Peguam Asiah Abd Jalil terkenang jasa Pak Lah, susuk di sebalik 'tiada lagi dasar budak pandai wajib ambil sains'


  • Relaks
  • Rabu, 16 Apr 2025

Asiah (kanan) mengakui, dasar pentadbiran Pak Lah telah merubah jalan hidupnya secara peribadi.

NEGARA dikejutkan dengan berita pemergian mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau lebih dikenali sebagai Pak Lah, yang telah kembali ke rahmatullah pada Isnin lalu.

Pemergian Perdana Menteri kelima itu meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja dalam lipatan sejarah negara, tetapi juga dalam hati rakyat jelata yang mengenali beliau sebagai pemimpin berjiwa tenang, bersikap sederhana dan penuh santun dalam tutur kata serta tindakan.

Sehingga hari ini juga difahamkan, suasana hiba masih menyelubungi makam Pahlawan Masjid Negara apabila berterusan dikunjungi rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat yang mahu memberikan penghormatan terakhir buat Pak Lah.

BACA LAGI: 'Bincang sampai sepakat', Shahaniza kenang cara diplomatik Pak Lah elak wujud pertandingan dalam sayap Puteri Umno

BACA LAGI: Pernah tidur berlapar ketika di bangku sekolah, guru kenang jasa Pak Lah wujudkan SABK

Sementara di media sosial, ruang maya dibanjiri dengan luahan emosi, kenangan dan penghargaan peribadi terhadap jasa Allahyarham.

Antara yang mencuri tumpuan termasuk perkongsian peguam, Asiah Abd Jalil mengenai dasar pentadbiran Pak Lah pada era 2003 hingga 2009 bukan sahaja menyentuh dasar negara, malah merubah jalan hidupnya secara peribadi.

Asiah mengimbas kembali bagaimana dia pernah tercicir ke universiti pada 2002 gara-gara tidak berminat menyambung pelajaran dalam bidang sains.  

Namun, semuanya berubah apabila pentadbiran Pak Lah membuka lebih banyak ruang pendidikan inklusif, membolehkan pelajar memilih bidang yang diminati.

Asiah menyambung pengajian di UiTM Merbok pada 2007.

"Tahukah anda, saya menjadi seorang university dropout ketika zaman (pemerintahan) (Tun Dr) Mahathir Mohamad, disebabkan tidak suka dengan bidang sains yang dipaksakan ke atas saya.

"Saya murid cemerlang semasa PMR (Penilaian Menengah Rendah). Sewaktu di tingkatan empat, murid cemerlang kena ambil aliran sains. 

"SPM saya juga cemerlang, apabila mohon UPU (Unit Pusat Universiti), murid cemerlang aliran sains tak dibenarkan mohon aliran Sastera," katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Selasa.

Jelas beliau, itu adalah dasar pendidikan ketika zaman Dr Mahathir yang mahukan bidang sains di universiti diisi oleh 80 peratus pelajar bumiputera.

Kata Asiah, meskipun meraih gelaran pelajar cemerlang, dia tidak berminat dengan pendidikan sains.

"Kerajaan tiada hak nak paksa saya ceburi bidang yang saya tak minat. Semasa zaman pemerintahan Pak Lah, beliau yang berlatarbelakangkan bidang agama mula beri peluang pelajar pilih bidang yang disukai. Tiada lagi dasar budak pandai wajib ambil sains," tulisnya.

Ujarnya lagi, ketika menyambung pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Merbok, Kedah pada 2007, beliau turut membawa bersama tiga anaknya, yang ketika itu masing-masing berumur empat, dua dan setahun.

Beliau menambah, bantuan kupon makanan yang diberikan kerajaan kepada semua pelajar UiTM pada waktu itu, menjadi antara kenangan bermakna buat dirinya.

"Dengan kupon tersebut, setiap hari saya beli nasi melimpah di dewan makan UiTM Merbok. Saya suap anak-anak makan bersama. Itulah cara berjimat pada waktu itu," kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram