
JEPUN terus berdepan krisis demografi yang semakin meruncing apabila populasi negara itu mencatatkan penyusutan terbesar dalam sejarah moden, yakni hampir 900,000 orang pada 2024.
Penurunan populasi masih berlaku meskipun kerajaan melaksanakan pelbagai langkah agresif termasuk perbelanjaan besar untuk menggalakkan kadar kelahiran.
Menurut data terkini daripada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Jepun pada Isnin, jumlah warganegara Jepun menurun sebanyak 898,000 orang, menjadikan tahun ini penyusutan ke-14 berturut-turut.
BACA LAGI: Pengaruh luar, kebebasan peribadi antara alasan ramai Gen-Z pilih kahwin berkonsepkan 'child-free'
Ia juga merupakan kejatuhan tahunan paling besar sejak data direkodkan pada 1950-an.
Antara penyumbang utama kepada penurunan tersebut ialah kumpulan usia produktif (15 hingga 64 tahun) yang menyusut sebanyak 224,000 orang, sekali gus memberi kesan besar terhadap asas cukai dan daya pengeluaran negara, menurut laporan Bloomberg.
Kadar kesuburan Jepun pada 2023 pula berada pada tahap membimbangkan iaitu 1.2 kelahiran bagi setiap wanita, jauh di bawah kadar penggantian populasi 2.1.
Penurunan populasi masih berlaku meskipun kerajaan melaksanakan pelbagai langkah agresif. — — Gambar hiasan/Agensi
Malah, jumlah kanak-kanak kini hanya 11.2 peratus daripada keseluruhan penduduk atau sekitar 13.8 juta orang, selepas penyusutan seramai 343,000 tahun lalu.
Hal itu berlaku walaupun kerajaan Jepun meluluskan pakej rangsangan berjumlah AS$25 bilion (RM110 bilion) pada penghujung 2023, yang merangkumi peluasan elaun anak, peningkatan kemudahan penjagaan kanak-kanak dan sokongan pendidikan.
Namun, langkah tersebut masih gagal membendung kemerosotan kelahiran.
Masa suntuk
Bekas Menteri Kesihatan Jepun, Keizo Takemi menyifatkan keadaan demografi Jepun sebagai 'kritikal' dan memberi amaran bahawa negara hanya mempunyai tempoh sehingga dekad 2030-an untuk membalikkan trend tersebut.
Menurut kajian, semakin ramai golongan muda di Jepun memilih untuk tidak berkahwin atau berkeluarga akibat prospek pekerjaan tidak menentu, kos sara hidup meningkat lebih cepat berbanding pertumbuhan gaji dan budaya kerja tidak fleksibel untuk ibu bapa berkerjaya dua hala.
Anak-anak yang perlu menjaga ibu bapa lanjut usia menjadi beban psikologi dalam masyarakat Jepun yang telah lama mengalami kadar kelahiran rendah. — Gambar hiasan
Jangkaan semasa menunjukkan populasi Jepun bakal menyusut hampir 30 peratus menjelang 2070 kepada sekitar 87 juta orang, dengan 40 peratus daripada mereka dijangka berumur 65 tahun ke atas.
Perkembangan itu dijangka menjejaskan sistem kebajikan negara yang kini sudah pun berada di ambang tekanan.
Penyara tunggal
Profesor Madya Ekaterina Hertog dari Oxford Internet Institute dan Oxford Institute for Ethics in AI menjelaskan, insentif kewangan semata-mata tidak mencukupi untuk meningkatkan kadar kelahiran, memandangkan struktur budaya dan jangkaan sosial yang mengikat.
"Trend perkahwinan di Jepun dan Korea Selatan sangat dipengaruhi oleh keadaan ekonomi dan bagaimana ia berkait dengan peranan jantina," katanya kepada Newsweek.
Pada 2023, jumlah perkahwinan tahunan di Jepun jatuh di bawah 500,000, iaitu kali pertama dalam tempoh 90 tahun.
Masih terdapat jangkaan bahawa lelaki perlu memainkan peranan sebagai penyara tunggal, menyebabkan ramai lelaki berpendapatan rendah menangguhkan perkahwinan atau terus membujang.
Kadar kesuburan merosot mendadak akibat urbanisasi, tekanan budaya kerja dan perubahan sikap terhadap perkahwinan. — Gambar hiasan
Hertog menambah, norma keluarga yang mewajibkan anak-anak menjaga ibu bapa lanjut usia turut menjadi beban psikologi dalam masyarakat yang telah lama mengalami kadar kelahiran rendah.
Sementara itu, Profesor Ryuichi Kaneko daripada Universiti Meiji pula berkata kepada akhbar Asahi Shimbun, ketika pascaperang, Jepun membina sebuah masyarakat yang terlalu mengutamakan aktiviti ekonomi sehingga mengabaikan struktur sokongan keluarga dan kesuburan jangka panjang.
Negara maju
Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshimasa Hayashi mengakui bahawa penurunan kadar kelahiran masih belum dapat dikawal secara berkesan, berdasarkan data terkini yang mengecewakan itu.
Fenomena serupa juga berlaku di negara-negara Asia Timur lain seperti China, Korea Selatan dan Taiwan yang turut menyaksikan kadar kesuburan merosot mendadak akibat urbanisasi, tekanan budaya kerja dan perubahan sikap terhadap perkahwinan.
Trend itu turut dikesan di Amerika Syarikat (AS), dengan kadar kesuburan jatuh kepada 1.67 kelahiran setiap wanita walaupun pelbagai insentif kerajaan telah diperkenalkan.
Ia menunjukkan bahawa cabaran demografi tersebut adalah hasil kombinasi kompleks faktor ekonomi, budaya dan sosial. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram