
WALAU setinggi mana usia dan seteguh mana jiwa, kehilangan seorang bapa tetap menjadi luka yang dalam buat seorang insan bergelar anak.
Itulah yang dirasai puteri kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, Nori Abdullah selepas pemergian ayahanda tercinta pada Isnin lalu.
Beliau menerusi satu hantaran di Instagram miliknya yang dikongsikan semula oleh akaun kitafamilypodcast, meluahkan isi hati sarat dengan kesyukuran dan penghargaan atas segala doa, ucapan serta kasih sayang yang diterima daripada pelbagai pihak.
BACA LAGI: Pernah tidur berlapar ketika di bangku sekolah, guru kenang jasa Pak Lah wujudkan SABK
Nori berkata, kehilangan bapanya bukanlah satu kejutan tiba-tiba, sebaliknya merupakan sebuah perpisahan yang perlahan dan menyayat hati, kesan daripada penyakit dementia yang dialami perdana menteri kelima itu sejak beberapa tahun lalu.
“Perpisahan ini terasa begitu panjang dalam banyak cara, kerana itulah yang dibawa oleh penyakit dementia kepada kita.
"Namun di satu sudut, saya bersyukur kerana dengan keadaan itu, beliau terhindar daripada begitu banyak kesakitan dan kebimbangan, walaupun saya sendiri kehilangan tempat untuk meminta nasihat dan menghibur hati,” luahnya.
Nori, yang juga isteri kepada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin turut menzahirkan rasa syukur atas hikmah tersembunyi di sebalik ujian tersebut.
Ujarnya lagi, kesukaran dilalui arwah bapanya mungkin menjadi jalan untuk melindunginya daripada ujian lain.
Nori dalam pada itu turut menyifatkan pengebumian yang berlangsung sebelum ini sebagai satu penghormatan buat bapanya.
"Ia sesuatu yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit dan bukti kasih sayang rakyat terhadap tokoh yang pernah memimpin negara.
“Meski sedih, dalam masa sama saya rasa tenang. Mesej-mesej takziah dan penghargaan diterima benar-benar menyentuh hati. ALLAH itu Maha Pemurah,” katanya.
Nori menyifatkan pengebumian yang berlangsung sebagai satu penghormatan buat bapanya. — Instagram/kitafamilypodcast
Tambah beliau lagi, pemergian ayahandanya dianggap sebagai satu permulaan untuk lebih ramai mengenali sisi peribadi dan perjuangan Abdullah atau juga dikenali sebagai Pak Lah melalui rakaman, penulisan dan bahan-bahan yang dirakamkan sepanjang hayatnya.
“Pak Lah, walaupun manusia biasa yang ada kekurangan, cukup pandai membuat orang lain rasa dihargai dan penting. Itulah warisan yang beliau tinggalkan.
“Sebagai Siti Baba-mu, saya berharap dan berdoa agar ayah sudah cukup berusaha untuk menjadi insan yang diredai Tuhan.
"Moga ALLAH menempatkan Rahimullah, Abdullah Ahmad Badawi, di tempat yang sebaik-baiknya kini, hinggalah ke syurga Jannatul Firdaus,” ungkapnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram