
SEORANG wanita ditahan pada Isnin selepas dipercayai memukul anak perempuannya di sebuah dobi di Kemaman, Chukai, Terengganu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, kejadian itu berlaku pada 16 April lalu.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, wanita tersebut bertindak sedemikian kerana bimbang akan keselamatan anaknya yang berusia 9 tahun itu berlari-lari di hadapan kedai dobi sehingga boleh menyebabkan kecederaan jika dilanggar oleh kenderaan di kawasan itu.
BACA LAGI: Pemandu bas negatif dadah, jantung lebam akibat hentakan punca penuntut UUM maut
"Mangsa juga didapati cedera ringan di dahi akibat dipukul dan ketika ini berada dalam jagaan bapanya.
"Mangsa sebelum itu telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kemaman," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Katanya, wanita terbabit kini ditahan reman sehingga Selasa dan kes disiasat di bawah seksyen 323/18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Terdahulu, tular satu video kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan wanita berkenaan memarahi dan memukul anaknya di dalam dobi tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram