
SEBUAH kediaman lama dahulunya digelar 'rumah busuk' dek keadaannya yang uzur dan tidak terjaga, kini bertukar wajah menjadi ruang acara yang begitu moden dan memukau.
Terletak di Muar, Johor, struktur asal rumah kayu dua tingkat itu kelihatan seperti telah ditinggalkan bertahun-tahun, sebagaimana perkongsian menerusi laman Facebook Kami Suka Deko Deko Bajet (KSDDB) pada 12 April lalu.
Dinding kayu yang reput, tingkap kaca yang usang dan persekitaran dipenuhi semak samun memberikan gambaran suram, namun di sinilah bermulanya satu transformasi yang penuh dengan inspirasi.
BACA LAGI: Evolusi reka bentuk kediaman, premis di Malaysia berkait rapat nilai, gaya hidup, budaya tempatan
BACA LAGI: Gaya minimalis Skandinavia hiasi kediaman Ruma8Belas, umpama bercuti di resort
Melalui proses pengubahsuaian menyeluruh, rumah berkenaan yang kini dinamakan sebagai The Vow Event Venue tampil serba putih dengan konsep minimalis moden yang masih mengekalkan elemen klasik.
Tangga utama yang dahulunya dibangunkan dengan rekaan jubin lantai mozek beserta binaan tembok batu angin, kini diganti dengan tangga lebar tona putih bersih, dihiasi pencahayaan lembut yang menambah seri pada waktu malam.
Pintu masuk utama yang baru dibina dengan rekaan pintu kayu bergaya kolonial berwarna hitam memberikan sentuhan eksklusif, manakala bahagian luar rumah kini lengkap dengan landskap hijau yang terurus.
Tangga utama kini diganti dengan tangga lebar tona putih bersih. — Facebook/Kami Suka Deko Deko Bajet
Transformasi dramatik itu berjaya menghidupkan kembali rumah berkenaan, lengkap dengan kemudahan moden termasuk kolam renang peribadi yang menambahkan lagi nilai eksklusif kepada lokasi tersebut.
Setiap perincian renovasi dilakukan dengan penuh teliti, daripada menukar struktur lama kepada ruang serbaguna yang sesuai untuk pelbagai majlis seperti perkahwinan, pertunangan, ulang tahun mahupun sesi fotografi.
Persekitaran dipenuhi semak samun (gambar kiri) sebelum ini memberikan gambaran suram. — Facebook/Kami Suka Deko Deko Bajet
Bahagian sisi rumah turut diperbaharui dengan tingkap berbingkai hitam dan kemasan kemas yang menjadikan rumah itu persis bangunan baharu.
Meski tampil serba baharu, identiti asal kediaman tersebut masih dikekalkan melalui bentuk struktur dan susunan ruang asal sebagai usaha memelihara warisan sambil menyesuaikannya dengan keperluan moden.
Rata-rata memuji transformasi yang difahamkan menelan belanja besar itu namun tidak kurang juga yang mengkritik.
Apa yang menarik perhatian, ramai yang memberi komen mengatakan tangga batu putih ala stail Inggeris di premis tersebut kurang 'wow factor' berbanding tangga lama.
"Nampak plain, putih saja tangga yang baru ni. Nasib pintu jadi penyelamat," kata Mak Dahlia.
"Sayang tangga lama cantik lagi. Iron rail pun elok," komen Taj Firdaus.
"Tangga lama macam tu susah nak cari di rumah-rumah sekarang. Memang 'rare'! Patut refurbish bagi nampak baru saja. Jubin mozek lama, ada batu angin pula. Barulah ada karakter!" komen Nridy Bsrwry.
Apapun pendekatan dekorasi yang diketengahkan pemilik, pasti ada alasan kukuh di sebaliknya.
Mungkin tangga batu putih polos itu sesuai jadi 'port' bergambar lagi-lagi jika mahu mengabadikan momen manis seperti foto nikah, perkahwinan dan sebagainya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram