Periksa tahap gula dalam darah jika anak anda ada 4 tanda ini termasuk obesiti


  • Sihat
  • Ahad, 13 Apr 2025

Prediabetes adalah keadaan yang boleh dipulihkan jika ditangani lebih awal.

DIABETES mellitus kini menjadi salah satu isu kesihatan paling membimbangkan di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Statistik menunjukkan prevalens diabetes dalam kalangan orang dewasa, meningkat secara berterusan daripada 11.2 peratus pada 2011 kepada 13.4 peratus (2015) sehingga 18.3 peratus (2019).

Salah satu penyebab utama masalah diabetes adalah prediabetes, namun ramai yang tidak menyedari akan keadaan tersebut, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

BACA LAGI: Lobak berpotensi bantu kawal diabetes

BACA LAGI: [VIDEO] Gen Z sanggup berhabis untuk 'travel' berbanding membeli barangan mewah

Menurut kajian, prediabetes adalah keadaan tahap gula dalam darah lebih tinggi daripada normal, tetapi masih belum mencapai tahap yang cukup untuk dikategorikan sebagai diabetes.

Keadaan itu berlaku apabila tubuh tidak memberi tindak balas baik terhadap insulin, menyebabkan penumpukan gula dalam darah.

Individu yang mengalami prediabetes berisiko tinggi untuk menghidap diabetes jenis 2 dan penyakit tidak berjangkit lain seperti jantung atau strok.

Satu ulasan sistematik pada 2022 yang menilai kajian dari 1995 hingga 2021 menganggarkan bahawa prevalens prediabetes dalam kalangan orang dewasa Malaysia adalah 11.62 peratus.

Namun, prediabetes sering tidak menunjukkan gejala yang jelas. Apabila gejala muncul, ia biasanya menandakan bahawa keadaan tersebut telah berkembang menjadi diabetes jenis 2.

Penting untuk memeriksa tahap gula darah terutamanya jika anak anda mempunyai faktor risiko seperti berat badan berlebihan atau obesiti, sejarah keluarga dengan diabetes jenis 2, kurang aktif secara fizikal atau sindrom ovari polisistik.

Boy eating French fries potato with dipped sauce over white wooden table

Ibu bapa perlu berikan anak-anak diet seimbang dan kurangkan pengambilan gula, garam serta makanan diproses. Gambar hiasan

Tangani lebih awal

Berita baiknya, prediabetes adalah keadaan yang boleh dipulihkan jika ditangani lebih awal.

Mengikut Clinical Practice Guidelines–Management of Obesity 2nd Edition (2023), terdapat langkah-langkah yang boleh diambil untuk mencegah atau menangguhkan perkembangan diabetes antaranya:

1) Tabiat pemakanan baik

Berikan anak diet yang seimbang, kurangkan pengambilan gula, garam dan makanan yang diproses.

Memandangkan kanak-kanak masih dalam peringkat tumbesaran, pemilihan makanan sihat lebih penting berbanding sekadar mengawal saiz hidangan.

2) Galak aktiviti fizikal

Disyorkan untuk melakukan sekurang-kurangnya 60 minit aktiviti fizikal sederhana atau kuat setiap hari.

3) Kekal berat badan sihat

Berat badan berlebihan dan obesiti adalah faktor risiko yang perlu diberi perhatian.

4) Hadkan masa menghadap skrin

Masa skrin rekreasi harus dihadkan kepada tidak lebih daripada satu jam sehari untuk kanak-kanak antara dua hingga lima tahun.

Sementara untuk kanak-kanak berusia enam tahun ke atas, tidak lebih daripada dua jam sehari.

5) Tidur cukup

Kanak-kanak kecil (tiga hingga lima tahun) perlu tidur antara 10 hingga 13 jam sehari, manakala kanak-kanak sekolah (enam hingga 13 tahun) perlu tidur antara sembilan hingga 11 jam sehari.

Prediabetes mungkin tidak mudah dikesan, terutama dalam kalangan kanak-kanak kerana kita sering beranggapan bahawa diabetes hanya berlaku kepada golongan dewasa.

Namun, keadaan itu merupakan salah satu penyumbang utama kepada peningkatan kadar diabetes di seluruh dunia.

Dengan intervensi awal dan amalan gaya hidup sihat, prediabetes dapat dipulihkan dan diabetes dapat dielakkan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram