
SEKUMPULAN wartawan dari China mencuri perhatian warga maya selepas rakaman video mereka fasih berbicara dalam bahasa Melayu sambil menikmati hidangan nasi kandar, dimuat naik di media sosial.
Video berkenaan dikongsi pada Rabu, menerusi akaun TikTok milik salah seorang wartawan wanita dalam kumpulan itu, Husna atau juga dikenali sebagai Liang Liang.
Dalam video berdurasi seminit 57 saat itu, Husna dan rakan-rakan medianya difahamkan mempunyai tugasan untuk mewawancara pemimpin Malaysia termasuk Perdana Menteri di sekitar kawasan Putrajaya.
Justeru mereka memilih untuk menikmati hidangan nasi kandar sebagai salah satu menu tarikan pengunjung dalam dan luar negara.
BACA LAGI: 'Lebih malu jika tak fasih', pengacara WHI sokong pendidikan sejak kecil perkasa bahasa Malaysia
BACA LAGI: Papan tanda: DBKL benarkan guna bahasa lain, cuma perlu utamakan Bahasa Melayu
Husna (kiri) ketika menemu bual Ahmad Zahid sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China pada tahun lalu.
"Semuanya bercakap bahasa (Melayu) dan pilih hidangan Malaysia! Kumpulan wartawan China yang bercakap bahasa Melayu dah sampai Putrajaya untuk wawancara dengan perdana menteri," tulisnya di ruangan kapsyen.
Lebih menarik, setiap seorang daripada mereka juga memiliki nama panggilan Melayu yang diberikan oleh pensyarah Bahasa Malaysia di universiti.
Selain Husna, nama panggilan lain termasuk Fadil, Rahman, Latifah dan Satria.
Untuk rekod, ini bukanlah kunjungan kali pertama Husna ke Malaysia, sebaliknya wanita berasal dari Yunnan itu juga menemu bual Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam bahasa Melayu, pada Jun tahun lalu.
Temu bual tersebut dijayakan sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.
Husna yang juga peminat setia penyanyi terkenal negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebelum ini pernah tular apabila ditemu ramah oleh media tempatan semasa Sukan Asia di China. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram