
“SAYA alami pendarahan berterusan. Apabila minum, boleh nampak darah di dalam botol, bahkan air liur pun terasa darah,” kata Hawiah Azit.
Masih segar dalam ingatan wanita itu saat mengimbau pengalaman ketika menghidap denggi yang teruk.
Bagi ibu berusia 45 tahun itu, perjuangan melawan denggi adalah antara pengalaman dahsyat pernah berlaku dalam hidupnya.
BACA LAGI: Denggi: Nyamuk Aedes betina kerap gigit waktu panas — KP Kesihatan
BACA LAGI: Boleh jadi punca maut, perhatikan simptom demam denggi yang perlu dibendung
Kongsinya, kejadian itu hanya bermula dengan demam biasa diikuti sakit kepala yang teruk selama beberapa hari.
"Ibu dan bapa membawa saya ke klinik keluarga berhampiran rumah dan hanya diberikan parasetamol tanpa sebarang ujian susulan.
"Selepas dapat ubat, kami pun balik ke rumah. Pada usia 22 tahun, tidak banyak yang saya tahu mengenai denggi, jadi saya cuma ambil parasetamol, minum banyak air dan berdoa supaya demam cepat kebah,” katanya.
Walaupun kesihatan tidak mengizinkan, beliau tetap pulang ke kampung bagi memenuhi jemputan perkahwinan, sehinggalah keadaannya bertambah teruk.
Beliau kemudian didiagnos menghidap denggi di sebuah hospital berhampiran.
Ketika itu ujar Hawiah, hidung dan gusinya sudah berdarah dan beliau rebah dalam bilik air.
Hawiah (kiri) bersama suami (kanan) dan anak perempuannya.
"Apabila mereka memindahkan saya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak, keadaan saya sangat lemah, tidak mampu naik sendiri ke katil.
"Tahap platelet darah terus menurun. Kepala rasa sangat sakit dan badan pula menggigil teruk, sehingga terfikir yang saya akan mati.
"Hari-hari berikutnya juga menyeksakan. Selepas dua minggu, saya rasa sangat tidak bermaya, lesu fizikal dan emosi,” luahnya.
Selepas keluar dari hospital pun, beliau mengambil masa yang lama untuk memulihkan kembali kekuatan badan dan selera makan.
Akui Hawiah, kehidupannya yang dahulu aktif bermain bola tampar dan bersenam pada hujung minggu berubah selepas mengalami serangan denggi yang teruk.
"Saya tidak lalu makan dan berminggu-minggu terasa lesu. Kini sebagai ibu dan isteri, saya sentiasa bimbang akan keluarga.
"Saya mempunyai anak perempuan berusia 15 tahun dan suami pula adalah orang yang berisiko tinggi dengan penyakit komorbid, apatah lagi sudah dua kali beliau menghidap denggi.
“Ketika muda dahulu, banyak yang saya tidak tahu, tetapi kini berbeza. Saya sedar betapa pentingnya penjaga utama keluarga diperkasakan dengan ilmu pengetahuan.
"Pengalaman lalu membuatkan saya sentiasa berwaspada tentang pencegahan denggi, jadi apabila mengetahui tentang vaksinasi, saya pastikan keluarga divaksin,” jelasnya.
Kesan denggi terhadap wanita
Demam denggi terus menjadi masalah kesihatan awam utama di Malaysia. — Gambar hiasan
Sementara itu, pakar perunding pediatrik, Dr. Hon Mun Cheng berkata, demam denggi terus menjadi masalah kesihatan awam utama di Malaysia, dengan ribuan kes dilaporkan saban tahun.
Pada 2024 sahaja, sebanyak 122,423 kes dengan 117 kematian dicatatkan, yang meneruskan trend peningkatan kematian sejak 2021.
Iklim tropika dan kepesatan pembandaran di negara mewujudkan persekitaran ideal untuk pembiakan nyamuk, sekali gus menyumbang pada penularan berterusan denggi dan menimbulkan risiko jangkitan tidak berkesudahan.
Menurut Dr. Mun Cheng, walaupun denggi boleh menyerang lelaki dan wanita, namun penemuan terkini menunjukkan wanita mungkin lebih terkesan dek penyakit tersebut, tidak hanya secara fizikal, tetapi juga dari segi sosial dan ekonomi.
Ujarnya, denggi mungkin tidak mendiskriminasi, tetapi kesannya terhadap wanita boleh menjadi parah disebabkan faktor fisiologi, sosial dan ekonomi.
“Wanita lebih berkemungkinan mengalami denggi yang teruk dan demam denggi berdarah disebabkan oleh faktor fisiologi, yakni sistem imun cenderung untuk membentuk tindak balas yang lebih kuat terhadap virus.
"Keadaan tersebut menyebabkan berlakunya beban virus yang lebih tinggi dan peningkatan keradangan.
“Selain itu, isipadu darah wanita umumnya lebih rendah, menjadikan mereka lebih terdedah kepada renjatan hipovolemia, iaitu komplikasi berbahaya denggi yang teruk,” katanya.
Wanita berkemungkinan mengalami denggi yang teruk dan demam denggi berdarah. — Gambar hiasan
Dr. Mun Cheng turut menekankan peranan kebocoran kapilari dalam tahap keparahan denggi dalam kalangan wanita.
Kata beliau, oleh kerana salur darah wanita secara semula jadi membenarkan lebih banyak cecair melepasi dindingnya, maka mereka lebih mudah mengalami lebam dan pendarahan dalaman.
"Keadaan ini amat membimbangkan khususnya pada wanita yang diserang demam denggi teruk ketika haid, kerana mereka berisiko mengalami pendarahan berlebihan, di samping gejala lain seperti sakit perut, muntah berterusan, pendarahan mukosa contohnya gusi dan hidung berdarah dan kebocoran plasma.
"Faktor-faktor ini ternyata meningkatkan risiko komplikasi yang teruk, memerlukan pemantauan perubatan rapi, terutamanya dalam kalangan wanita dengan kiraan platelet yang rendah atau mengalami anemia, keadaan yang lebih lazim berlaku pada wanita berbanding lelaki," bicaranya.
Dr. Mun Cheng dalam pada itu menjelaskan, wanita hamil berhadapan dengan risiko jauh lebih besar jika dijangkiti denggi, yang boleh membawa kesan serius kepada ibu dan anak.
Beliau berkata, denggi semasa kehamilan boleh menyebabkan bayi mempunyai berat lahir yang rendah, kelahiran pramatang, kelahiran mati dan peningkatan risiko kematian ibu.
"Malah, virus denggi boleh berjangkit kepada bayi dalam rahim, yang berpotensi mengakibatkan denggi teruk dengan gejala pendarahan pada bayi," katanya.
Jelas Dr. Mun Cheng, penemuan terkini menunjukkan wanita mungkin lebih terkesan dek penyakit denggi.
Tambah beliau, selain risiko fisiologi, wanita juga sering menanggung beban sosial dan emosi yang lebih berat apabila membabitkan soal demam denggi.
Sebagai penjaga utama dalam kebanyakan rumah tangga, wanita bertanggungjawab menjaga anak-anak, ibu bapa yang sudah tua dan ahli keluarga yang
Bagaimanapun, apabila mereka sendiri jatuh sakit, sokongan yang diterima agak terhad atau terpaksa meremehkan gejala dialami demi meneruskan tanggungjawab menjaga keluarga.
“Melengahkan rawatan boleh membawa kesan besar kepada diri sendiri kerana denggi merebak dengan pantas dan tanpa rawatan tepat pada waktunya, komplikasi denggi boleh mengancam nyawa,” tegas beliau.
Tidak hanya itu, keadaan akan semakin lebih teruk jika akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan dihadkan oleh kekangan kewangan, kekurangan kemudahan penjagaan anak dan faktor sosioekonomi lain.
Wanita daripada kelompok berpendapatan rendah mungkin tidak mempunyai cara untuk mendapatkan rawatan manakala mereka yang mempunyai pekerjaaan tidak formal pula berdepan masalah kewangan jika tidak dapat bekerja.
"Ia boleh menyebabkan wanita menangguhkan rawatan perubatan, sebaliknya memilih untuk mengutamakan keluarga berbanding kesihatan mereka sendiri.
"Faktor yang saling berkait itu mewujudkan satu kitaran, iaitu wanita menjadi lebih terdedah pada kesan denggi yang serius hanya kerana mereka sukar mengutamakan kesihatan sendiri," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram