SIAPA sahaja tidak geram melihat tubuh kecil bayi yang comel terutama ketika mengunjungi sanak saudara pada musim perayaan Aidilfitri.
"Geramnya, comelnya...rasa nak gigit saja," itulah kata-kata yang sering keluar daripada mulut seseorang apabila melihat bayi.
Hakikatnya, segelintir orang bukan sahaja mahu mencium pipi bayi tetapi juga ingin menggomol dan menggigit badan anak kecil itu.
Tetapi ramai tidak menyedari bahawa perbuatan menggomol bayi ini boleh mengundang bahaya kepada bayi.
Buktinya, seorang doktor, Dr Amalina Mohd Daud menceritakan kisah mengenai bayi yang terkena jangkitan respiratory syncytial virus (RSV) selepas menyambut hari raya.
"Ada kes seorang bayi ini berjumpa saudara-mara. Asalnya sihat sejahtera tiada penyakit apa. Namun lepas balik kampung, terus sakit teruk dan berminggu lamanya di hospital kerana jangkitan RSV," katanya.
Dr Amalina berkata, kejadian itu berlaku susulan daripada perbuatan menggomol yang dilakukan individu-individu yang kurang bertanggungjawab.
"Itu belum masuk lagi dengan orang dewasa yang selesema dan tak sihat. Merokok pula alahai. Iya tahu bayi itu comel tapi tanggungjawab kita untuk kawal perasan dan elak jadi punca bayi itu sakit.
"Jadi raya ni, elakkan orang lain mencium bayi. Tengok boleh. Cium jangan. Raya kita nak balik rumah bukan pergi hospital," tulisnya.
Ibu bapa memainkan peranan penting sebagai pelindung untuk mengelak anak mereka daripada segala bahaya.
Sebenarnya terdapat banyak perkara yang perlu dititikberatkan ibu bapa apabila ada individu yang mahu melihat bayi semasa beraya seperti:
BACA LAGI: Bentuk kuku tiba-tiba melengkung, ketahui bahaya 'nail clubbing' jika tidak dirawat
Elakkan orang luar sembarangan menyentuh anak anda semasa beraya.
1) Sebaiknya biarlah ibu bapa sahaja yang pegang anak mereka
Ibu bapa tidak semestinya perlu mendukung bayi mereka sepanjang masa tetapi perlulah memerhati anak mereka dari jarak yang dekat.
Ini kerana, adalah sukar untuk memastikan bahawa pakaian yang dikenakan seseorang berada dalam keadaan bersih atau terdedah dengan asap rokok, habuk atau asap kenderaan.
Tidak salah jika ibu bapa bertegas untuk mengelak anak mereka disentuh secara sembarangan.
2) Elakkan individu merokok mendekati bayi
Ibu bapa perlulah memastikan tiada tetamu yang menghisap rokok di dalam ataupun di luar rumah.
Antara cara yang boleh dibuat adalah menegur dengan cara baik kepada adik-beradik lelaki atau saudara mara yang merokok.
3) Jauhkan diri jika tidak sihat
Sebagai individu yang bertanggungjawab, elakkan mendekati bayi apabila berada dalam keadaan yang kurang sihat.
Sebagai contoh, anda perlulah menjarakkan diri anda dengan bayi kecil sekurang-kurangnya 5 meter jika anda dijangkiti selesema, demam, batuk atau Coronavirus disease (Covid-19).
BACA LAGI: 'Rengsek' telinga dengar lagu Alamak Raya Lagi!, ketahui cara atasi sindrom earworm
Elakkan tetamu yang menziarahi sesuka hati mencium anak anda.
4) Elakkan orang cium bayi
Ketika menziarahi sanak saudara, ambil tanggungjawab dengan mengelak menyentuh serta mencium bayi di kawasan sensitif seperti muka, mulut dan hidung anak.
Apatah lagi, jika anda memakai lipstik kerana segelintir kulit bayi berkemungkinan mengalami alahan dengan kandungan lipstik yang dipakai.
5) Peti kecemasan asas
Peti kecemasan asas penting untuk merawat anak jika terluka, terjatuh atau sebagainya semasa beraya di rumah orang.
Ini kerana, anak kecil tidak memiliki antibodi yang kuat untuk melawan penyakit berjangkit seperti penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD), Covid-19, RSV dan rotavirus.
6) Tidak perlu bimbang digelar paranoid
Para ibu di luar sana tidak perlu bimbang digelar paranoid kerana mahu melindungi bayi sendiri.
Segelintir ibu bapa pasti bimbang diperkatakan seolah-olah hanya mereka yang memiliki bayi.
Ini kerana, langkah yang diambil adalah hal yang terbaik untuk mencegah anak mereka daripada terkena sebarang jangkitan penyakit berbahaya.
7) Elak orang luar menyuapkan bayi anda
Aspek pemakanan sangat penting untuk dijaga bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil.
Ibu bapa perlulah mengelak tetamu yang datang menziarahi rumah anda daripada menyuap anak anda dengan pemakanan yang sembarangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram