
DI sebalik kegembiraan menimang cahaya mata, sering kali ramai terlupa bahawa ada seorang insan bergelar isteri yang menanggung sakit luar biasa, tubuh yang berubah dan hati yang diam-diam terluka.
Pakar perubatan, Dr Ahmad Samhan Awang mengingatkan bahawa proses bersalin bukan sekadar tentang bayi yang selamat dilahirkan.
Ia adalah perjalanan yang meninggalkan kesan mendalam, fizikal dan emosi khususnya buat si isteri.
BACA LAGI: Anak trauma lihat ibu kena ikat waktu kecil, kongsi cara jaga pesakit bipolar sampai sembuh
BACA LAGI: [VIDEO] Bukan 'cheat code', pakar tepis tanggapan suntikan epidural hanya untuk wanita lemah
"Prosedur seperti epidural, episiotomi, pembedahan caesarean (czer) dan penggunaan perancang kehamilan bukanlah 'cheatcode' atau jalan pintas untuk memudahkan proses bersalin.
“Ia tinggalkan bekas yang bukan saja memberi kesan pada tubuh, tapi juga kepada jiwa isteri. Sayangnya, tak semua suami sedar,” katanya.
Dr Samhan tampil memberi pesanan buat para suami supaya lebih menghargai pengorbanan isteri.
Tidak dinafikan, ada individu yang anggap prosedur seperti epidural atau czer itu ‘mudah’ iaitu seolah-olah tak meninggalkan kesan kepada si ibu.
Untuk rekod, epidural dan spinal block adalah suntikan bius ke ruang tulang belakang untuk hilangkan rasa sakit semasa bersalin atau pembedahan.
Ia membantu ibu bersalin tanpa rasa perit namun memiliki kesan sampingan seperti sakit belakang kronik atau migrain boleh berlarutan selama bertahun-tahun.
Episiotomi pula adalah potongan kecil di kawasan perineum (antara faraj dan dubur) yang dibuat bagi memudahkan kelahiran.
Suntikan epidural bukan bermakna ibu mengandung mengelat dan lari daripada sakit bersalin.
Luka itu mengambil masa lama untuk sembuh, malah ada yang mengalami trauma ketika bersama suami selepas bersalin.
Caesarean atau Czer pula bukanlah pilihan yang ‘senang’ tetapi ia adalah satu prosedur pembedahan besar.
Luka yang dijahit itu mengambil masa berbulan-bulan untuk pulih sehinggakan ada ibu yang sudah tidak mampu menanggung bebanan berat atau tidak boleh berdiri lama.
Perancang kehamilan pula, menurut Dr Samhan, walaupun dianggap biasa diambil, namun ia memberi kesan kepada hormon dan emosi wanita.
Ada wanita yang mula naik berat badan, kemurungan atau kitaran haid menjadi tidak stabil.
"Ada yang sakit bertahun lepas bersalin. Ada yang badan dah tak sama. Ada yang pendam perasaan sebab tak nak suami risau. Tapi sayangnya... tak semua suami faham," luah Dr Samhan.
Tambahnya lagi, ada isteri yang berasa seolah-olah seperti menanggung semua hal secara bersendirian, sedangkan beban dalam perkahwinan juga seharusnya dipikul bersama.
“Kadangkala, pelukan dan ayat mudah seperti ‘saya ada dengan awak’ pun dah cukup untuk buat si isteri rasa kuat semula.
"Kepada isteri di luar sana, yang sedang bertahan dengan luka yang tak semua orang nampak, ketahuilah bahawa anda kuat dan anda tidak sendiri," katanya.
Dan buat suami belajarlah untuk melihat dengan hati kerana cinta sebenar bukan hanya hadir ketika bahagia tetapi juga sewaktu pasangan kita memerlukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter , Facebook , Instagram , WhatsApp Channel dan Telegram