[VIDEO] Sejak kecil berjiwa usahawan, Afiqah Dimyati jual minuman coklat di sekolah, pegang amanat terakhir arwah papa


  • Bizz
  • Jumaat, 18 Apr 2025

Akui Afiqah, walaupun jasad tiada di depan mata, kepercayaan bapanya menguatkan dorongan untuk mengembangkan karier dalam dunia perniagaan. —  Instafram/afiqahdimyati

"PAPA campaklah awak di mana-mana pun, mesti boleh survive".

Sehingga ke hari ini, kata-kata terakhir itu yang dipegang usahawan fesyen dan produk penjagaan kesihatan dalaman wanita, Afiqah Dimyati, 30, sebelum bapanya, Muhammad Dimyati Khalid menghembuskan nafas terakhir pada dua tahun lalu.

Bercerita kepada Majoriti, Afiqah memberitahu, minatnya dalam perniagaan bermula sejak di bangku sekolah dengan menjual peket minuman berasaskan coklat. 

BACA LAGI: [VIDEO] Wartawan China fasih berbahasa Melayu kembali lagi, kali ini Husna bawa geng 'pekena' nasi kandar di Putrajaya sebelum interviu pemimpin negara

BACA LAGI: Jadi mangsa buli, bertahun-tahun rasa tak cantik, wanita asal Jerantut sanggup berhabis ratusan ribu ringgit timba ilmu bisnes

Sifat berdikari yang tertanam dalam diri menyebabkan anak jati Kuala Lumpur itu tidak pernah meminta wang saku daripada ibu bapanya.

“Saya memang tak pernah minta duit kerana enggan menyusahkan mama dan papa. Mereka juga tahu sejak kecil saya akan cari wang dengan usaha sendiri.

"Ketika di zaman universiti juga saya bekerja, ambil projek peragaan sehinggalah menjadi promoter,” katanya.

Pengalaman itulah yang membentuk semangat keusahawanannya. Akui Afiqah, walaupun jasad tiada di depan mata, kepercayaan bapanya menguatkan dorongan untuk beliau mengembangkan karier dalam dunia perniagaan.

Keluarga adalah tulang belakang yang senantiasa memberi kekuatan buat Afiqah (tengah).

Abaya songket 

Muncul sebagai pendatang baharu dalam dunia fesyen tempatan, jenama Kaira di bawah naungan The Glow Up Malaysia Enterprise mula menarik perhatian ramai dengan koleksi abaya songket yang juga merupakan rekaan pertama seumpamanya di Malaysia.

Idea unik itu tercetus daripada kecintaan mendalam pengasasnya terhadap fesyen Timur Tengah, terutamanya pemakaian abaya dan jubah dari Dubai, namun digarap semula dengan sentuhan budaya tempatan, yakni songket.

Afiqah yang juga berperanan sebagai Pengurus Runcit dan Pemasaran Glow Up Malaysia berkata, Kaira pada awalnya bermula dengan penjualan tudung di bawah nama Scarfwish sebelum dijenamakan semula pada tahun lalu.

Ujarnya, alternatif itu dilaksanakan bagi memberikan nafas baharu kepada jenama berkenaan selain menyesuaikan diri dengan perubahan trend digital serta kehendak pasaran semasa.

"Perubahan nama kepada Kaira membawa bersama hala tuju dan elemen yang lebih segar serta relevan dengan kehendak pelanggan masa kini.

“Dunia fesyen bergerak pantas dan trend digital semakin dominan. Jadi, kami mahu melihat bagaimana pasaran dan audiens baharu memberi respon terhadap pendekatan yang lebih kontemporari ini.

"Penjenamaan semula ini turut menyaksikan perluasan segmen produk yang ditawarkan, daripada tudung kepada koleksi abaya, termasuk rekaan eksklusif seperti abaya songket yang kini menjadi tarikan utama jenama Kaira," jelas Afiqah.

Busana abaya songket membawa bersama hala tuju dan elemen lebih segar serta relevan dengan kehendak pelanggan masa kini. — Instagram/kairaofficialmy

Selain busana, anak kedua daripada lima beradik itu juga aktif mengusahakan perniagaan berasaskan produk kesihatan tradisional khusus untuk wanita.

Bagaimanapun, pengeluaran produk tersebut sempat terhenti seketika disebabkan komitmen terhadap kerjaya dalam bidang media dan tuntutan hidup sebagai isteri dan ibu.

Inspirasi anak

Menjadi wanita bergelar usahawan bukanlah suatu perkara mudah, akui Afiqah. Apatah lagi perlu membahagikan masa antara keluarga, perniagaan dan kerjaya profesional. 

Bagi graduan Ijazah Sarjana Muda Industri Kreatif daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, dilema untuk berhenti berniaga juga pernah muncul dalam hidupnya.

“Pernah rasa nak putus asa sangat-sangat. Sekitar 2020, ketika itu saya kerja dalam bidang media dan pada masa sama uruskan perniagaan dan juga keluarga.

"Terlalu banyak perkara yang perlu difikirkan. Sampai rasa nak berhenti terus berniaga,” katanya yang kini aktif semula mempromosikan produk penjagaan kesihatan dalaman miliknya.

Anak jati Kuala Lumpur itu percaya wanita perlu memiliki pendirian dan kewangan sendiri. —  Instafram/afiqahdimyati

Namun begitu, semangat untuk terus berdikari sebagai wanita menjadi antara dorongan utama untuk beliau tidak menyerah.

Enggan semata-mata bergantung hidup pada figura lelaki, Afiqah percaya wanita perlu memiliki pendirian dan kedudukan kewangan sendiri.

“Ia bukan sahaja untuk diri sendiri, tapi dapat dijadikan contoh yang baik kepada anak-anak.

"Sebagai ibu, penting untuk menunjukkan ketabahan dan keupayaan berdikari agar menjadi inspirasi buat generasi akan datang.

“Misalnya untuk anak, saya nak dia cari wanita yang berpendidikan, ada kerjaya dan boleh berdiri sama tinggi. Sebab itu saya perlu tunjukkan contoh terbaik dari sekarang,” jelasnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram