
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan kerajaan sedang memantau dengan teliti wabak penyakit Legionnaires di Sydney, Australia.
Katanya, setakat ini, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Krisis (CPRC) tidak menerima sebarang laporan jangkitan wabak tersebut di Malaysia.
"Kementerian Kesihatan sedang memantau keadaan. Kami akan mengeluarkan kenyataan akhbar rasmi sebaik menerima sebarang maklumat terkini daripada CPRC," katanya ringkas pada sidang media selepas prapelancaran Persidangan Megatrends Malaysia Antarabangsa (MIH) 2025, di Kuala Lumpur pada Jumaat.
BACA LAGI: Obsesi baharu bilionair China jaga masa depan negara
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan Jabatan Kesihatan New South Wales mengesahkan satu kematian dan 12 jangkitan dikaitkan dengan wabak itu.
Agensi terbabit turut menggesa individu berada di ibu kota Sydney dan kawasan sekitarnya pada akhir Mac atau awal April supaya berwaspada terhadap gejala seperti demam, menggigil, batuk dan sesak nafas.
Penyakit Legionnaires ialah sejenis radang paru-paru disebabkan oleh bakteria Legionella, yang secara semula jadi berlaku di dalam air tawar.
Gejala boleh muncul sehingga 10 hari selepas pendedahan.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, kadar kematian bagi pesakit yang tidak dirawat dengan sistem imun yang lemah adalah setinggi 80 peratus. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram