anak kecil masih dalam fasa perkembangan, menjadikan mereka lebih rentan terhadap serangan virus, bakteria mahupun jangkitan kulat.

Seperti yang dikongsikan pengguna Facebook dengan nama akaun Ahmad Najmee, beliau memuat naik hantaran menceritakan pengalaman ketika anaknya disahkan mengalami penyakit Kawasaki, satu kondisi jarang berlaku tetapi boleh membawa maut jika tidak dirawat segera.

BACA LAGI: Ada kes bayi sakit teruk akibat digomol ketika balik raya Aidilfitri, ibu bapa perlu tahu langkah elak anak kena jangkitan RSV

BACA LAGI: Nampak seperti sakit biasa rupanya kanser, pakar pediatrik kongsi panduan kenal pasti anak-anak alami kanser

Bercerita lanjut, pasangan suami isteri yang juga pengamal perubatan itu memberitahu, bayi mereka dikenali sebagai Nuh, mengalami demam panas berpanjangan ketika berusia lapan bulan. 

Menurut Ahmad Najmee, suhu badan Nuh mencecah sehingga 40 darjah Celsius dan hanya kebah sementara selepas diberikan suppositori parasetamol (PCM) dan Voren.

“Kami terpaksa siram dengan air suam setiap malam kerana tepid sponging langsung tidak berkesan,” cerita si bapa.

Jelas Ahmad Najmee, keadaan anaknya semakin membimbangkan selepas memasuki hari ketiga demam, dengan kulit wajah, badan dan tapak tangan mula menunjukkan kemerahan seolah-olah ruam halus. 

Selepas ujian kendiri untuk denggi dan influenza menunjukkan keputusan negatif, pasangan tersebut bertindak memulakan rawatan antibiotik sendiri. Namun, keadaan bayi mereka tidak juga pulih.

“Masa ini aku perasan bibir Nuh dah jadi merah dan ada strawberry tongue. Kami ulang semula ujian influenza dan Covid-19, dua-dua negatif. Dia juga jadi semakin cranky dan langsung tak mahu minum susu,” tambahnya.

Kanak-kanak tergolong dalam kumpulan yang paling mudah terdedah kepada pelbagai jangkitan penyakit.

Dengan naluri seorang bapa dan pengalaman klinikal, beliau mula mengesyaki sesuatu yang lebih serius seperti penyakit Kawasaki atau meningitis. 

Walaupun isterinya pada awalnya agak keberatan kerana merancang untuk ke Kuala Lumpur menghadiri persidangan perubatan, akhirnya mereka bersetuju mendapatkan pemeriksaan pakar kanak-kanak terlebih dahulu.

Pengesahan daripada pakar mengukuhkan kebimbangan mereka apabila Nuh disahkan memenuhi kriteria penyakit Kawasaki. 

"Hati aku dah sedikit gelisah. Penyakit Kawasaki ini bukan main-main. Jarang-jarang jumpa masa kerja kat wad Pediatrik dulu, tapi aku tahu boleh bawa maut jika berlaku komplikasi terutama jika menyerang jantung," katanya.

Ujarnya, usaha merujuk rawatan ke hospital swasta turut dibuat, namun kos anggaran mencecah RM40,000 membuatkan mereka memutuskan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Zahirah (HoSZA).

Nuh segera dimasukkan ke wad dan diberikan rawatan imunoglobulin intravena (IVIG) sebanyak lima hingga enam botol dalam masa 24 jam, rawatan utama untuk penyakit tersebut. 

Keadaan Nuh mula menunjukkan perubahan positif selepas rawatan, walaupun penjagaan rapi diperlukan.

Jelas Ahmad Najmee lagi, selepas empat hari, imbasan jantung dilakukan dan disahkan tiada komplikasi. 

"Pemeriksaan susulan di Institut Jantung Negara (IJN) akhirnya mengesahkan Nuh bebas daripada sebarang kesan jangka panjang penyakit itu," ujarnya.

Susulan itu, pasangan berkenaan turut menasihatkan ibu bapa di luar sana agar tidak mengambil ringan anak yang mengalami demam panas berpanjangan, terutama jika muncul simptom seperti strawberry tongue

"Sebagai ibu bapa, kita inginkan yang terbaik untuk anak-anak. Cuma adakalanya emosi sebagai ibu bapa mengganggu pertimbangan klinikal," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram