Nampak seperti sakit biasa rupanya kanser, pakar pediatrik kongsi panduan kenal pasti anak-anak alami kanser


  • Berita
  • Isnin, 17 Mac 2025

Kanser kanak-kanak telah menjejaskan kira-kira 77.4 setiap juta kanak-kanak Malaysia berumur bawah 15 tahun. — Gambar hiasan

KANSER dalam kalangan kanak-kanak bukan sesuatu yang sering diperkatakan, namun hakikatnya, ia memberi kesan kepada kira-kira 77.4 daripada setiap sejuta kanak-kanak Malaysia berumur bawah 15 tahun. 

Penyakit itu bukan sahaja mengubah kehidupan pesakit, malah turut memberikan kesan besar kepada keluarga mereka baik dari segi emosi, fizikal mahupun kewangan.  

Namun, dengan kemajuan dalam bidang perubatan dan rawatan yang lebih sistematik, peluang untuk sembuh semakin meningkat. 

BACA LAGI: Alami perubahan fizikal lepas bersalin, 8 perkara ibu patut tahu, paling penting jangan panik

BACA LAGI: 'Saling menghormati, jaga perut suami', Anzalna Nasir kongsi rahsia keakraban keluarga menjelang Ramadan

Pengesanan awal memainkan peranan penting dalam meningkatkan kadar kelangsungan hidup pesakit, dan inilah sebabnya mengapa ibu bapa perlu lebih peka terhadap tanda-tanda awal penyakit itu.  

Tanda-tanda awal 

Kanser dalam kalangan kanak-kanak sukar dikesan pada peringkat awal kerana simptomnya sering kali menyerupai penyakit biasa. 

Keadaan itu menyebabkan ramai ibu bapa tidak menyedari bahawa anak mereka mungkin menghidap penyakit serius sehingga berada peringkat lebih lanjut.

Dr. Ng Ruey Terng berharap ibu bapa peka jika anak memiliki gejala penyakit kanser.

Pakar Perunding Pediatrik di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr. Ng Ruey Terng berkata, ibu bapa harus berwaspada sekiranya anak mengalami gejala berikut:  

- Demam berpanjangan tanpa sebab yang jelas.

- Keletihan melampau walaupun mendapat rehat yang mencukupi.

- Mudah lebam atau mengalami pendarahan luar biasa.  

- Ketulan atau bengkak yang tidak surut.  

- Sakit tulang berpanjangan.  

- Sakit kepala berulang yang disertai gangguan penglihatan.  

"Ramai ibu bapa menganggap simptom itu perkara biasa, tetapi jika ia berlanjutan, pemeriksaan perubatan perlu dilakukan segera.

"Pengesanan awal amat penting untuk meningkatkan keberkesanan rawatan,” jelas Dr Ng.  

Kulit kelihatan pucat dan tidak bermaya  antara petanda kanser Neuroblastoma. Gambar hiasan 

Kanser Sistem Saraf Simpatik: Neuroblastoma

Salah satu jenis kanser yang sering menyerang bayi dan kanak-kanak ialah neuroblastoma, iaitu sejenis barah yang berkembang daripada sel saraf belum matang. 

Penyakit itu biasanya berlaku pada kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah dan sering kali tidak menunjukkan gejala yang jelas pada peringkat awal.  

Sementara itu, Pakar Perunding Haemato-Onkologi Pediatrik di SJMC, Dr. Chan Lee Lee turut berkongsi antara tanda-tanda neuroblastoma yang perlu diberi perhatian.  

- Sakit perut yang berterusan.  

- Sakit tulang tanpa sebab yang jelas.  

- Penurunan berat badan mendadak.  

- Kulit kelihatan pucat dan tidak bermaya.  

"Kadar kelangsungan hidup pesakit neuroblastoma berbeza-beza bergantung kepada peringkat penyakit dan ciri-ciri tumor yang tertentu.

"Secara umum, kadar kelangsungan hidup lima tahun boleh berada dalam lingkungan 25 peratus hingga 95 peratus bergantung kepada tahap penyakit dan kumpulan risiko pesakit,” jelas Dr. Lee Lee.  

Tumor otak salah satu jenis kanser yang perlu diawasi pada kanak-kanak.

Rawatan bagi neuroblastoma bergantung pada tahap penyakit dan keadaan pesakit.

Antara rawatan sering digunakan ialah kemoterapi, pembedahan, terapi sinaran dan dalam sesetengah kes, pemindahan sel stem pesakit sendiri bagi meningkatkan peluang pemulihan.  

Tumor otak: cabaran dan rawatan

Selain neuroblastoma, tumor otak juga merupakan salah satu jenis kanser yang kerap menyerang kanak-kanak. 

Penyakit itu boleh menjejaskan perkembangan kognitif dan fizikal pesakit, malah dalam beberapa kes, rawatan yang agresif boleh menyebabkan kesan sampingan jangka panjang seperti gangguan pembelajaran dan kelewatan perkembangan.  

Dalam pada itu, Pakar Bedah Saraf SJMC, Dr. Vickneswaran Mathaneswaran berkata, ibu bapa perlu lebih peka sekiranya anak mengalami simptom tertentu.

- Pembesaran kepala yang luar biasa, terutamanya pada bayi.  

- Gangguan keseimbangan atau kesukaran berjalan.  

- Sawan yang berlaku tanpa sejarah penyakit epilepsi.  

- Perubahan tingkah laku atau emosi secara mendadak.  

Antara jenis tumor otak yang sering ditemui dalam kalangan kanak-kanak ialah astrocytomas, medulloblastomas, ependymomas dan craniopharyngiomas.  

Dr. Vickneswaran menjelaskan bahawa pembedahan sering menjadi pilihan utama dalam rawatan tumor otak, namun ia bukan tanpa risiko. 

“Sebarang prosedur pembedahan melibatkan risiko seperti jangkitan, pendarahan, dan pembengkakan otak.

"Oleh itu, pembedahan perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati oleh pakar yang berpengalaman,” katanya.  

Kemajuan dalam bidang neuroembriologi, neurofisiologi, dan neuroanatomi telah membantu mengurangkan risiko komplikasi pembedahan dan meningkatkan kadar kejayaan rawatan.  

Rawatan kanser dalam kalangan kanak-kanak memerlukan pendekatan multidisiplin yang melibatkan pelbagai pakar seperti pakar pediatrik, pakar onkologi, pakar bedah saraf serta pasukan perubatan lain. 

Kerjasama antara mereka membolehkan setiap pesakit menerima rawatan yang paling sesuai berdasarkan umur, jenis kanser dan tahap kesihatan keseluruhannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram